Pages

Monday, June 11, 2012

Tomato atau Pelan Penyelamat, Pokoknya Sepanyol Dilanda Krisis

ISNIN, 11 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas memperoleh pelan penyelamat bernilai AS$125 bilion untuk menyelamatkan bank-bank di Sepanyol,  Perdana Menteri  Mariano Rajoy mengisytiharkan "kemenangan untuk euro,"   tetapi dijangkakan mencetuskan reaksi daripada negara yang dilanda krisis teruk, iaitu Ireland, Portugal, dan Greece. 
Pelan penyelamat diberikan kepada Sepanyol, menurut The Washington Post,  tatkala rakyat Greece bersiap sedia untuk mengundi pada 17 Jun ini, dengan harapan langkah itu dapat mempengaruhi mereka, iaitu tidak memilih parti yang antipelan penyelamat. 

Namun, dalam usaha untuk menjaga maruah, meskipun terpaksa memohon bantuan, Menteri Ekonomi Sepanyol, Luis de Guindos,  menegaskan "ini bukan pelan penyelamat.  Ini merupakan pinjaman dengan syarat yang menguntungkan." 

"Anda kata tomato, saya kata pelan penyelamat," tulis Lisa Abend dalam Time.  Kerajaan Sepanyol berulang-ulang kali menegaskan bahawa bank-bank yang dilanda krisis itu tidak memerlukan pelan penyelamat. Alasan mengapa bukan pelan penyelamat ada kaitannya dengan stigma yang disertakan sebagai syarat, seperti yang pernah dikenakan terhadap tiga negara sebelum ini, iaitu Greece, Ireland, dan Portugal, bukan sahaja membawa bersama-samanya tuntutan kewangan baru daripada troika, iaitu Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangssa (IMF), dan Bank Pusat Eropah (ECB), tetapi juga tekanan politik yang disertakan, termasuk pembaharuan pencen, cukai, dan buruh. 

Pelan penyelamat ini mencetuskan reaksi yang bercampur-campur.  Kadar pengangguran di Sepanyol mencecah 25 peratus, dan ekonominya pada tahun ini dijangkakan menyusut sekurang-kurangnya 1.7 peratus, meskipun dengan pertolongan Kesatuan Eropah. Joseph Stiglitz dipetik sebagai berkata, "pelan penyelamat bank-bank ini tidak berkesan."  Bagi beliau, Kesatuan Eropah, mesti menggalakkan pertumbuhan dan bukan jimat-cermat. 

Akar umbi krisis euro seperti yang dibahaskan oleh George Soros, kerana negara anggotanya menyerahkan hak mencetak mata wang kepada ECB. Hal yang sama dinyatakan oleh Paul De Grauwe, bahawa benin krisis sekarang disemai hampir 20 tahun lalu apabila para pemimpin Eropah bersetuju untuk mewujudkan mata wang tanpa negara.  Kini, zon euro berpecah dua, dengan negara pemiutang di utara mampu meminjam pada kadar faedah hampir sifar, dan negara di selatan yang menghadapi defisit yang sangat besar dan ketidakstabilan ekonomi. 

Justeru, sama ada tomato ataupun pelan penyelamat, zon euro terus dilanda krisis, terus menanti Jerman untuk menyelamatkannya.  Canselor Angela Merkel, seperti lazimnya, mengambil masa, meskipun ekonomi dunia hampir tenggelam.  Beliau  masih belum menghidupkan enjin kapal yang akan mengalami nasib seperti Titanic


No comments:

Post a Comment