Pages

Friday, August 31, 2012

Turki di Tengah Pentas

JUMAAT, 31 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika bersantai  di lobi  Green Park Hotels & Resorts,   Istanbul  pertengahan Mei lalu (2010),    saya  tertarik dengan  berita  akhbar Hurriyet Daily News & Economic Review:  “Turkey May Help Greece Trim Budget Gap.”  Bak kata, “persahabatan teruji semasa kesusahan”  seakan-akan memperlihatkan  Turki ingin membantu Greece yang sedang bergelut dengan krisis hutang dan benar-benar di ambang muflis.
Ketakutan terhadap Turki mendorong Greece menjadi negara dalam Kesatuan Eropah (EU) yang terbesar dari segi perbelanjaan ketenteraan sebagai bahagian ekonomi pada dekad lalu. Perdana Menteri Turki,  Recep Tayyip Erdoğan yang mengadakan  lawatan ke Athens  juga mahu memotong perbelanjaan ketenteraan.    Dengan  potongan yang sama daripada musuh strategik, Turki akan membantu Greece melakukan pengurangan dalam perbelanjaan ketenteraan sebagai jaminan terhadap pinjaman berjumlah AS$139 bilion yang diberikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah untuk mengelakkan Greece daripada membayar balik hutangnya.
Menurut   akhbar itu lagi,  Greece membelanjakan AS$63 bilion untuk ketenteraan pada dekad lalu, dengan belanjawan meningkat setiap tahun sejak tahun 2003 kerana tentera menambah jet pejuang, kapal selam, dan kereta kebal.  Perbelanjaan itu sebahagian besar adalah tujuan pertahanan menentang Turki. Kedua-dua negara anggota NATO ini hampir-hampir terbabit dalam peperangan berhubung hak wilayah terhadap Aegean pada 1996, dan meskipun hubungan semakin baik, juruterbang mereka masih lagi terbabit dalam pertempuran kapal terbang pejuang olok-olok  di perairan masing-masing.  “Turki dan Greece merupakan rakan, bukannya pesaing,” dan “kami mungkin bersama-sama memutuskan untuk mengurangkan peruntukan pertahanan dalam belanjawan masing-masing,” kata  Egemen Bağış, Menteri Turki untuk rundingan keanggotaan EU.  
Beberapa hari sebelum itu Greece menyatakan rasa ragu-ragu tentang urusan peluncutan senjata dengan Turki, dan berkata perbincangan akan dilakukan “beransur-ansur.”  Timbalan Menteri Pertahanan Greece,  Panos Beglitis dipetik sebagai berkata, “Kami juga mahu pengurangan senjata, tetapi tidak boleh ditentukan pada tahap komunikasi ala propaganda.  Potongan dalam persenjataan selesai dalam satu perjalanan yang panjang dan sukar, bukannya satu permulaan.”  Beliau juga menuduh Turki “tidak konsisten” kerana negara itu menyeru untuk pelucutan senjata, tetapi meneruskan tuntutan kedaulatan yang dipertikaikan oleh Greece.
Walau apa-apa pun keraguan Greece, ini tidak mematahkan hasrat Turki untuk membuka lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.  Semasa di Athens, Erdoğan mencadangkan  Turki dan  Greece berkongsi rancangan penerbangan di dalam ruang udara  Aegean.  Beliau memberitahu para editor akhbar Greece, “Saya percaya 2010 akan mengukir sejarah.  Dua negara kita menunjukkan keazaman politik bukan hanya sekadar jiran, tetapi juga sebagai rakan kongsi.”  Beliau mengalu-alukan pembentukan majlis Greece-Turki sebagai bukti perkongsian dua negara.  Kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menubuhkan majlis yang mengadakan pertemuan secara tetap antara pemimpin dua negara dan menteri Kabinet mereka, dan menandatangani pakatan  tentang ekonomi, imigresen, tenaga, dan isu lain.
Daya usaha Turki di peringkat serantau itu kurang mendapat  perhatian dunia jika dibandingkan  kerjasama nuklear dengan Iran yang menyebabkan Washington melenting.  Sebaik-baik sahaja Turki berurusan dengan Greece,   pasangan diplomatik Turki dan Brazil menempa perjanjian dengan Iran tentang perdagangan uranium dalam usaha untuk meredakan kegelisahan dalam kalangan kuasa Barat dan memperkukuhkan dakwaan Tehran bahawa program nuklear adalah untuk tujuan keamanan.  Jika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan respons yang positif, Ankara tidak lama lagi mendapati dirinya pada kedudukan untuk memutuskan siapakah yang bermain mengikut peraturan.
Dalam peristiwa yang cukup bererti yang berlangsung di Tehran yang dihadiri oleh Presiden Brazil,  Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Iran,  Mahmoud Ahmadinejad, dan Perdana Menteri Turki,   Recep Tayyip Erdoğan,  tentang urusan pertukaran uranium Iran yang dipelopori oleh Turki dan Brazil.  Dengan usaha itu, Ankara menjadi pusat tumpuan kerana dunia tertanya-tanya adakah  Ankara boleh menjadi pengadil yang saksama antara Iran dengan Barat.  Perisytiharan tiga pihak ini merupakan sebahagian proses perdamaian antara Iran dengan P5+1 (lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan Jerman) dalam peristiwa respons daripada kuasa dunia.
Menurut  analisis jelas bahawa Turki dan Brazil – dua anggota  bukan tetap Majlis Keselamatan - bercita-cita menyakinkan Presiden Ahmadinejad bahawa endgame sudah  hampir dan jika Iran tidak bekerjasama, maka tidak banyak negara sahabat yang dapat melakukannya.  Jelas bahawa Ankara semakin tidak sabar kerana pada pihak Iran nampaknya tidak memberikan respons, meskipun semua usaha Turki adalah pada pihak Tehran.  Kerajaan Turki dikatakan beria-ia menyelasaikan masalah  nuklear Iran, selain kepentingan ekonomi  dengan Iran dan ingin menyekat keadaan menjadi konflik, Turki dengan mencari penyelesaian diplomatik,  mahu mengelak daripada terpaksa membuat pilihan antara jiran Islam dengan rakan kongsi Barat. Turki dikatakan perlu mengambil daya usaha ini demi kepentingan masa depannya dalam arena global kerana negara itu  kini menganggotai Majlis Keselamatan.  Jika Turki  mengundi menentang atau berkecuali terhadap sekatan ke atas Iran, nescaya putus hubungannya dengan rakan kongsi Barat, khususnya dengan Amerika Syarikat, mungkin menimbulkan akibat yang serius. 
Faruk Loğoğlu, bekas duta Turki ke Amerika Syarikat, melalui  makalah “The Gamble Over Iran” yang diterbitkan dalam akhbar  Hurriyet Daily News & Economic Review, menulis bahawa motif yang mendorong Turki mungkin hasrat untuk memperlihatkan kuasanya yang baru ditemui dengan menunjukkan arah dasar luar yang bebas dengan rakan kongsi daripada luar komuniti Eropah-Atlantik.  “Hal ini  juga sebagai sebahagian persoalan solidariti Islam untuk kepimpinan Turki.  Para pemerhati luar mengalu-alukan usaha Turki-Brazil itu sebagai tanda akan datangnya kemunculan keseimbangan baru dalam persamaan kuasa global.  Mereka mengatakan Amerika dan Eropah di utara tidak lagi keseorangan dalam mengendalikan hal ehwal dunia, dan kini wujud paksi kuasa baru ke selatan yang diwakili oleh negara, seperti China, India, Turki, dan Brazil.”
Walaupun seseorang itu tidak sepatutnya  menyalahkan Turki dan Brazil untuk mencuba, namun  beliau mengingatkan bahawa Turki mengambil risiko yang sangat besar.  “Jika Iran mungkir janji, kemungkinannya terlalu besar,” tulis Faruk Loğoğlu, “Turki mungkin terpaksa membayar harga yang tinggi.  Hubungannya dengan Amerika dan EU akan terjejas.  Daya usahanya pada masa depan tentang isu serantau dan global akan mendapat kurang kebolehpercayaan dan keyakinan.  Hubungan Turki-Iran akan goyang.”
Hasil diplomatic coup itu  juga memperlihatkan kejayaan kepada Brazil, dan jelas menunjukkan bahawa Turki akan bekerjasama dengan Brazil dan negara lain pada masa hadapan dalam mencuba untuk menyelesaikan kebuntuan yang ketara dalam pertikaian antarbangsa.  Namun begitu, banyak perbualan di Barat kini tentang “Turki dan Brazil ditipu oleh Iran.”  Bahkan, di Turki jelas wujud kepercayaan bahawa sesungguhnya, beberapa “penipuan” terlibat.  Lebih daripada itu, meledak  kemarahan  di Washington, London, dan Paris (semua anggota tetap  Majlis Keselamatan) terhadap daya usaha Turki-Brazil itu.  Kedua-dua negara itu  dikatakan melakukan kesilapan yang sama yang dilakukan oleh Amerika dan rakan-rakannya memanjangkan isu Iran.  Kesilapannya ialah unilateralisme.  Turki dan Brazil percaya bahawa mereka boleh melakukannya sendiri.  Menyedari bahawa kedua-duanya, iaitu sekatan dan  usaha oleh pihak ketiga tidak  mampu menyelesaikan dilema, usaha EU tidak berguna, dan percubaan lain juga gagal, memang diragui bahawa susah payah Turki-Brazil ini akan mencapai kejayaan.
Tatkala murka Washington terhadap Turki dan Brazil belum lagi reda, tiba-tiba berlaku peristiwa serangan komando Israel  terhadap kapal Mavi Marmara.  Serangan yang mengorbankan sembilan nyawa dan berpuluh-puluh orang cedera dikutuk oleh warga dunia, benar-benar   mendorong Turki ke “tengah pentas.”  Meskipun pihak Israel  mereka-reka pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan kejam itu, tetapi dunia antarbangsa tidak mempercayainya:  akibat yang tidak diduga daripada kekejamannya.  Bahkan, tindakan itu mendorong akhbar  Israel,  Haaretz mengisytiharkan   “flotila Gaza mengemudi Israel ke dalam lautan kebodohan.”
Ketika Israel  terpaksa bertungkus-lumus mengawal kerosakan, sedangkan kutukan dunia datang bertalu-talu, Turki turut mendapat perhatian dunia.  Perhatian ini bukan sahaja kerana Mavi Marmara belayar dengan bendera Turki dan lapan orang daripada sembilan orang aktivis yang terkorban ialah rakyatnya, tetapi juga kerana pendirian kerasnya  terhadap Israel, antaranya  memanggil pulang dutanya ke negara itu.  Ketegangan yang memuncak dalam hubungan Turki dengan Israel dikatakan mencapai tahap yang jarang-jarang berlaku.
Penglibatan yang mendalam Turki di Timur Tengah  merupakan pemangkin yang sangat penting untuk perubahan.  Meskipun hal ini bukannya sesuatu yang baru sama sekali kerana Turki pernah tidak membenarkan Amerika menggunakan wilayahnya untuk menyerang Iraq  pada 2003, tetapi penglibatan Turki kini di rantau itu perlu diberikan perhatian.  Selepas peranan penting Turki bersama-sama Brazil dalam mempelopori urusan nuklear dengan Iran dan reaksi keras Erdoğan  terhadap serangan  kapal Turki itu, dipercayai pewujudan dasar luar Amerika kini  terpaksa mengakui bahawa sesuatu yang penting sedang berlaku.  
Dapat dikesan bahawa sejak akhir-akhir ini Turki yang semakin yakin dengan kedudukannya bukan sahaja menolak permintaan Amerika untuk menggunakan wilayah negara itu untuk menceroboh Iraq, bahkan mendesak kerusi Majlis Keselamatan PBB diberikan kepadanya.  Selain itu, Turki berusaha menjadi orang tengah antara Syria dengan Israel, dan mencuba menjalinkan perseikatan dengan Iraq dan Iran.  Lebih daripada itu, Turki dikatakan menggunakan kedudukannya sebagai sekutu ketenteraan Israel  yang paling rapat di dunia Islam untuk melemparkan kritikan yang tajam terhadap negara Yahudi dan tidak kurang pentingnya pencerobohan terhadap Gaza.  Sedangkan Israel mengambil mudah tentang hubungannya dengan Turki, bahkan sebagai anggota NATO, Turki mencuba untuk memperlihatkan kepimpinannya yang kian ketara di dunia Islam dan sebagai jambatan antara Timur dengan Barat.  Meskipun pengaruh Turki di pentas dunia semakin meningkat, dan Amerika sendiri menyedari hakikat ini, namun Israel tidak dapat merasainya.
Dengan menyerang flotila Gaza, Israel membuka gelanggang  pertarungan dengan Turki, lebih berbahaya daripada Hamas.  Pernah menjadi sekutu penting Israel di rantau itu, Turki kini mencuba untuk mencabar hegemoni Israel sebagai kuasa besar tempatan, seperti yang diperlihatkan oleh Erdoğan:  “Kita tidak akan membiarkan Israel menolak kita ke sana sini.”  Dijangkakan   Turki dan Iran kini memberikan cabaran strategik sebenar terhadap Israel.  Pemimpin  Turki, Erdoğan yang dianggap masih setia kepada bapa pengasas Turki, Mustafa Kemal Atartuk yang membina negara sekular,    sejak lama dilihat sebagai jambatan  penting antara Timur dengan Barat.  Namun begitu,  dengan peristiwa terbaru, Erdoğan seakan-akan  mengubah sejarah tentang dasar Turki yang condong ke Barat dan berusaha membentuk  peranan sebagai pemimpin di dunia Islam.   
Akibat serangan itu, Israel terlepas peluang untuk berbaik-baik dengan Turki, pemain utama dalam usaha mengenakan sekatan terhadap Iran.  Kerosakan diplomatik yang paling jelas terhadap Amerika dan Israel akibat serangan pada hari Isnin itu ialah semakin luasnya keretakan dengan Turki, sekutu yang paling penting di dunia Islam untuk kedua-dua negara itu.  Ankara sejak awal-awal lagi mengeluarkan amaran bahawa hubungan yang rosak antara Turki dengan Israel  tidak boleh dipulihkan lagi.  Turki yang meluat dengan penolakan Pentadbiran Obama terhadap usaha negara itu mempelopori tolak ansur nuklear dengan Iran, melalui Menteri Luarnya,  Ahmet Davutoglu, terang-terang menyatakan rasa kesal akan respons  Pentadbiran Obama terhadap serangan flotila Gaza.
Naib Presiden Amerika, Joe Biden dalam mempertahankan tindakan Israel itu, sesungguhnya silap apabila beliau berkata, “Oleh itu, apakah yang hendak dihairankan di sini?”   Seandainya beliau  membaca sekurang-kurangnya ulasan Thomas L. Friedman melalui kolumnya dalam  akhbar The New York Times, kemungkinannya beliau tidak akan bersikap “memejam mata” seolah-olahnya “tidak ada apa-apa yang rosak.”  Dalam makalah “When Friends Fall Out”  pada 1 Jun, Friedman menulis, “sebagai kawan kepada kedua-dua negara, iaitu Turki dan Israel, sememangnya menyeksakan apabila melihat pertempuran yang membawa bencana antara komando tentera laut Israel dengan aktivis ‘kemanusiaan’ flotila.  Secara peribadi, saya fikir, kedua-duanya, Israel dan Turki berkeadaan tidak seimbang akhir-akhir ini, dan sememangnya tugas Amerika untuk membantu memulihkan keadaan ini dengan segera.” 
Dengan berbaur  emosi Friedman menambah, “saya pernah menegaskan jika EU tidak menerima keanggotaan Turki, kita sepatutnya mempelawa Turki untuk menyertai NAFTA.  Mengapa?  Kerana saya fikir hal ini adalah penting sama ada Turki ialah jambatan ataupun  longkang antara Barat Yahudi-Kristian dengan Arab dan Timur Muslim.  Peranan Turki dari segi menyeimbangkan dan mentafsirkan Timur dan Barat merupakan pokok persoalan yang kritikal yang membantu memastikan dunia stabil.”
Pada hari itu juga   Mark Lander menulis   dalam akhbar yang sama  bahawa dalam bergelut untuk membendung  perpecahan yang getir antara dua sekutu yang penting,  Pentadbiran Obama mencuba menenangkan kerajaan Turki yang  naik radang, tetapi enggan mengutuk Israel kerana serangannya yang menyebabkan kematian itu.  Dalam makalah “After Israel Raids Flotilla, U.S. is Torn Between Allies” Lander berhujah bahawa perselisihan yang mendalam antara Israel dengan Turki, yang pernah memupuk hubungan rapat, meletakkan Pentadbiran Obama dalam keadaan sukar berhubung dengan dua isu dasar luarnya yang paling mendesak: Timur Tengah dan Iran.  “Amerika tidak mahu meninggalkan Israel yang menjadi sasaran kecaman antarabangsa, tetapi juga tidak mahu merenggangkan Turki yang peranannya semakin lantang di pentas antarabangsa.” 
Amerika sepatutnya    risau kerana   pemenang utama dalam pertembungan antara keangkuhan  Israel dengan ketegasan Turki ialah Iran.  Amerika boleh terus-menerus merestui kekejaman Israel mungkin sehingga ke peringkat  mengorbankan Turki.   Amerika mungkin sanggup    membayar  harga yang  tinggi, tetapi  yang  menikmati laba ialah Iran. Sebelum ini, berikutan  pendudukan Amerika terlalu lama di Iraq, maka hasilnya   Iran   mempunyai lebih banyak pengaruh di negara itu  jika dibandingkan  dengan Amerika. Iran juga   sedang memperluaskan pengaruhnya ke Afghanistan.
Bagi Amerika, Israel  semakin  menjadi liabiliti,   dan kini   berhadapan dengan risiko    kehilangan aset pentingnya, iaitu Turki.   Sesungguhnya,  Amerika dan Israel lebih memerlukan Turki dan bukan sebaliknya.  Amerika (juga Israel) kehilangan sekutu pentingnya, iaitu Iran sejak  lebih 30 tahun lalu, dan kesengsaraan akibat kehilangan itu terus  dirasai hingga kini.  Apakah Amerika sanggup kehilangan Turki pula semata-mata kerana kerja tidak senonoh kerajaan Israel yang melakukan pertempuran berdarah untuk mengenakan  kepungan Gaza? 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Ogos 2010, "Turki di Pentas Dunia.") 

No comments:

Post a Comment