Pages

Saturday, June 30, 2012

Tindakan Afirmatif: Pengalaman Amerika Syarikat

SABTU, 30 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila John McCain memilih Sarah Palin sebagai  regunya untuk  Pilihan Raya Presiden tahun 2008, antara kritikan yang dilemparkan ialah wanita ini kurang pengalaman dan cetek pengetahuan, tidak mengetahui  dengan  baik tentang dunia yang kompleks, dan falsafah politiknya boleh ditampal sebagai pelekat bampar.  Palin terpaksa  membuat kerja rumah untuk berdebat dengan Joe Biden macam pelajar memerah otak untuk menduduki ujian.  “Kelayakan  adalah soal kedua.  Standard yang paling rendah untuk bakal pemimpin untuk negara yang paling berkuasa di dunia. Demikian tulis Katha Pollitt,  dalam majalah The Nation:  “Sarah Palin, Affirmative Action Babe.”  Untuk mengukuhkan hujah beliau bahawa pemilihan Palin berdasarkan tindakan afirmatif – dasar yang ditentang oleh golongan konservatif,  Katha berkias,  “seperti yang diketahui berlaku di tempat kerja yang kurang gembira, Palin mendapat kenaikan pangkat kerana bos suka dia.”
Dalam beberapa tahun kebelakangan, tulis  Scott Plous dalam buku Understanding Prejudice and Discrimination,    tindakan afirmatif di Amerika Syarikat dibahaskan lebih sengit jika dibandingkan dengan mana-mana masa lain dalam tempoh 35  tahun sejarahnya.  Banyak penyokong menganggap tindakan afirmatif sebagai batu tanda jalan, banyak penentang melihat tindakan afirmatif sebagai batu kisar, dan banyak yang lain melihatnya sebagai kedua-duanya  perlu, tetapi tidak sempurna, penawar atau remedi untuk penyakit sosial yang sukar diselesaikan.  Beliau berpendapat bahawa kes yang menentang tindakan afirmatif  adalah lemah, terlalu bergantung pada mitos dan salah faham.  Bagi Plous, sesetengah penulis yang mengkritik tindakan afirmatif sebagai penyelesaian superfisial yang tidak menangani masalah sosial yang lebih dalam melalui pengagihan semula kekayaan dan membangunkan kesamaan pendidikan yang sebenar.  Namun begitu, hujah beliau, tindakan afirmatif tidak pernah dicadangkan sebagai  ubat untuk semua penyakit untuk penyelesaian ketidaksamaan.  Sebaliknya, tindakan afirmatif hanya bertujuan untuk membetulkan diskriminasi dari segi pengambilan pekerja dan kemasukan akademik.
            Pengalaman pelaksanaan tindakan afirmatif di Amerika Syarikat,  sedikit  banyak mempunyai persamaan dengan pengalaman  tindakan afirmatif di Malaysia sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu sarat dengan sokongan dan penentangan,  penuh dengan pro dan kontra.   Golongan  penentang  yang kadangkala merujuk  pengalaman Amerika, berhujah bahawa di negara itu tindakan afirmatif dilaksanakan untuk golongan minoriti dan kaum wanita, sedangkan di Malaysia, tindakan afirmatif  untuk golongan majoriti, iaitu bumiputera.   
Golongan penentang juga bersikap dwistandard, iaitu mengambil sikap berdiam diri apabila Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang  mengadakan  demonstrasi di hadapan pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square atas alasan  Pakatan Rakyat (PR) belum lagi berusaha untuk  meringankan kemiskinan kaum India dengan melaksanakan program    tindakan afirmatif  -  dasar yang selama ini menyebabkan orang Melayu  dipersenda dan UMNO dikutuk.  Seandainya cadangan pelaksanaan tindakan afirmatif   itu dikemukakan oleh orang Melayu  pastinya  mereka akan menerima kritikan dan sindiran yang bertubi-tubi daripada golongan yang berlagak sebagai penentang tindakan afirmatif.
Di Amerika, tindakan afirmatif dilaksanakan melalui perintah Eksekutif 10952 yang dikeluarkan Presiden John F. Kennedy pada 6 Mac 1961,  diperkukuhkan atau diperluaskan lagi oleh presiden yang seterusnya, seperti Lyndon Johnson dan Richard M. Nixon.  Walau bagaimanapun, tindakan afirmatif di negara itu banyak menerima tentangan keras daripada orang Yahudi yang menyerang apa yang mereka sebut sistem kuota.  Sesetengah pemimpin khuatir bahawa tindakan afirmatif boleh mewujudkan polarisasi yang “membahayakan status ekonomi dan politik orang Yahudi dan orang kelas menengah kulit putih” –  sesuatu yang senada dengan tentangan yang berlaku di Malaysia,  “membahayakan penguasaaan ekonomi kaum tertentu.”  Orang Yahudi sejak lama lagi menentang kuota yang dilaksanakan di universiti dan kolej elit di negara itu yang digunakan untuk untuk mengetepikan mereka, tanpa mengambil kira  merit akademik.
            Pada tahun 1990-an berlaku perdebatan yang cukup hebat tentang tindakan afirmatif di Amerika.  Ada penulisan tentang perkara ini, dikatakan  tidak memahami pendedahan etnografi, seperti emosi.  Dan, dipercayai bahawa  emosi ini yang tidak boleh dielakkan, yang mendasari kes khusus untuk tindakan afirmatif.  Mereka yang  mempertahankan tindakan afirmatif  berhujah bahawa wujud pemisahan sebenar antara orang kulit putih dengan Afrika-Amerika: kita dan mereka.  Dan, tindakan afirmatif  boleh memainkan peranan penting untuk merobohkan halangan antara dua rakyat  Amerika ini.  Meskipun diakui  bahawa tindakan afirmatif adalah sukar untuk ditadbirkan, membangkitkan isu yang penting mengenai  keadilan, dan sebagainya, tetapi  pandangan ini tidak berapa penting jika dibandingkan dengan peranan tindakan afirmatif dalam menyampaikan mesej kepada Afrika-Amerika, “Ya, kita boleh.  Ya, kita prihatin.”
            Tindakan afirmatif di Amerika pada dasarnya bertujuan melindungi golongan minoriti dan kaum wanita daripada diksriminasi pekerjaan dan pendidikan, tetapi diakui bahawa tindakan afirmatif berkesan. Dikatakan bahawa terdapat beribu-ribu contoh situasi yang orang berkulit hitam, wanita kulit putih, dan wanita serta lelaki  golongan pekerja daripada semua kaum yang sebelum ini dihalang  peluang pekerjaan atau pendidikan, atau dinafikan peluang selepas diterima masuk, telah  menikmati akses melalui tindakan afirmatif. Meskipun program  tindakan afirmatif tidak menghapuskan rasisme dan tidak juga selalu dilaksanakan tanpa masalah, namun   dihujahkan bahawa    tidak ada perjuangan untuk menarik balik  kebaikan yang dicapai jika dasar  tindakan afirmatif tidak berkesan.
Dari segi  amalan, tindakan afirmatif  melampaui  golongan minoriti dan kaum wanita; bahkan    bekas Presiden, George W. Bush menikmati bantuan tindakan afirmatif.  Apabila beliau berkata bahawa semuanya untuk kepelbagaian dan beliau tidak pedulikan tindakan afirmatif yang diamalkan di University of Michigan yang terpaksa diselesaikan  di Mahkamah Agung, ada orang yang mengingatkan beliau, “Tunggu sekejap.  Bagaimana anda memasuki Yale?”  Seperti yang diperlihatkan oleh Michael Kinsley dalam “How Affirmative Action Helped George W.” yang diterbitkan dalam majalah Time pada Januari 2003, “bukannya kerana mana-mana pencapaian akademik beliau.”  Sebaliknya, hujah Kinsley, jelas bahawa Bush memasuki Yale kerana tindakan afirmatif.  Tindakan afirmatif untuk anak dan cucu alumni.  Tindakan afirmatif untuk anggota keluarga yang berpengaruh dari segi politik.  Tindakan afirmatif untuk budak lelaki dari sekolah persediaan istimewa (fancy).  Bentuk tindakan afirmatif seperti ini masih berterusan.” 
            Bagi Kinsley, bahkan George W. Bush mungkin cerita kejayaan tindakan afirmatif yang paling hebat atau luar biasa untuk selama-lama, meskipun pencapaian hidupnya hampir-hampir kosong: sebagai Gabenor Texas, diterima masuk di Andover, Yale, Harvard Business School, memperoleh kekayaan selepas bertahun-tahun gagal dalam perniagaan.  Kepintaran, kerja kuat, dan kualiti lain yang berkait dengan konsep merit  hampir-hampir tidak ada kena mengena kehidupan dan kejayaan beliau hingga ke tahap ini.  Namun begitu, tujuh tahun kemudian, beliau menjadi Presiden Amerika.
Bagi golongan penentang tindakan afirmatif yang dilaksanakan di Malaysia, meskipun mereka ada kalanya merujuk kepada Amerika, tetapi mereka “menggelapkan”  kes  George W. Bush (juga Sarah Palin).  Jika direnung hujah Kinsley, dalam konteks Malaysia, sesungguhnya, ramai orang yang duduk selesa di atas  tindakan afirmatif, tetapi pura-pura menentangnya, bahkan menghina dan mengeji  tindakan afirmatif.  Ramai pemimpin politik pembangkang  dan banyak pihak lain mengamalkannya.
Sesungguhnya, hujah Kinsley dalam mempertahankan tindakan afirmatif dan mengkritik mereka yang menentangnya, sedikit  banyak boleh dikaitkan dengan pengalaman Malaysia yang melibatkan persoalan kaum:   “tindakan afirmatif dikritik atau dikecam kerana kaum, dan kaum adalah terutamanya subjek  toksid.”      Beliau juga  mengingatkan bahawa golongan kaya, anak-anak alumni yang berpengaruh dari universiti yang terkenal  ialah orang kulit putih adalah tidak seimbang.  Dan, keadaan ini berkekalan untuk tempoh yang lama, terutamanya jika tindakan afirmatif berdasarkan kaum  diharamkan.  Hujah Kinsley, penentang dan penyokong tindakan afirmatif biasanya cenderung untuk bersetuju bahawa ada sesuatu yang buruk, pada amnya disebut kuota, dan sesuatu yang baik, pada amnya disebut sesuatu seperti kepelbagaian.  Hujah mereka adalah mengenai di manakah anda menandakan sempadan.  “Kehidupan tidak adil.  Kritikan yang sah tentang tindakan afirmatif adalah bahawa tindakan afirmatif mempolitikkan peluang hidup dan menumpukan tanggungjawab kesalahan terhadap kaum.”
Di Malaysia, perdebatan tentang tindakan afirmatif dipersegarkan semula dengan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada 30 Mac lalu: pro dan kontra, sokongan dan tentangan.  Beliau menegaskan bahawa DEB dengan tindakan afirmatif   berjaya dilaksanakan selama 40 tahun yang lalu, mengimbangkan strategi pertumbuhan ekonomi negara  dengan keperluan menangani ketidaksamarataan struktur ekonomi dan memupuk keharmonian sosial. Kadar kemisikinan berjaya dikurangkan dengan ketara kepada 3.7 peratus pada masa ini. “Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian tersebut. Kejayaan ini menjadi contoh kepada negara-negara berbilang kaum lain yang ingin diikuti. Namun begitu, bilangan isi rumah berpendapatan rendah masih lagi banyak di Malaysia. Kerajaan kini berhadapan dengan masalah abad ke-21 yang memerlukan pendekatan baru untuk menyelesaikannya.”
“Justeru,” kata Najib “adalah perlu kita memperbaharui dasar afirmatif terhadap MEB yang akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik.  Dasar ini akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat – mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sering kali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara. Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar yang berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar.”
Sejak berdekad-dekad  lamanya, DEB telah menjadi kayu pengukur pencapaian utama masyarakat.  Objektif asalnya masih lagi relevan, namun sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB.  Oleh itu, Najib memaklumkan bahawa  dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksanakan berdasarkan empat prinsip, iaitu mesra pasaran, berdasarkan merit, telus, dan berdasarkan keperluan.
Sebelum pengenalan MEB oleh Perdana Menteri, majalah The Economist memberikan liputan tentang pelaksanaan tindakan afirmatif:   “Out with the New.”  Majalah itu melaporkan bahawa Najib akan meneruskan tindakan afirmatif, tetapi lebih berorientasikan pasaran.  Majalah itu juga memetik Najib sebagai berkata, “Saya tidak melupakan hak orang Melayu, kepentingan orang Melayu, tetapi saya mahu orang Melayu bekerja dengan kaum lain juga.”
Michael Schuman dalam Time.com pada awal April membahaskan tindakan afirmatif susulan daripada pengumuman MEB itu dengan cara agak berhati-hati:   “Saya takut bahawa pada tahap ini dalam laman web ini, beberapa pembaca telah pun memanaskan jari mereka untuk menaip beberapa ulasan yang buruk. Walau bagaimanapun, saya menjelaskan  secara muktmad bahawa saya tidak, diulang, tidak menentang tindakan afirmatif.”  Meskipun dalam dunia teoritikal  ekonomi klasik, dasar tindakan afirmatif tidak diperlukan, namun hujah Schuman, “keputusan ekonomi malangnya dipengaruhi oleh semua jenis prasangka dan rangkaian social, dan ada kalanya undang-undang diperlukan untuk memastikan keadilan.”
Dalam makalah  “Affirmative Action: Bad for Growth?” itu Schuman, mengatakan bahawa program tindakan afirmatif di Malaysia dilaksanakan secara meluas dan pada skala yang sangat besar.  Tindakan afirmatif di Malaysia, oleh itu, mempunyai impak yang berlebihan-lebihan terhadap ekonominya.  Namun begitu, beliau mengakui bahawa wujud keseimbangan antara tindakan afirmatif dengan daya saing ekonomi yang perlu membuat pilihan antara dasar tindakan afirmatif dengan apakah yang baik untuk ekonomi keseluruhan.
Walau apa-apa pun kritikan dan tentangan,  tindakan afirmatif sepatutnya dilihat dalam konteks keadilan ekonomi dan dan keadilan sosial.   Seperti yang  ditegaskan oleh  Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi:  “Di Malaysia, peranan kerajaan diperluaskan ke arah yang satu lagi.  Untuk berdekad-dekad, kerajaan Malaysia melaksanakan program tindakan afirmatif yang agresif untuk membantu orang Melayu.  Program ini adalah bahagian penting dalam pembinaan bangsa (nation building); pandangan bahawa semua kumpulan akan mendapat faedah daripada masyarakat yang lebih stabil dan adil serta saksama adalah diterima secara meluas.”
Hakikatnya, “padang permainan masih tidak sama rata,” oleh itu, tanpa dasar-dasar nasional, seperti tindakan afirmatif, nescaya ada kaum atau golongan yang tercicir atau terpinggir daripada arus pembangunan.  Sesungguhnya, banyak kejayaan yang dicapai melalui tindakan afirmatif, meskipun di sana sini, terdapat kecacatan dari segi pelaksanaannya.  Pastinya, ahli ekonomi yang terkenal, iaitu Joseph Stiglitz tidak membuat penilaian yang membuta tuli tentang kebaikan tindakan afirmatif yang dilaksanakan sejak berdekad-dekad.  Sebagai ahli ekonomi yang memperjuangkan keseimbangan antara peranan kerajaan dengan pasaran, tentunya beliau dapat melihat  peranan penting  tindakan afirmatif. Jika dibiarkan pasaran dibiarkan bergerak bebas dan menentukan segala-galanya , dan peranan kerajaan adalah minimum, nescaya bukan sahaja ekonomi akan kucar-kacir, bahkan juga negara akan porak-peranda.
 Malangnya, apa yang dilihat oleh Stiglitz itu tidak dapat dilihat oleh penentang tindakan afirmatif di negara ini.  Atau mungkin mereka dapat melihatnya, tetapi ketamakan, kebencian, dan keangkuhan mereka mengatasi segala-galanya.  Sememangnya, berbahaya dari segi pembinaan bangsa jika pemikiran kumpulan ini dibiarkan mencorakkan pendapat awam dan mempengaruhi penggubalan dasar-dasar nasional.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Jun 2010.)

No comments:

Post a Comment