Pages

Saturday, October 13, 2012

Kannada: Bahasa Rasmi yang Terancam

SABTU,  13 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sesuatu bahasa yang menjadi bahasa rasmi, belum pasti kedudukan bahasa itu terus terjamin.   Kedudukan sesuatu bahasa, biarpun dijamin dari segi Perlembagaan boleh terhakis martabat dan wibawanya, seperti yang terjadi terhadap bahasa Melayu, terutamanya semasa di bawah rejim lama, dan kepimpinan sekarang,  nampaknya tidak mempunyai keazaman yang tinggi untuk menyelamatkannya.  

Banyak iktibar yang dapat dipelajari daripada nasib bahasa Kannada, bahasa rasmi di negeri Karnataka yang dituturkan oleh hampir  50 juta orang, terutamanya di bahagian barat daya India. Bahasa Kannada  digunakan secara aktif dalam industri filem, televisyen, dan muzik, yang disalurkan kepada berjuta-juta orang.  Para penulis menulis dalam bahasa ini untuk hampir 1500 tahun, menghasilkan korpus sastera (body of literature) yang termasuk tatabahasa kompleks yang ditulis pada tahun 850.  Kannada merupakan bahasa pentadbiran di beberapa buah kerajaan yang sangat berkuas di benua kecil itu.  Wujud akhbar dan  buku dalam bahasa Kannada yang diterbitkan secara konstan.  Dan para penulis dalam bahasa ini, secara rasmi dinobat "bahasa klasik" (merujuk zamannya), memperoleh pengiktirafan kebangsaan.

Namun, seperti yang didedahkan oleh S.A.P. dalam The Economist, faktor demografi mengancam kedudukan bahasa tersebut:  keseimbangan demografi di Bangalore, ibu negeri Karnataka, kini kota ketiga terbesar di India, mengalami perubahan yang pesat.  Kaum imigran yang membanjiri kota itu enggan belajar bahasa Kannada.  

"Meskipun pendidikan awam rendah (menurut undang-undang) diajarkan dalam bahasa Kannada," hujah S.A.P., "pelajar-pelajar  di banyak  sekolah swasta di Bangalore belajar dalam bahasa Hindia dan Inggeris.  Dan meskipun kohort 50 juta suara Kannada menggerunkan di kebanyakan dunia - kurang daripada 30 bahasa melebihinya dalam penutur asal, kumpulan ini hanyalah titisan dalam lautan penduduk India yang penuh sesak."

S.A.P juga memetik pandangan G. Venkatasubbiah, ahli leksikografi Kannada, yang dikenali sebagai Profesor GV, yang nampaknya berbaur antara keyakinan dengan kehampaan tentang masa depan bahasa itu.  Beliau mengakui bahawa bahasa Kannada terancam, tetapi ancaman itu tidak begitu teruk, dengan menambah: "Jika bahasa kedudukan yang memihak kepada bahasa Kannada di Bangalore menghadapi risiko, kerajaan negeri dipersalahkan."  Kebanyakan ahli politik di Karnataka bertutur dalam bahasa Kannada sebagai bahasa pertama, tetapi usaha mereka untuk memperjuangkan bahasa ini tempang.  Sebaliknya, kerajaan negeri di Tamil Nadu menyokong begitu hebat daya usaha bahasa Tamil.

Pada bahagian akhir makalah itu, Venkatasubbiah, dipetik sebagai berkata, "Bangalore mengalami perubahan.  Hindi, Urdu, Inggeris, Malayalam, Tamil, Telugu, Gujarat, dan Marwari merupakan bahasa yang didengar di jalan-jalan kami. Kualiti kepelbagaian bahasa di Bangalore,  boleh menjadi kelebihan yang besar, tetapi tidak ada skim yang lengkap tanpa bahasa Kannada.  Jika tidak ada sesuatu dilakukan, saya takut bahawa bahasa Kannada akan diasak menjadi bahasa  kedua di sini."

Sesuatu yang aneh dan tidak masuk akal apabila bahasa Kannada, yang merupakan bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa komunikasi sosial, bahasa budaya tinggi,  bahasa persuratan, dan bahasa ilmu, sedang terancam kedudukannya.  Kebanjiran penduduk yang menggunakan pelbagai bahasa ke kota Bangalore dan kurangnya keazaman politik mempertaruhkan masa depan bahasa tersebut.




No comments:

Post a Comment