Pages

Monday, July 2, 2012

"Obamacare": Perang Tanpa Kesudahan?

ISNIN, 2 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Obamacare" atau pelan penjagaan kesihatan seakan-akan satu peperangan yang panjang, tercetus sebelum diluluskan oleh Kongres pada tahun 2010, terus sengit apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Agung, dan meletup apabila mahkamah tinggi Amerika Syarikat membuat keputusan pada 28 Jun baru-baru ini, mengesahkan kelangsungannya

Keputusan  Mahkamah Agung bahawa Affordable Care Act tidak bercanggah dengan Perlembagaan  memang memeranjatkan banyak orang,   bahkan CNN dan Fox News membuat laporan sebaliknya, meskipun  ada yang  menjangkakan  mahkamah itu mungkin mengesahkannya. "Pencapaian yang paling menarik untuk Mahkamah Agung," tulis Stephen L. Carter dalam Bloomberg.  Atau dalam retorik  Randy Barnett yang menulis dalam The Washington Post, "Kita hilang penjagaan kesihatan, tetapi Perlembagaan menang."  

Laporan dan ulasan tentang keputusan itu sungguh menarik dan sarat dengan kontroversi dan penuh polemik, antara semua itu, menurut  Alexander Klein dalam The Daily Beast, sembilan adalah yang terbaik untuk dibaca  Sementara The Week mendedahkan apa yang berlaku di belakang tabir: Hakim John Roberts sangat tidak selesa, Presiden Barack Obama fikir bahawa undang-undang menolak pelan kesihatan yang diperkenalkan oleh beliau, kempen Obama juga keliru, dan CNN sangat tidak teratur. 

Yang paling memeranjatkan keputusan  John Roberts yang dilantik oleh Presiden George W. Bush, dikatakan mengubah undinya untuk menyertai empat hakim liberal, memihak kepada pelan penjagaan kesihatan, menjadikan keputusan 5-4, dan menurut Howard Kurtz, mengatasi kepartisan, dan mengubah legasinya, tegas Robert Schrum. Adakah beliau mengubah fikirannya pada saat akhir?  Sementara David Cole menulis dalam The Nation, bagaimana dan mengapa  Roberts mengesahkan "Obamacare"?  


Berikutan keputusannya itu, Ketua Hakim John Roberts mendapat perhatian; beliau, menurut Jeffrey Rosen yang menulis dalam The New Republic, menggunakan "Obamacare" untuk mendedahkan identitinya yang sebenar.  Dan, beliau juga dianggap sebagai orang yang sederhana serta berani untuk menurut.  Time yang sebelum memberikan perhatian kepada Hakim Anthony Kennedy dalam menentukan keputusan perbicaraan, tetapi berikutan keputusan Mahkamah Agung itu, majalah itu memberikan tumpuan kepada John Roberts, "apakah keputusan penjagaan kesihatan maksudkan untuk negara ini."


Republikan yang sejak awal menentang  "Obamacare," bahkan tidak seorang anggota Perwakilan yang menyokong rang undang-undang ini pada tahun 2010, nampaknya sukar menerima keputusan Mahkamah Agung itu.  Beberapa gabenor daripada parti itu terus terang mengatakan bahawa mereka akan melawan balik, dalam erti kata mereka tidak melaksanakan di peringkat negeri masing-masing.  Republikan menegaskan bahawa mereka akan memansuhkan pelan penjagaan kesihatan itu, tetapi diragui kerana sudah terlewat, malahan usaha itu dianggap sebagai fantasi.  Sementara Demokrat mengingatkan bahawa Republikan akan tewas jika berkempen untuk  memansuhkan "Obamacare."


Oleh sebab pada bulan November ini akan diadakan Pilihan Raya Presiden, yang pastinya menyaksikan pertarungan antara Barack Obama dengan Mitt Romney, maka pelan penjagaan kesihatan dan keputusan Mahkamah Agung itu, banyak mempengaruhi kempen semasa dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan pengundian. Tinjauan pendapat baru menunjukkan bahawa para pengundi tidak menyukai keputusan Mahkamah Agung itu, tetapi tinjauan pendapat yang lain menunjukkan sokongan terhadap "Obamacare" meningkat. 


Bagi Presiden Barack Obama, keputusan Mahkamah Agung yang mengesahkan kelangsungan pelan penjagaan kesihatan, seperti yang dibahaskan oleh Mark Landler dalam The New York Times, "beliau sedang mencipta legasinya, meletakkan namanya sebaris dengan  Franklin D.  Roosevelt, Lyndon B. Johnson, dan Ronald Reagan."  Kemenangan itu merupakan satu cabaran terhadap dirinya dan masa depan Affordable Care Act banyak bergantung pada pilihan raya November ini. 


Dari segi politik, Obama, menurut Michael Tomasky yang menulis dalam The Daily Beast, meraih sokongan pengundi bebas, sedangkan Romney sukar memperolehnya. Namun, hujah Robert W. Merry dalam The National Interest, "kemenangan dari segi undang-undang, kekalahan dari segi politik." 


Sementara lawannya, iaitu Mitt Romney yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Agung itu, diperhatikan cuba mencari kelebihan pada penjagaan kesihatan yang beliau juga pernah perkenalkan ketika beliau berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts.  Beliau nampaknya dapat menggembleng sokongan kerana dalam masa 24 jam selepas keputusan Mahkamah Agung itu, beliau berjaya mengumpulkan AS$4.6 juta daripada lebih 47,000 derma dalam talian. 


Namun, keputusan Mahkamah Agung itu, bahas Alec McGillis dalam The New Republic, bukannya baik untuk Romney. Seandainya undang-undang penjagaan kesihatan itu ditolak, nescaya Romney boleh  menjaja ke sana ke mari bahawa seluruh penggal pertama Obama adalah sifar.  Bukan sahaja Obama tidak mampu memulihkan ekonomi sepenuhnya, tetapi juga isu yang beliau sendiri pilih untuk dua tahu pertama ketika ekonomi teruk, akhirnya terbukti membuat kerja suruhan yang bodoh.


Menjadikan pelan penjagaan kesihatan medan pertarungan, sesungguhnya satu pilihan yang sukar bagi Romney kerana seperti yang dinyatakan di atas dan sering dibangkitkan di Amerika Syarikat, beliau sendiri pernah memperkenalkan pelan itu di Massachusetts pada tahun 2006 yang kemudian ditiru oleh Obama. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan daripada tersadung dalam pertarungan ini, beliau sering menegaskan bahawa pelan penjagaan kesihatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya Persekutuan.


"Mandat individu," seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agung terhadap "Obamacare," menurut Sam Stein, sangat sama dengan "Romneycare."  Keputusan mahkamah itu untuk mengesahkan mandat individu Affordable Care Act sebagai cukai mendorong  Republikan untuk mendakwa bahawa Presiden Barack Obama menaikkan cukai terhadap berjuta-juta golongan kelas menengah Amerika.  Akan tetapi, hujah Kyle Cheney, "mereka akan menghadapi masalah kerana mandat individu Mitt Romney di Massachusetts berfungsi betul-betul dalam cara yang sama.  Dan orang ramai mula sedar."  Bahkan, orang ramai diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan naratif Republikan bahawa "Obamacare" ialah cukai terhadap kelas menengah.  


Nampaknya, Republikan mula sedar bahawa mereka akan tersadung jika mereka menggambarkan bahawa "Obamacare" sebagai kenaikan cukai kerana Romney memperkenalkan undang-undang yang sama.  Pemimpin Minoriti Senat daripada Republikan, iaitu Mitch McConnel yang muncul dalam program Fox News ketika diajukan  soalan,  sekadar menjawab, "Saya fikir Gabenor Romney perlu bercakap tentang yang pernah dilakukan di Massachusetts."


Dalam hubungan ini, Paul Begala mengungkapkan kiasan yang menarik tentang asal-usul dan perkembangan  pelan penjagaan kesihatan: "Semua yang Ketua Hakim Roberts lakukan ialan mengesahkan dasar yang difikirkan Heritage Foundation, dibidani oleh Newt Gingrich, dibesarkan oleh Mitt Romney, dan dijadikan anak angkat ketika dewasa oleh Barack Obama."


Oleh sebab pelan penjagaan kesihatan akan menghantui kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney, maka dijangkakan isu ini tidak akan bertahan lama.  Paling tidak, pada hari Jumaat ini apabila laporan kadar pengangguran Jun dikeluarkan, bermakna medan pertarungan akan beralih  semula kepada ekonomi.


Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan, sama ada medan pertarungan ini memihak kepada Romney kerana menurut Richard J. Carol yang menulis dalam Bloomberg, Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokratik adalah lebih baik untuk ekonomi.





No comments:

Post a Comment