Pages

Tuesday, December 4, 2012

Amerika Latin Bingkas

SELASA, 4 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala  dunia terjebak dalam kemelesetan, boleh dikatakan tidak banyak perhatian diberikan terhadap Amerika Latin.    Sedangkan beberapa buah negara di rantau itu tidak ketinggalan dalam kerjasama  ekonomi global, seperti  Argentina dan Brazil menganggotai G-20, manakala Chile dan Peru menganggotai Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).  Dalam kalangan negara Amerika Latin, Brazil agak menonjol kerana  tergolong dalam kuasa baru ekonomi,  BRIC, meskipun negara itu  lebih dibayangi oleh China dan India.  
            Kalaupun ada liputan  tentang  rantau itu, perkaranya lebih tertumpu pada kartel dadah, kekejaman,  keuzuran  Fidel Castro,   dan “kenakalan” Hugo Chavez yang gemar mengacah-ngacah Amerika Syarikat.   Kebetulan baru-baru ini  berlangsung Piala  Dunia, maka  beberapa negara dari Amerika Latin, seperti Brazil, Argentina, dan Uruguay menjadi tumpuan peminat bola sepak; lebih-lebih lagi dengan kehadiran bintang  pop Colombia, Shakira. Di Malaysia,  sesekali akan kelihatan remaja memakai kemeja-T yang berterapkan gambar Che Guevara, lalu membangkitkan ingatan kepada pemimpin revolusioner dari rantau itu.
            Amerika Latin, seperti yang  dibahaskan oleh intelektual sayap kiri, merupakan rantau pertama di dunia tempat dasar neoliberal diperkenal.  Chile dijadikan medan  ujian sebelum kerajaan Margaret Thatcher melaksanakan dasar ini di United Kingdom.  Walau bagaimanapun, Amerika Latin juga rantau pertama di dunia yang menolak terapi kejutan neoliberal  kerana dasar berkenaan bertanggungjawab meningkatkan kemiskinan, melebarkan jurang ketidaksamaan sosial, memusnahkan alam sekitar, dan  melemahkan gerakan kelas pekerja dan gerakan popular.  Di mata dunia, tahun 1989 menandakan runtuhnya Tembok Berlin, berkecainya Kesatuan Soviet, dan tewasnya sosialisme abad ke-20.  Namun begitu, tahun 1989 bagi banyak negara lain, terutamanya negara berbahasa Sepanyol juga berkait dengan permulaan pemberontakan Amerika Latin terhadap terapi kejutan neoliberal dan kemunculan pada tahun mendatang “sosialisme untuk abad ke-21.” 
Di benua kecil inilah kuasa  sayap kiri dan progresif mula-mula muncul selepas memulihkan kekuatan selepas runtuhnya sosialisme Eropah Timur dan Kesatuan Soviet.  Selepas lebih dua dekad sengsara, maka lahirlah harapan baru.  Harapan ini muncul untuk membentuk perjuangan menentang dasar neoliberal, tetapi selepas beberapa tahun sahaja, orang ramai bertindak secara ofensif atau menyerang, menawan arena kuasa.  Amerika Latin merupakan kisah kejayaan sayap kiri dunia pada dekad pertama abad ke-21. Seperti yang ditegaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam laman webnya,  “Hal ini dapat dilihat dari segi kemenangan yang menakjubkan  oleh golongan  kiri-tengah dalam siri pilihan raya pada dekad ini.  Dan secara kolektif, kerajaan Amerika Latin mewujudkan untuk pertama kali darjah jarak yang signifikan dari Amerika Syarikat.  Amerika Latin secara relatifnya, menjadi kuasa geopolitik autonomi.”
            Tatkala banyak negara  bergelut dengan kemelesetan yang teruk,  Amerika Latin seakan-akan “tidur lena,”  padahal rantau itu  sentiasa dilanda krisis, baik ekonomi mahupun politik.  Selain banyak  tumpuan  diberikan terhadap  ekonomi utama dunia, seperti Amerika Syarikat, Jepun, China, Britain, dan Jerman,  Dubai, kemudian Greece  juga tidak ketinggalan.  Berbanding dengan beberapa buah negara Eropah yang dilabelkan,  seperti  PIGS dan STUPID,  tidak ada gelaran negatif seperti itu untuk Amerika Latin.
Tiada berita bermakna berita baik.   Ketika  Amerika Syarikat dan Eropah berasa bimbang terhadap defisit yang sungguh besar dan ancaman terhadap pemulihan yang lemah, Amerika Latin mempunyai sesuatu yang memeranjatkan.  Rantau itu, seperti yang diketahui umum, diwarnai pada masa lalu oleh kemungkiran hutang, penurunan nilai mata wang, dan perlunya pelan penyelamat dari negara kaya, kini mengalami pertumbuhan ekonomi yang kukuh yang menimbulkan rasa iri hati negara jiran di utaranya. 
  Berita gembira dari rantau itu  dibawakan oleh akhbar The New York Times pada 1 Julai lalu, “Economies in Latin America Race Ahead,” ketika Kesatuan  Eropah bergelut dengan krisis hutang dan beberapa  negara di dunia berhadapan dengan kemungkinan kemelesetan curam berganda.  Permintaan yang kuat  di Asia untuk komoditi, seperti bijih besi, timah, dan emas, dan yang paling menarik seperti yang dilaporkan oleh akhbar itu, “bersama-sama dasar di beberapa ekonomi Amerika Latin” yang menolong mengawal defisit dan menahan inflasi rendah, yang menggalakkan pelaburan dan merancakkan banyak pertumbuhan.  Bank Dunia meramalkan bahawa ekonomi rantau itu akan berkembang 4.5 peratus pada tahun ini.  
Dalam makalah yang agak panjang itu, turut dinyatakan bahawa pertumbuhan baru-baru ini memecut di seluruh Amerika Latin mengatasi jangkaan banyak kerajaan mereka sendiri.  Brazil, kuasa yang sedang meningkat di rantau itu, yang menerajui pemulihan rantau itu daripada kemorosotan pada tahun 2009, mengalami pertumbuhan sembilan peratus pada suku tahun pertama dari tempoh yang sama tahun lalu.  Pertumbuhan Brazil, menurut bank pusatnya, untuk tahun 2010 boleh mencecah 7.3 peratus, pengembangan yang cukup pantas bagi negara itu untuk 24 tahun.  Makalah yang ditulis oleh Simon Romero itu, turut menyentuh beberapa negara lain di rantau berkenaan:  “Selepas penguncupan yang ketara tahun lalu, ekonomi Mexico tumbuh 4.3 peratus pada suku pertama dan mungkin mencecah lima peratus tahun ini.”  Kerajaan negara itu menyatakan bahawa Mexico mungkin mengatasi ekonomi di Amerika Syarikat.   
Negara kecil dilaporkan juga mengalami pertumbuhan yang pesat, antaranya  Peru – negara yang mengalami hiperinflasi dan dari segi politik, dua dekad diancam oleh pemberontak Moist.  Keluaran  Dalam Negara Kasar (KDNK) Peru  hampir mencapai  9.3 peratus pada April dari bulan yang sama tahun lalu.  Bahkan, negara kecil yang dari segi ideologi bekerjasama rapat dengan Venezuela menerima pakai dasar pragmatik dan mencapai kedudukan dengan baik.  Tatkala Eropah bergelut dengan ketakutan penjangkitan krisis hutang Greece, agensi penarafan kredit, Standard & Poor’s meningkatkan gred Bolivia pada bulan Mei, dengan alasan kewangan awamnya  kukuh.
Apabila  China mengatasi Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia, negara itu mempunyai impak yang cukup besar terhadap harga komoditi di Rusia, India, Australia, dan Amerika Latin.  Peranan China di rantau itu turut disentuh oleh Romero:  “Pertumbuhan Amerika Latin lebih banyak mencerminkan hubungan yang sangat rapat dengan Asia, dengan China dan negara lain juga mengalami pertumbuhan yang pesat.  China mengatasi Amerika Syarikat  tahun lalu sebagai rakan perdagangan paling utama Brazil, dan  China juga rakan perdagangan kedua terbesar di negara, seperti  Venezuela dan Colombia, sekutu paling utama Washington di rantau itu.” 
Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam World Economic Outlook:  Rebalancing Growth  April 2010  memberikan gambaran yang memberangsangkan untuk Amerika Latin.  Setelah mengharungi kemerosotan global dengan baik secara perbandingan, rantau   Amerika Latin dan Carribean (ALC) mencatatkan pemulihan yang kuat. Pada tahun ini, seperti yang diunjurkan, kesemua negara Amerika Latin mengalami pertumbuhan, kecuali Venezuela yang masih   dalam kemelesetan.    Selain Brazil yang diunjurkan mengalami pertumbuhan 5.5  peratus, Peru, Uruguay, dan Paraguay mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan, masing-masing 6.3 peratus, 5.7 peratus, dan 5.3 peratus (jadual). Lebih seimbang jika dibandingkan dengan kebanyakan kawasan, pertumbuhan output di rantau itu disokong oleh kedua-dua permintaan luaran dan domestik.
Laporan IMF itu menyenaraikan beberapa faktor yang mempengaruhi pemulihan rantau ALC, iaitu dasar akomodatif yang membantu menguatkan permintaan domestik;  fundamental baik (sistem kewangan yang kukuh dan kunci kira-kira yang padu) membantu rantau itu  untuk pulih dan menarik semula aliran modal dalam persekitaran kewangan global yang semakin baik; dan harga komoditi yang tinggi dan permintaan luaran yang menyokong pertumbuhan di banyak ekonomi, memandangkan pergantungan mereka pada perolehan yang berkait dengan komoditi.  Justeru, IMF mengunjurkan pertumbuhan di rantau iut  ialah empat peratus tahun 2010 dan 2011, meskipun prospek sangat berbeza antara negara.  Unjuran IMF ini  tidak jauh berbeza dengan unjurannya untuk  dunia   bagi  tahun 2010, iaitu  4.6 peratus. 
Selain itu, laporan IMF itu mengakui bahawa meskipun rantau ALC secara keseluruhan melakukan sesuatu yang sangat baik pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan krisis global dan kemelesetan pada masa lalu, dan jauh lebih baik daripada banyak negara di rantau lain, tetapi keadaannya adalah berbeza antara negara.
Bahkan,  IMF pada akhir tahun lalu meletakkan keyakinan bahawa Amerika Latin berjaya bebas  daripada kemelut.   Dalam laporannya, Regional Economic Outlook:   Western Hemisphere yang dilancarkan di   Sao Paulo, Brazil pada Oktober 2009,  IMF menyatakan bahawa krisis global mempunyai impak yang besar terhadap rantau ALC, tetapi keterukan sudah pun berakhir untuk kebanyakan  negara, dan banyak ekonomi mula pulih.  Laporan yang berjudul Crisis Averted:    What’s Next?, melihat bagaimana ALC pulih daripada kemelesetan global, yang meningkatkan kos pembiayaan luaran untuk rantau berkenaan, dan mengurangkan eksport, kiriman wang, dan penerimaan pelancongan.  Output untuk rantau ini secara keseluruhan, selepas menguncup kira-kira 2.5 peratus tahun ini, dijangkakan pulih dengan pertumbuhan kira-kira tiga peratus pada tahun 2010.
“Alah bisa tegal biasa” -  mungkin kerana kerap dilanda krisis, maka Amerika Latin dengan mudah dapat mengharungi krisis global ini.  Seperti yang dijelaskan oleh Nicolas Eyzaguirre, Pengarah Jabatan Hemisfera Barat IMF, “Memang benar bahawa Amerika Latin   jauh lebih baik ketika krisis ini jika dibandingkan dengan masa lalu.”  Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan:   “Kini, keterukan ribut di belakang kita, maka persoalannya ialah bagaimana untuk menyelaraskan dasar dengan realiti baru ekonomi global yang lebih lembap dan masih menyediakan keadaan untuk pertumbuhan dan pengurangan kemiskinan.” 
Sementara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam Latin America Economic Outlook 2010 merumuskan bahawa kebingkasan perdagangan dan kewangan, dan bukannya pendedahan, akan membolehkan negara muncul daripada krisis dengan lebih kuat.  Negara  Amerika Latin yang membuka pasaran mereka kepada persaingan  antarabangsa  ketika dekad lalu tidak lebih terdedah pada krisis ekonomi global.  Sebaliknya, perdagangan dan kewangan yang terbuka yang disertai oleh penciptaan mekanisme kebingkasan yang  membenarkan lebih ruang untuk dasar kitaran balas dana.  Langkah fiskal dan monetari, walau bagaimanpun, sepatutnya mapan dan fundamental makroekonomi tidak bertolak ansur;  juga   tidak sepatutnya mereka menterbalikkan kemajuan yang dicapai ketika lima tahun lalu dalam mengurangkan kemiskinan.
 Ekonomi  Amerika Latin juga  mendapat perhatian ahli ekonomi  Nouriel Roubini, Profesor dari New York University.   Dalam “Latin American Outlook:  What  Does 2010  Hold in Store for the Region,” Nouriel Roubini,  berkeyakinan bahawa Amerika Latin akan pulih pada 2010.  Dalam tinjauan yang diterbitkan melalui Forbes.com pada Oktober tahun lalu, beliau  berkata,  “Memandangkan respons  asing dan dasar domestik yang agresif di Amerika Latin, rantau itu stabil pada separuh kedua tahun 2009 selepas  menguncup dengan teruk pada separuh pertama. Rantau itu menerima faedah daripada besarnya program dasar fiskal dan monetari global, manakala usaha kitaran    balas  menenangkan keyakinan tempatan dan meredakan tekanan ke bawah pasaran buruh.”  Beliau mengingatkan silap perhitungan dalam strategi keluar dan keputusan ekonomi yang mendukacitakan menjadi ancaman  utama terhadap dinamik pasaran Amerika Latin pada 2010.
Walau bagaimanapun, Roubini  menjangkakan  bahawa pemulihan permintaan luaran dan domestik  berkemungkinan terhad, menyebabkan pemulihan Amerika Latin di bawah potensi pada 2010.  “Oleh itu, analisis saya,” tegas Roubini, “unjuran kini pertumbuhan  rantau itu ialah 3.3 peratus pada tahun 2010, meningkat daripada 3.0 peratus unjuran sebelum ini.  Pemacu utama yang mengalih ramalan kita ialah tinjauan ekonomi yang bertambah baik di Brazil.”
Roubini juga menyentuh aspek tekanan inflasi yang kemungkinan dapat dikawal pada 2010, dan trend disinflasi sepatutnya berterusan sepanjang  2009  disebabkan  oleh penutupan yang perlahan jurang output, mata wang yang stabil kalaupun tidak kukuh, harga komoditi yang sederhana, permintaan domestik yang berhati-hati.  Sementara defisit akaun semasa negara-negara  Amerika Latin kemungkinan semakin luas pada  2010 selepas menguncup pada 2009, tetapi aliran modal yang kuat sepatutnya menutup jurang ini. Menyeimbangkan akaun fiskal akan terus menjadi cabaran utama terhadap negara-negara di rantau itu pada 2010, sebagaimana pada 2009.  Dengan jangkaan peningkatan global dan serantau secara beransur-ansur, hasil fiskal akan pulih dengan perlahan, tetapi Roubini mengingatkan, “kitaran politik, tekanan sosial yang meningkat, dan ketegaran fiskal struktur akan menggantikan kekangan terhadap peluang untuk menggubal potongan perbelanjaan yang penuh bermakna.”
Dalam satu lagi wawancara oleh Americas Society/Council of the Americas  (AS/COA) pada pertengahan Disember tahun lalu, Nouriel Roubini  memberikan gambaran positif tentang tinjuan Amerika Latin pada 2010.  Beliau meramalkan kadar pertumbuhan rantau itu ialah 3.8 peratus pada 2010 – tinggi sedikit daripada ramalan beliau sebelum ini.   Ditanya tentang perubahan ramalan ini, Roubini menjelaskan, “Kami melakukan pengemaskinian suku tahun untuk tinjaun ekonomi global kami, dan untuk sekarang, kami akan memaklumkan pada awal Januari, kemungkinan 3.8 peratus untuk Amerika Latin pada tahun depan (2010).”
Beliau mengemukakan dua alasan tentang perubahan tersebut.  Pertama, keadaan ekonomi dan kewangan global semakin  baik.  Wujud pemulihan, bahkan  jika berlaku anemia.  Keadaan kewangan kekal mudah.  Modal mengalir semula ke pasaran sedang muncul.  Kedua,  negara-negara ini menunjukkan kebingkasan mereka sendiri.  Dasar ekonomi mereka adalah kukuh dan mereka mampu mengendalikan dasar kitaran balas.  Mereka tidak mengalami krisis kewangan dalam episod ini.  Keseluruhan fundamental mereka adalah kukuh, oleh itu, kombinasi mengekalkan fundamental yang kukuh dan dasar ekonomi yang betul dengan penambahbaikan dalam tinjuan ekonomi global.
Dalam wawancara itu, Roubini sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa ramalan pertumbuhan Amerika Latin pada 2010 masih di bawah potensi rantau itu.  “Bahkan, dengan pemulihan ini, trendnya ialah pertumbuhan 5.5 peratus untuk lapan tahun atau lebih.  Kini, kami menjangkakan hanya 3.8 peratus.  Pastinya, kadar ini lebih baik dari tahun yang lalu yang menguncup, tetapi masih di bawah potensi dan di bawah trend, menurut pandangan kami, untuk 2010.”
  Dengan penolakan terhadap terapi kejutan neoliberal, Amerika Latin, secara beransur-ansur berjaya mewujudkan  ekonomi yang mapan yang dapat menandingi rantau lain.  Rantau itu membawa kejutan yang bagi sesetengah orang di luar jangkaan sama sekali.  Tatkala beberapa buah negara  masih bergelut dengan kemelesetan global, Amerika Latin dapat  bingkas dengan cepat.  Bagi intelektual sayap kiri pula,  kekalahan dua dekad yang lalu,   akhirnya  ditebus di  Amerika Latin.
Jadual:  Ekonomi Hemisfera Barat terpilih: KDNK sebenar,  harga pengguna, dan imbangan akaun semasa
(perubahan peratus tahunan, kecuali dinyatakan sebaliknya)
                         


KDNK sebenar        
Harga pengguna1
Imbangan akaun semasa2


Unjuran

Unjuran

Unjuran

2008
2009
2010
2011
2008
2009
2010
2011
2008
2009
2010
2011
Hemisfera Barat
4.3
-1.8
4.0
4.0
7.9
6.0
6.2
5.9
-0.6
-0.5
-1.0
-1.2
 Amerika Selatan dan  Mexico
4.3
-1.9
4.1
4.0
7.6
6.1
6.3
6.0
-0.3
-0.3
-0.9
-1.1
Brazil
5.1
-0.2
5.5
4.0
5.7
4.9
5.1
4.6
-1.7
-1.5
-2.9
-2.9
Mexico
1.5
-6.5
4.2
4.5
5.1
5.3
4.6
3.7
-1.5
-0.6
-1.1
-1.4
Argentina3
6.8
0.9
3.5
3.0
8.6
6.3
10.1
9.1
1.5
2.8
2.8
2.0
Colombia
2.4
0.1
2.2
4.0
7.0
4.2
3.5
3.7
-2.8
-1.8
-3.1
-2.9
Venezuela
4.8
-3.3
-2.6
0.4
30.4
27.1
29.7
33.1
12.3
2.5
10.5
10.8
Peru
9.8
0.9
6.3
6.0
5.8
2.9
1.5
1.8
-3.7
0.2
-0.7
-1.8
Chile
3.7
-1.5
4.7
6.0
8.7
1.7
2.0
3.0
-1.5
2.2
-0.8
-2.1
Ecuador
7.2
0.4
2.5
2.3
8.4
5.1
4.0
3.5
2.2
-1.1
-0.6
-1.6
Bolivia
6.1
3.3
4.0
4.0
14.0
3.5
3.3
3.7
12.1
3.5
2.6
2.0
Uruguay
8.5
2.9
5.7
3.9
7.9
7.1
6.2
6.0
-4.8
0.8
-1.0
-0.9
Paraguay
5.8
-4.5
5.3
5.0
10.2
2.6
3.9
3.6
-2.4
-0.2
-1.5
-1.2
Amerika Tengah4
4.3
-0.6
2.7
3.7
11.2
3.5
3.5
4.1
-9.1
-2.0
-5.4
-5.7
Carribean5
2.9
0.4
1.5
4.3
12.0
3.6
6.4
4.8
-1.6
-3.1
-2.0
-1.2


1Gerakan dalam harga pengguna ditunjukkan sebagai purata tahunan.

2Peratusan KDNK.

3Penganalisis persendirian menganggarkan bahawa inflasi  indeks harga pengguna adalah sangat  tinggi.  Pihak berkuasa mewujudkan lembaga penasiha akademik untuk menaksir isu ini.  Penganalisis persendirian juga menganggap pertumbuhan KDNK sebenar adalah nyata sekali rendah berbanding dengan laporan rasmi sejak sukur akhir 2008.

4Amerika Tengah terdiri daripada  Costa Rica, El Salvador, Guatemala, Honduras, Nicaragua,  dan Panama.

5Caribbean terdiri daripada  Antigua dan Barbuda,  Bahamas, Barbados, Belize, Dominica, Republik Dominican, Grenada, Guyana, Haiti, Jamaica, St. Kitts dan  Nevis, St. Lucia, St. Vincent dan  the Grenadines, Suriname, dan  Trinidad dan Tobago.

Sumber:  IMF, World Economic Outlook:  Rebalancing Growth  April 2010. 

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)


No comments:

Post a Comment