Pages

Sunday, December 2, 2012

Pilihan Raya dan Bahasa

AHAD, 2  Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada pertengahan Februari  lalu, Latvia mengadakan pungutan suara atau referendum: Apakah bahasa saya?  Keputusan pungutan suara yang diadakan itu menunjukkan penolakan yang jelas terhadap bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi kedua di negara itu. Seandainya keputusan adalah sebaliknya, maka bukan sahaja bahasa Rusia diterima sebagai bahasa rasmi kedua Latvia, tetapi juga bahasa itu menjadi salah satu bahasa dalam Kesatuan Eropah, tanpa memerlukan keanggotaan negara Rusia sendiri.
Beberapa pilihan raya telah dan akan berlangsung pada tahun ini .  Pilihan Raya Presiden Rusia baru sahaja selesai pada Mac lalu.  Negara lain yang turut tersenarai ialah  Perancis dan Amerika Syarikat, dan kemungkinan besar Malaysia.  Dalam mana-mana pilihan raya, semasa kempen adalah mengenai isu, dan selepas keputusan diketahui adalah mengenai angka.  Lazimnya, isu berkait dengan ekonomi, keselamatan, dasar luar, dan tidak ketinggalan peribadi calon yang bertanding. Pendek kata, banyak isu yang diketengahkan, tetapi ada kalanya diibaratkan “senjata makan tuan.”
Amerika Syarikat yang akan mengadakan Pilihan Raya Presiden pada November ini, kini rancak dalam pemilihan awal Parti Republikan untuk menentukan calon Presiden yang akan menentang Barack Obama daripada Parti Demokratik.  Pada peringkat pemilihan awal ini,  bahasa juga mendapat perhatian calon-calon Republikan  yang bertanding. 
Apabila salah seorang calon, iaitu Newt Gingrich memberitahu Saluran Yahudi, iaitu  stesen televisyen kabel   bahawa orang Palestin hanya “umat yang direka,” sehingga mencetuskan kontroversi, beliau menggunakan hujah bahasa dan budaya. Tegas beliau, tidak wujud bahasa dan budaya Palestin, sebaliknya  yang wujud ialah bahasa dan budaya Arab.  Gingrich bermaksud bahawa oleh sebab orang Palestin merupakan orang Arab kerana mereka bertutur dalam bahasa Arab, mereka adalah sebahagian kolektiviti yang tidak tentu bentuknya, dan dengan itu, kurang kualiti, iaitu bahasa, budaya, dan tradisi yang unik yang berkait dengan taraf negara. Menteri Kabinet Israel, Uzi Landau yang bersetuju dengan Gingrich dan mendakwa bahawa “umat Palestin tidak mempunyai bahasa dan budaya mereka sendiri, sebaliknya merupakan sebahagian dunia Arab yang lebih luas.” 
Meskipun dengan menafikan kewujudan umat Palestin, Gingrich memperlihatkan kejahilan serta keangkuhannya demi meraih undi orang Yahudi di Amerika, wujud sesuatu yang sepatutnya diberikan perhatian  supaya tidak sekali-kali memandang remeh terhadap bahasa dan budaya. Sesungguhnya, kewujudan sesuatu bangsa boleh dinafikan  jika bangsa berkenaan tidak lagi menggunakan bahasa ibunda mereka.  Dalam maksud yang mudah, “hari ini anda menggadai bahasa anda, nescaya esok atau lusa, bangsa anda sendiri  tergadai.”
Pada akhir Disember tahun lalu, salah seorang calon Presiden,  iaitu Rick Perry, menyatakan beliau akan menyokong pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan, ketika beliau menjawab soalan dalam majlis pengumpulan dana untuk Parti Republikan di Cerro Gordo County. “Saya ingin melihat bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kerajaan negara ini,” jelas beliau.  Dua orang lagi calon, iaitu  Michele Bachmann yang kini menarik diri, dan Newt Gingrich menyokong idea tersebut.
Walaupun Rick Perry sejak awal-awal lagi menarik diri,  pemartabatan bahasa Inggeris terus bergema.  Pada pertengahan Mac lalu, Rick Santorum, salah seorang pencabar utama dalam pemilihan Republikan, seakan-akan memberi kata dua kepada penduduk Puerto Rico dengan mencadangkan bahawa jika  mahu taraf negara, mereka sepatutnya menerima pakai bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka.  Dalam temu bual dengan akhbar El Vocero, Santorum berkata bahawa beliau menyokong hak penentuan nasib sendiri  penduduk Puerto Rico dari segi status politik  pulau itu.  Namun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menyokong negeri yang bahasa Inggeris bukan bahasa utama.  “Sebagaimana mana-mana negeri lain,” jelas Santorum, “Puerto Rico perlu mematuhi perkara ini dan mana-mana undang-undang persekutuan yang lain.  Dan bahawa bahasa Inggeris perlu menjadi bahasa utama.”  Beliau mengakui bahawa wujud negeri lain yang menggunakan lebih satu bahasa, seperti Hawaii, tetapi untuk menjadi negeri dalam Amerika Syarikat, bahasa Inggeris perlu menjadi bahasa utama.”
Mitt Romney, calon Presiden yang kini menjadi pilihan ramai bukan sahaja terkenal dengan kekayaannya , tetapi juga keupayaan beliau  bertutur dalam bahasa Perancis. Gara-gara  pernah bertutur dalam bahasa itu menyebabkan beliau digasak oleh musuh ketatnya, iaitu Newt Gingrich:  “The French Connection” – gambaran yang diberikan terhadap Romney.  Tambah Gingrich, “Dan sebagaimana John Kerry, beliau juga bertutur dalam bahasa Perancis.”  Rakaman video menunjukkan bahawa ketika Sukan Olimpik di Utah pada tahun 2002, yang Romney berkhidmat sebagai ketua eksekutif,   bertutur dalam bahasa Perancis, "Bonjours, je m'appelle Mitt Romney." Romney fasih bertutur dalam bahasa Perancis kerana beliau  pernah tinggal di negara itu selama 30 bulan pada tahun 1960-an.
Perancis merupakan sesuatu yang dipersalahkan dalam politik Amerika, biasanya atas desakan Republikan yang pernah menamakan semula kentang goreng Perancis “Kentang Goreng Kebebasan” selepas rakyat Perancis enggan menyokong pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003.  Republikan juga dikatakan menyerang John Kerry, calon Demokrat  dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2004 kerana leluhur Perancisnya, kemampuannya   bertutur dalam bahasa  Perancis, dan bahkan beliau kelihatan seperti orang Perancis. 
Namun, serangan Newt Gingrich terhadap Mitt Romney kerana bertutur dalam bahasa Perancis  dianggap boleh mengundang padah kerana bekas Speaker itu juga pernah tinggal di Perancis selama beberapa tahun ketika remaja dan pernah memberitahu penulis biografinya bahawa beliau mengetahui “bahasa Perancis secukupnya untuk hidup.”  Gingrich   juga menulis disertasi pascakedoktoran tentang “Belgian Education Policy in the Congo 1945 – 1960”, yang mengandungi beberapa sumber bahasa Perancis dalam bibliografinya.  Pada tahun 2009, beliau pernah membandingkan dirinya dengan Charles de Gaulle.
Tidak cukup dengan polemik  bahasa Perancis, Silvia Killingsworth, yang menulis dalam majalah  The New Yorker pada pertengahan Januari tahun ini, “Can Romney Speaks Spanish?”  Minggu ini, Mitt Romney menyiarkan iklan baru dalam bahasa Sepanyol di Florida menjelang pemilihan awal Republikan yang akan diadakan pada akhir bulan ini,  tulis Killingsworth, sambil mengakuji  undi Hispanic juga akan menjadi keutamaan besar dalam pilihan raya ini.  Jelas beliau lagi, “kempen ini mempunyai senjata sulit  bahasa kerana anak bongsu Romney, iaitu Craig fasih bertutur dalam bahasa Sepanyol.  Iklan baru Romney itu menyasarkan khususnya penduduk Cuba di Florida.”  
Dalam pemilihan awal Republikan pada tahun 2008, Romney yang juga merupakan salah calon Presiden ketika itu,  pernah dikritik kerana menyiarkan iklan dalam bahasa Sepanyol dan mempunyai versi bahasa itu pada laman webnya, selepas berkata, “bahasa Inggeris ialah dan sepatutnya kekal sebagai bahasa kebangsaan kita.”  Jelas Killiongsworth, Rudy  Giuliani dan John McCain turut  dituduh berpura-pura atas alasan yang sama. Akan tetapi, tindakan Romney bukannya  benar-benar mungkin; beliau menentang percetakan dwibahasa dalam dokumen kerajaan, tetapi tidak menentang memenuhi kehendak dwibahasa.
Isu bahasa Perancis kini reda, bahkan Mitt Romney terus mengatasi calon-calon lain daripada Republikan untuk menentukan bakal calon Presiden.  Namun, yang tidak kurang menarik ialah di Perancis sendiri yang mengadakan Pilihan Raya Presiden pada bulan April lalu. “Bahasa di Perancis merupakan isu besar,” tulis Christine Ockrent dalam akhbar The New York Times pada awal Januari tahun ini,  ketika itu Presiden Nicolas Sarkozy belum lagi mengumumkan, sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya ataupun tidak, sedangkan calon Sosialis, Francois Hollande telah pun turun ke gelanggang. “Ahli politik berasa terpaksa menerbitkan buku jika mereka mahu dianggap sebagai orang yang serius.  Sama ada mereka sebenarnya menulis, itu soal lain, walaupun tidak dianggap betul untuk menamakan penulis siluman.  Sarkozy meletakkan namanya pada tiga  buah buku, Hollande meletakkannya sekurang-kurangnya empat buah buku.”
Balik ke negara kita Malaysia,  penyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dikatakan memberikan kata dua kepada kerajaan Barisan Nasional (BN): “tidak ada PPSMI, tidak ada undi untuk BN.”  Pastinya, ugutan sedemikian kelihatan dangkal dan angkuh, seolah-olahnya membayangkan bahawa mereka sahaja yang mengundi, lalu menafikan kuasa undi para penentang PPSMI.   Memang golongan penyokong PPSMI kelihatan lantang, lebih-lebih lagi mereka dapat “berkubu” dalam akhbar The Star.   Mereka   seolah-olahnya menggunakan PPSMI sebagai “tebusan” mereka,  dan cuba memberitahu dunia sekiranya tuntutan mereka tidak dilayani, nescaya padah   akan menimpa parti pemerintah! 
Kalau pilihan raya benar-benar  ingin dijadikan pertaruhan, jangan sekali-kali menafikan kuasa golongan yang menentang PPSMI.  Sebagaimana anda yang menyokong PPSMI, mereka juga pengundi!  Kalau  kebelakangan ini anda ghairah turun ke  jalanan demi mendesak kerajaan meneruskan dasar kesayangan anda, penentang PPSMI telah pun melakukannya secara besar-besaran pada tahun 2009.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Jun 2012.)


No comments:

Post a Comment