Pages

Friday, June 29, 2012

Italy dan Sepanyol Tunjuk Belang

JUMAAT, 29 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dari Euro 2012 ke zon euro, Sepanyol dan Italy benar-benar tunjuk kekuatan.  Dalam perlawanan bola sepak  kedua-dua pasukan ini akan bertembung dalam perlawanan akhir Euro 2012.  

Jika ketika perlawanan suku akhir antara Jerman dengan Greece yang masih dilanda krisis politik, Canselor Angela Merkel melompatkan keriangan setiap kali pasukan negaranya menjaringkan gol sehingga para penyokong Greece naik berang, namun di sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang berlangsung di Brussels,  beliau nampaknya terpaksa tunduk pada tuntutan Italy dan Sepanyol.  

Perdana Menteri Italy Mario Monti dan rakan sejawatannya, Mariano Rajoy dari Sepanyol dilaporkan enggan menandatangani pakej pertumbuhan bernilai AS$149 bilion, sehingga jurubayar, iaitu Jerman meluluskan langkah jangka pendek untuk mengurangkan kos kredit mereka. "Suatu kemenangan untuk Italy dan Sepanyol yang pemimpin kedua-dua negara itu menegaskan bahawa mereka banyak berusaha untuk membersihkan ekonomi mereka, tetapi masih menghadapi kos peminjam yang meningkat."

Di sidang kemuncak itu, menurut Larry Elliott yang menulis dalam The Guardian, "Jerman lawan Italy, Sepanyol, dan Perancis."  Wujud perbezaan antara Jerman dengan tiga buah negara lagi dalam Empat Besar.

Mario Monti dilaporkan tidak dapat melawan, mengingatkan Angela Merkel bahawa Italy juga memenangi perlawanan bola sepak, dengan menewaskan Jerman 2-1.  "Ini kepuasan berganda untuk Italy," kata beliau. 

Menjelang sidang kemuncak itu, Angela Merkel, menurut Spiegel International Online, menggasak rakan-rakannya dalam zon euro. Beliau juga dipetik sebagai menawarkan wawasan  federalisme untuk Kesatuan Eropah - seolah-olah membayangkan setiap orang akan tunduk pada Berlin untuk menyelesaikan krisis euro yang menyeksakan

Hakikatnya, Merkel "sudah jatuh ditimpa tangga,"  di padang dan di sidang kemuncak:  beliau akhirnya terpaksa beralah.  Sesungguhnya, ini hari yang buruk untuk Jerman. "Para pemimpin Kesatuan Eropah," tulis Bruce Crumley, "mula mencabar disiplin fiskal yang ketat yang diperjuangkan oleh Angela Merkel."


Bahkan,   pakar berpendapat bahawa untuk menyelamatkan zon euro, Jerman sepatutnya meninggalkan zon mata wang bersama itu, dan bukannya Greece atau Sepanyol. Dan, pagi tadi waktu Malaysia, Jerman benar-benar tersingkir daripada Euro, yang sungguh mengecewakan Berlin.

Setelah sekian lama diaibkan dengan akronim yang menjijikan - PIIGS (Portugal, Ireland, Italy,   Greece, dan Sepanyol),  dua daripadanya berjaya memasuki perlawanan akhir dan mengajar Berlin tentang "langit tinggi rendah."


No comments:

Post a Comment