Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Jangan keliru, ini bukan "hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri." Sebaliknya, tulisan ini tentang nasib malang yang menimpa rakyat Greece akibat krisis ekonomi yang berlarutan.
Tunduk pada desakan troika, iaitu Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa, dan Bank Pusat Eropah (ECB), kalau tidak pelan penyelamat tidak akan dihulurkan, kerajaan Greece terpaksa melaksanakan langkah jimat-cermat dan memotong perbelanjaan sehingga sampai pada peringkat tidak ada lagi yang dapat dipotong.
Akibatnya, rakyat negara itu hilang pekerjaan atau menganggur, hidup dalam kesusahan, dan terpaksa hidup dengan "mengikat perut" atau mengetatkan tali pinggang. Tidak kurang pula kerana tidak sanggup lagi memikul tekanan dan menahan kemurungan, bertindak membunuh diri.
Sesetengahnya pula terpaksa berhijrah ke negara lain demi mencari pekerjaan, yang menjadi tumpuan ialah Jerman. "Kita semua Jerman sekarang," tulis Barbie Latza Nadeau bahawa akibat pengangguran yang tinggi, maka semakin meningkat bilangan orang Italy, Greece, dan negara lain yang terjejas teruk akibat krisis zon euro berpindah ke Jerman untuk mencari pekerjaan. Sejak krisis hutang kedaulatan bermula pada akhir tahun 2009, jelas Barbie, wujud perpindahan yang berterusan para pekerja mahir dari Italy, Sepanyol, Greece, dan Portugal ke Jerman. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah perpindahan meningkat dengan pesat: bilangan orang Italy dan Greece yang berdaftar untuk bekerja di Jerman meningkat sebanyak 22 peratus dalam masa kurang setahun.
Selain Jerman, bagi rakyat Greece yang menganggur, menurut Bloomberg dan The Atlantic Wire, mereka ke Sweden, bekerja sebagai pencuci tandas. Bagi mereka, "Greece tidak mempunyai masa depan."
Negara itu dalam tahun kelima kemelesetan, dengan ekonomi dijangkakan menguncup 6.9 peratus pada tahun ini, iaitu sama seperti tahun 2011. Sejak tahun 2008, bilangan rakyat yang menganggur lebih tiga kali ganda, mencecah 1.22 juta pada Jun lalu, daripada jumlah penduduk 10.8 juta orang.
No comments:
Post a Comment