Pages

Wednesday, June 20, 2012

Penyeludupan Manusia: Pematuhan Malaysia Tidak Cukup

RABU, 20 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sebilangan kita mungkin pernah menonton iklan penyeludupan manusia yang disiarkan melalui saluran televisyen, yang bertujuan mengingatkan kesalahan melakukan aktiviti berkenaan dan menyemai keprihatinan serta kepekaan orang ramai supaya mereka turut sama membanteraskannya.  

Penyeludupan manusia, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat,  merupakan perhambaan moden yang berkembang maju.  Menjual beli manusia merupakan perniagaan besar di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat. Dianggarkan 27 juta orang yang menjadi buruh paksa, pelacuran terpaksa, dan penyalahgunaan fizikal. 

Trafficking in Persons Report  yang diumumkan oleh Setiausaha Negara,  Hillary Clinton, mengenal pasti aktiviti penyeludupan manusia, iaitu penyeludupan seks, penyeludupan seks kanak-kanak, buruh paksa, buruh terikat atau perhambaan hutang, perhambaan domestik dengan tidak sengaja, dan buruh kanak-kanak paksa. 

Setiap negara yang terlibat dikategorikan berdasarkan tingkat: Tingkat 1 terdiri daripada negara yang kerajaan memenuhi sepenuhnya piawai minimum Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan (TVPA). Tingkat 2 negara yang kerajaan tidak memenuhi piawai minimum TVPA, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi piawai tersebut. Tingkat 2 Senarai Pemerhatian (SP) negara yang kerajaan tidak memenuhi piawai minimum TVPA, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi piawai tersebut dan (a) bilangan mutlak mangsa bentuk teruk penyeludupan adalah sangat ketara atau meningkat dengan ketara; (b) gagal untuk menyediakan bukti usaha yang meningkat untuk memerangi bentuk teruk penyeludupan manusia dari tahun sebelumnya; atau (c) penentuan bahawa negara melakukan usaha yang signifikan untuk mematuhi piawai minimum berdasarkan komitmen oleh negara untuk mengambil langkah seterusnya sepanjang tahun hadapan. Tingkat 3, iaitu negara yang kerajaan tidak mematuhi sepenuhnya piawai minimum dan tidak melakukan usaha yang signifikan untuk mematuhinya. 

Dalam kalangan negara yang dinyatakan dalam laporan itu, Malaysia menduduki Tingkat 2SP bersama-sama Myanmar dan Thailand  untuk  Asia Tenggara, manakala negara lain di rantau ini, iaitu Brunei,  Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Singapura, Timor-Laste menduduki Tingkat 2. Negara yang menduduki Tangga 1, antaranya Australia, Austria, Belgium, Kanada, Colombia, Crotia, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Georgia, Jerman, Iceland, Ireland, Israel, Italy, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Malaysia, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, ialah destinasi dan pada takat tertentu,  negara sumber dan transit untuk lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang tertakluk kepada kedaaan buruh paksa, dan wanita dan kanak-kanak tertakluk kepada penyeludupan seks.  Majoriti yang sangat besar mangsa penyeludupan adalah antara dua juta orang dianggarkan yang didokumenkan dan dua juta atau lebih pekerja asing yang tidak didokumenkan di Malaysia.  Mereka datang secara rela ke Malaysia dari negara, termasuk Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, Pakistan, dan Vietnam untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik.  Sesetengahnya berkesudahan menjadi buruh paksa atau perhambaan hutang di tangan majikan, ejen pekerjaan, atau pengambil buruh tidak forma mereka.  

Laporan itu juga menyatakan kemasukan wanita Uganda yang semakin menjadi-jadi sekarang; pada mulanya mereka datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan yang sah, tetapi berkesudahan dengan menjadi pelacur. Sindiket Uganda dan Nigeri menghantar mangsa di antara China dengan Malaysia, dan menggunakan ancaman kecenderaan terhadap mangsa dan keluarga mereka untuk memaksa mangsa terjebak dalam pelacuran. 


No comments:

Post a Comment