Pages

Thursday, July 12, 2012

Laut Kaspian Jadi Perhatian

KHAMIS, 12 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pertama kali saya mengetahui betapa strategiknya kedudukan Laut Kaspian kerana sumber minyaknya, adalah melalui buku Robert D. Kaplan, Eastward to Tartary:  Travels in the Balkans, the Middle East, and the Caucasus.  Ketika ini, tulis Kaplan, paip menyalurkan 105,000 tong minyak sehari dari telaga minyak Kaspian ke pantai pemunggahan yang berhampiran, tempat kapal minyak pertama yang mengangkut minyak Kaspian ke ke Amerika Syarikat meninggalkan Supsa pada 16 Mei 1999. 

Jelas beliau, saluran paip Baku-Supsa menyediakan cara yang boleh dipercayai untuk mengeksport minyak Asia Tengah menerusi Georgia dan Azerbaijan ke Barat tanpa menerusi Rusia. Justeru, untuk kali pertama dalam sejarah, tanah ini dapat akses ke Barat secara langsung melalui jalan kecil Laut Mati dan Bosporus.  Meskipun dengan jumlah 105,000 tong sehari tidak banyak, saluran paip Baku-Supsa adalah permulaan rangkaian penghantaran minyak dijangkakan melebihi satu juta tong sehari pada tahun 2010.  "Laluan saya dari Georgia ke Azerbaijan," tulis Kaplan, "dan merentas Kaspian ke Asia Tengah mengikuti benar-benar Jalan Sutera minyak yang baru ini."

Selepas membaca buku itu kira-kira 10 tahun lalu, saya tidak lagi mengikuti perkembangan Laut Kaspian yang dikatakan kaya dengan sumber minyak.  Cuma seingat saya (kalau tidak silap), Kaplan pernah dijemput ke Rumah Putih pada tahun 2003, sebelum Amerika Syarikat menceroboh Iraq, untuk berkongsi pengetahuan beliau tentang Laut Kaspian dengan Pentadabiran Bush. 

Untuk mengatakan Laut Kaspian adalah strategik dari sumber minyak dan geopolitik adalah kurang meyakinkan.  Berbicara tentang minyak, pastinya terbayang akan empayar minyak Arab, yang menurut Paul D. Miller dalam The National Interest, sedang merosot.  Tegas beliau, kepentingan geostrategik Timur Tengah dibesar-besarkan secara berlebihan.  Pentingnya wilayah itu kepada Amerika Syarikat terutamanya kerana pengaruhnya dalam pasaran dunia, tetapi pengaruh itu dalam kemerosotan terminal untuk satu generasi, fakta yang hampir tidak disedari oleh para pemerhati luar.  Yang menarik ialah penegasan Miller, "pangsi Presiden Barack Obama ke Asia Timur memang sesuai dengan masanya," - masih belum melihat kepentingan  Kaspian "raksasa laut yang baru"  sebagai alternatif Timur Tengah yang merosot itu. 

Selain Laut China Selatan yang mencetuskan ketegangan antara China dengan beberapa buah negara jirannya, dan  Lautan Hindi dan Lautan Pasifik yang menjadi idaman  China,  Laut Kapsian yang kelihatan terpencil juga menarik perhatian. Joshua Kuchera yang menulis dalam Foreign Policy, menegaskan perlumbaan senjata Kaspian yang besar. 

Laut Kaspian, tulis Kuchera, "yang pernah menjadi air mati strategik, dengan cepat menjadi tempat mudah meletusnya perseteruan serantau, semuanya dirangsangkan oleh sejumlah trilkon dalam petrodolar di bawah arusnya."  Para pemerhati mendapat gambaran sepintas lalu pertama kerancakan perlumbaan senjata pada musim luruh yang lalu apabila Rusia dan Kazakhstan mengadakan latihan tentera bersama di Kaspian, yang bersempadan dengan Iran dan beberapa buah negara bekas republik Soviet.

Sementara dunia tertumpu kemungkinan Israel menyerang Iran, maka kurang perhatian bahawa perlumbaan senjata berlaku di utaran Iran, dalam kalangan negara bekas Soviet yang bersempadan dengan Kaspian.  "Dua puluh tahun selepas runtuhnya Kesatuan Soviet mewujudkan tiga negara baru di laut, sempadan negara itu masih belum ditentukan,"  jelas Kuchera, "dan dengan telaga yang kaya dengan minyak dan gas asli di perairan yang menjadi rebutan itu, negara baru, iaitu Azerbaijan, Kazakhstan, dan Turkmenistan, menggunakan kekayaan mereka yang baru ditemui itu untuk melindungi sumber kekayaan itu."

Perlumbaan senjata berpunca daripada ketidakpercayaan terhadap Iran dan kebimbangan terhadap Rusia, manakala kedua-dua negara ini pula takut akan penglibatan Amerika Syarikat dan Eropah di Kaspian. Ketidakpastian menyumbang kepada ketegangan sejak beberapa tahun lalu, antaranya  pengawal pantai Azerbaijan mengancam pelantar minyak yang dikendalikan  oleh syarikat Malaysia dan Kanada  untuk Turkmenistan berhampiran sempadan dua buah negara itu. 


No comments:

Post a Comment