Pages

Monday, July 2, 2012

Krisis Euro Ancam Kestabilan Global

ISNIN, 2 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun lebih dua tahun berlalu, krisis zon euro tidak menampakkan tanda untuk reda. Kesan jangkitan menjadi-jadi, dari Greece ke Ireland ke Portugal, dan yang terbaharu ke Sepanyol, manakala bukan sedikit pemimpin yang tumbang atau disingkir, yang terbaharu Nicolas Sarkozy dari Perancis. Bahkan, jika krisis berterusan, Presiden Barack Obama, mungkin terpelanting dari Rumah Putih. Bukan sahaja zon euro dijangkakan berkecai, bahkan juga Kesatuan Eropah turut runtuh.  Perdana Menteri David Cameron bercadang untuk mengadakan pungutan suara yang pastinya jika dilaksanakan, menentukan masa depan kesatuan itu.

Krisis zon euro  membadai jauh, merentas Atlantik dan menerobos Pasifik.  Dunia membangun terpaksa menanggung beban, manakala negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) tidak mampu mengelak. Krisis hutang ini, menurut Roger Bootle, membangkitkan pesimisme.

Namun, krisis yang berlarutan ini bukan membawa implikasi ekonomi,  politik, dan sosial semata-mata, tetapi juga melibatkan ancaman kestabilan global. "Tatkala para pemimpin Eropah berkumpul untuk sidang kemuncak Kesatuan Eropah minggu ini," tulis Steven Grundman dan A.J. Wilson dalam The National Interest, "wujud pertaruhan yang besar untuk keselamatan global jangka panjang sebagaimana pertaruhan untuk kestabilan ekonomi jangka pendek."

Jelas kedua-dua penulis ini, perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan merebak ke seluruh masyarakat Eropah selatan.  Penerima faedah pertama daripada trend ini ialah parti arus perdana dan secara meluas parti pembangkang, seperti Parti Rakyat Sepanyol dan Demokrasi Baru Greece.  Jika jimat-cermat, kebekuan ekonomi, dan pengangguran yang tinggi berterusan, maka para pengundi berasa bahawa politik konvensional tidak mampu menyelesaikan masalah mereka.  Bahkan kita, puak Kiri dan Kanan dikatakan memperoleh sokongan. 

Sementara puak pelampau mencari golongan yang ingin dipersalahkan, menjadikan kaum imigran sasaran mereka.  Puak imigran ini memasuki Eropah, sama ada secara sah ataupun secara haram dua dekad lalu.  Di Greece misalnya, menyaksikan puak fasis, seperti Parti Ufuk Keemasan yang berazam akan mengusir kaum imigran di negara itu.

Sementara pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia yang kini mencecah 75 juta orang,  jelas Steven Grundman dan A.J. Wilson, iaitu 36 peratus di Italy dan Portugal dan lebih 50 peratus di Sepanyol dan Greece, menyebabkan timbul perasaan hati dalam kalangan mereka. 

"Kemerosotan yang pantas dalam kemakmuran Eropah mempunyai kesan penting terhadap orde politik di wilayah itu," hujah Grundman dan Wilson. 

Sesungguhnya, kesan krisis euro semakin dalam dan semakin jauh.  Kini, kestabilan global menjadi pertaruhan. 


No comments:

Post a Comment