Pages

Thursday, July 19, 2012

Revolusi Berhenti di Syria?

KHAMIS, 19 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala ketegangan di Syria semakin memuncak, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengeluarkan amaran kepada Presiden Bashar al-Assad bahawa harinya semakin suntuk. Dua hari lalu, The Independent melaporkan bahawa cengkaman rejim al-Assad terhadap Damsyik semakin longgar kerana pemberontak semakin mara ke sana. 

Dan, serangan nekad yang meragut nyawa empat orang  pemimpin kanan pada hari Rabu semalam, menurut CNN, "menunjukkan tamparan psikologi yang amat kuat yang dapat melemahkan kuasa Presiden Bashar al-Assad." Enam belas bulan sejak pemberontakan Syria bermula, ulas editorial The Guardian, "kematian di Damsyik."  Steve Coll yang menulis dalam The New Yorker, menggunakan perkataan yang sama seakan-akan mengingatkan  kematian yang lebih besar pasti berlaku.  "Pembunuhan orang ternama itu," tegas Robert Fisk yang malam tadi muncul dalam saluran televisyen al-Jazeera mengulas peristiwa itu, "memerlukan masa untuk merancang, tetapi ini ialah skala epik, untuk menebus pertumpahan darah di seluruh Syria."  

Sementara pemberontak, seperti yang dilaporkan oleh Time, bukan sahaja meraikan pembunuhan itu, tetapi semakin bersemangat untuk menghantar lebih banyak tentera ke Damsyik.  Dengan pembunuhan empat orang penting al-Assad, menurut Tony Karon, beliau kehilangan makna penting kekebalan.

Lebih setahun lalu, Richard Haass menulis dalam Time,  membayangkan revolusi berhenti di Syria dengan memetik Yusuf al-Qaradawi bahawa "kereta api revolusi" telah tiba di Syria.  Syria besar kemungkinan bersedia untuk pergolakan.  Seperti Mesir dan Libya, Syria diperintahkan oleh sebuah keluarga, pemerintahan yang tidak ada kesahan monarki bona fide, selama 40 tahun.  

"Al-Assad yang muncul pada kaca televisyen pada 30 Mac 201," hujah Haass, mengecewakan.  Bercanggah dengan harapan, beliau tidak memansuhkan undang-undang darurat tahun 1963.  Beliau mengaitkan protes dengan konspirasi luar anti-Syria.  Tidak wujud perubahan politik."  Dengan itu, sekurang-kurangnya ketika itu, al-Assad akan meneruskan tindakan keras.

Jelas Richard Haass lagi, al-Assad memperoleh sokongan bukan sahaja daripada golongan Alawi, tetapi juga banyak golongan Sunah majoriti di negara itu, yang mengalu-alukan beliau meneruskan pemerintahan kerana ini menjamin kestabilan dan masyarakat sekular.  "Atau, seperti di Mesir dan Tunisia," tulis Haass, "rejim Syria terbukti lebih rapuh berbanding dengan apa yang kita ketahui" -  meskipun terpaksa mengambil masa yang lama, kini terbukti kerapuhannya.


Konflik Syria itu bukan sahaja mencetuskan perang saudara, tetapi juga menurut Michael Ignatieff, memecahbelahkan dunia, iaitu antara perseikatan longgar demokrasi kapitalis dengan dua despotisme autoritarian, iaitu Rusia dan China.



No comments:

Post a Comment