Pages

Monday, June 11, 2012

"Siapa Gundik?"

ISNIN, 11 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





"Republik Rakyat Skandal" terus mendapat perhatian kerana  satu demi satu skandal terbongkar.  Chen Guangcheng, si buta yang hampir mencetuskan ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China telah pun berhijrah ke Amerika, dan dari sana beliau mengutuk pucuk pimpinan di negara tumpah darahnya

Sebaliknya,  kisah  Bo Xilai terus membara. Yang terbaharu melibatkan skandal seksnya dengan seniwati  Zhang Ziyi, pelakon Crouching Tiger, Hidden Dragon,  menurut Daily Mail.  Dengan melacurkan dirinya dengan lelaki yang sangat berkuasa di China, termasuk Bo Xilai, Zhang dikatakan memperoleh pendapatan 64 juta paun. 

Seniwati itu, menurut  Jiayang Fan yang menulis dalam The New Yorker dibayar enam juta yuan (kurang sedikit satu juta dolar) untuk tidur dengan Xu Ming, sahabat Bo dan bermaksud pembiaya, sebelum dia menyerahkan Zhang kepada Bo dengan markup 50 peratus. Jiayang memetik laporan bahawa antara tahun 2007 hingga 2010, Zhang bertemu dengan Bo sebanyak 10 kali, dan untuk itu dia dibayar 100 juta yuan, dan dia dikatakan mempunyai pengaturan yang sama dengan pegawai lain. 

Walau bagaimanapun, Zhang dilaporkan menafikan semua dakwaan yang tidak berasas itu dan mengeluarkan amaran melalui peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit. Ketidakhadiran Zhang di Festival Filem Cannes, menguatkan lagi khabar angin bahawa dia dihalang oleh kerajaan daripada meninggalkan negara itu. 

Orang Cina  tidak terperanjat oleh skandal Zhang Ziyi itu.  Lapor Paul Mooney dari Beijing, "skandal itu mungkin tidak berasas, tetapi perdagangan seks untuk mendapat sokongan merupakan sebahagian China baru.  Cerita itu gamat di seluruh dunia, sebaliknya di China, hanya segelintir yang memberikan perhatian."

Mooney yang memetik sumber industri yang juga melahirkan keraguan tentang berita itu, berkata bahawa seniwati yang kaya-raya itu tidak perlu memperdagangkan tubuhnya demi wang.  Kemungkinan besar bahawa Zhang menjadi mangsa terbaharu Parti Komunis melancarkan kempen buruk yang bertujuan memusnahkan Bo Xilai yang isterinya, Gu Kailai, yang disyaki  bertanggungjawab membunuh ahli perniagaan British pada November lalu. 

Walau bagaimanapun, Mooney menjelaskan bahawa banyak orang Cina memberitahu mereka mempercayai cerita hubungan seks.  Betul atau silap, wujud tanggapan meluas di China bahawa banyak seniwati, penyanyi, dan penari jelita memperdagangkan tubuh mereka dalam usaha memburu kejayaan. 


No comments:

Post a Comment