Pages

Wednesday, June 20, 2012

Pemusnahan Kreatif dan Pembangunan Tidak Seimbang

RABU, 20 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Pernah diingatkan supaya  dilakukan inovasi secara berterusan,  jika tidak, sesuatu barang yang dikeluarkan atau  perkhidmatan yang disediakan akan menjadi usang dan organisasi berkenaan akan  hilang daya saing dan seterusnya lenyap.  Editorial akhbar The New York Times, “Saving the Post Office”  baru-baru ini memaklumkian  mangsa terbaharu perubahan teknologi, dan salah satu alternatifnya ialah inovasi.  “Jika Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat ingin hidup dalam peralihan ke zaman Internet  tanpa memerlukan berbilion-bilion dolar subsidi persekutuan,” ulas  editorial itu,  “Kongres mesti membenarkan pejabat pos memotong beberapa perkhidmatan, menutup  beberapa pejabat, dan melakukan perubahan sesuai yang lain.”
Guru pengurusan yang terkenal, Peter Drucker pernah berkata,  semua usahawan yang berjaya  yang beliau temui mempunyai kesamaan adalah bukannya jenis personaliti tertentu, tetapi komitmen terhadap amalan sistematik inovasi.   Drucker  menulis bahawa pastinya inovasi muncul daripada pancaran genius.  Walau bagaimanapun, inovasi, terutamanya yang berjaya, berpunca daripada mencari peluang inovasi dengan sengaja dan penuh azam,  yang hanya ditemui dalam beberapa situasi.  Inovasi, iaitu  penerapan  pengetahuan untuk mengeluarkan  pengetahuan baru, tegas beliau, memerlukan usaha yang sistematik, dan darjah tinggi organisasi, tetapi juga memerlukan kedua-dua, iaitu pemencaran dan kepelbagaian, iaitu berbeza dengan perancangan pusat dan pemusatan.
Inovasi yang dibahaskan  oleh Peter Drucker,  lebih tertumpu pada organisasi: “Setiap organisasi akan belajar bagaimana melakukan inovasi dan belajar bahawa inovasi boleh dan sepatutnya diatur sebagai proses sistematik,” meskipun beliau pernah menyebut inovasi dan kerajaan: “Tuntutan yang tidak berlaku dahulu terhadap keberanian politik, imaginasi politik, inovasi politik, kepimpinan politik yang menuntut kecekapan atau kompetens kerajaan yang tinggi.”  Beliau juga   mengulas keterpinggiran inovasi dalam ekonomi:   “Tiada tempat dalam teori ekonomi sezaman untuk teknologi, untuk inovasi, untuk perubahan semua sekali.  Teknologi, inovasi, dan perubahan adalah luaran.  Ahli ekonomi, pastinya tahu bahawa teknologi, inovasi, dan perubahan adalah penting.”  Namun begitu, Drucker berkeyakinan  bahawa berbanding dengan makroekonomi, keusahawanan,  rekaan, dan inovasi ialah tuan (masters) dan dapat mengubah ekonomi secara luar biasa dalam jangka pendek.
Jika dahulu inovasi merupakan denyut nadi sesebuah organisasi, kini inovasi juga menjadi faktor penting dalam menentukan pertumbuhan,  pembangunan,  daya saing, dan bahkan  kelangsungan sesebuah negara.  Domain inovasi tidak lagi terbatas pada organisasi semata-mata, tetapi   tersebar kepada negara. Dari bidang pengurusan, inovasi bergerak ke bidang ekonomi.  Banyak negara  berlumba-lumba untuk melakukan  inovasi atau  meminjam istilah  ahli ekonomi Joseph Schumpeter - “pemusnahan kreatif.” 
Pemusnahan kreatif, iaitu proses mutasi perindustrian yang tidak henti-henti memusnahkan yang lama, tidak henti-henti mencipta yang baru, atau sesuatu yang baru membunuh sesuatu yang lama, yang merupakan hakikat penting kapitalisme. Schumpeter membahagikan kerja proses yang tidak henti-henti  pemusnahan kreatif kepada dua fasa: fasa sebenarnya revolusi dan fasa penyerapan hasil revolusi itu.  Beliau mentakrifkan inovasi yang mendasari proses secara sangat luas, sebagai “membawa kombinasi baru” yang termasuk bukan hanya inovasi teknologi dan organisasi dalam industri, tetapi semua inovasi, seperti pembukaan pasaran baru, laluan perniagaan baru, sumber penawaran baru, pemasaran produk baru, atau pengenalan organisasi baru dalam pemerolehan dan penghapusan  barang niaga – yang berjaya dalam menerajui ekonomi ke dalam saluran baru.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemajuan dalam penyebaran pengetahuan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) semakin tersebar luas dan menghasilkan peningkatan produktiviti.  Sebagaimana  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan asing,  dan daya saing global,  inovasi di setiap negara  juga penting dan menarik  perhatian umum. Seperti yang dinyatakan dalam The Innovation for Development Report 2009-2010: Strengthening Innovation for the Prosperity of Nations,  kepentingan relatif pelbagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran berkembang sepanjang masa dan jumlah negara yang meningkat, inovasi, dalam banyak dimensinya muncul sebagai faktor utama.   
Ringkasan Eksekutif The Innovation for Development Report 2009-2010  menyatakan sumber tradisional kuasa dan pengaruh, seperti wilayah, sumber, tenaga manusia mentah, dan kekuatan ketenteraan – untuk berabad-abad penentu utama kesejahteraan sesebuah negara – terlalu kurang penting pada hari ini, dan memberikan laluan kepada dunia yang pembangunan yang berjaya bukan hanya hubungan yang kian meningkat dengan dasar yang kukuh, kawal selia yang baik, dan pengurusan berkesan sumber kewangan yang sukar ditemui, tetapi yang lebih penting, hubungan dengan kemampuan masyarakat membebaskan dan memanfaatkan kapasiti kreatif terpendam penduduk mereka.  Semakin banyak negara pada hari ini memerhatikan negara yang dapat memperluaskan peluang untuk penduduk mereka menerusi eksploitasi sepenuhnya peluang yang diberikan oleh ekonomi dunia melalui perdagangan antabangsa, pelaburan asing, penerimaan teknologi baru, kestabilan makroekonomi, dan kadar tinggi simpanan atau tabungan.
Antara laporan  tentang inovasi yang lazim ditemui  adalah mengenai keterhakisan kedudukan Amerika Syarikat sebagai peneraju inovasi di peringkat global.  Seperti yang pernah dibangkitkan oleh The Knowledge Economy: Is the Unites States Losing its Competitive Edge? yang diterbitkan   pada tahun 2005, lebih setengah abad, Amerika Syarikat menerajui dunia dalam penemuan saintifik dan inovasi.  Walau bagaimanapun,  dalam dunia persaingan yang  berkembang  pesat pada hari ini, Amerika tidak boleh lagi memandang ringan terhadap  tampuk kekuasaannya.  Negara-negara dari Eropah hingga Asia Timur pada laluan pantas untuk mengatasi Amerika dari segi kecemerlangan saintifik dan inovasi teknologi.
Seterusnya, Science and Engineering Indicators 2010 yang diterbitkan oleh Majlis Sains Negara (National Science Board) pada awal tahun ini, memaklumkan bahawa Asia mencabar kepimpinan inovasi Amerika Syarikat.  Laporan itu merumuskan bahawa kepimpinan global  Amerika Syarikat dalam bidang sains dan teknologi merosot kerana negara asing, terutamanya China dan negara Asia lain membangunkan dengan pesat sistem inovasi negara mereka.  “Penguasaan Amerika merosot dengan ketara.  Data mula memberitahu cerita yang merisaukan,” kata Kei Koizumi, Penolong Pengarah bagi Penyelidikan dan Pembangunan Persekutuan di Pejabat Dasar Sains dan Teknologi Presiden Obamadan  (President Obama’s Office of Science and Technology Policy - OSTP). Pengarah Yayasan Sains Negara (National Science Foundation),  Arden Bement,  dilaporkan berkata,  “China mencapai jumlah sinergi yang dramatik dengan meningkatkan pelaburannya dalam pendidikan  sains dan kejuruteraan, penyelidikan, dalam bidang infrastruktur yang menjadi daya tarikan ahli sains di seluruh dunia.”
Menurut laporan itu lagi,  pelaburan Amerika dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P) sebagai nisbah KDNK masih malar secara relatif sejak pertengahan 1980-an, iaitu kira-kira 2.7 peratus, dengan bahagian persekutuan daripada jumlah P&P secara konsisten merosot.  Sebaliknya, negara Asia mengembangkan dengan pesat P&P mereka jika dibandingkan dengan nisbah KDNK.  Jepun dan Korea mengatasi Amerika dengan nisbah kira-kira 3.5 peratus, manakala China melipatgandakan nisbahnya daripada 0.6 peratus pada tahun 1996 kepada 1.5 pada 2007, meskipun ketika KDNK negara itu meningkat kira-kira 12 peratus setahun.  Pelaburan China dalam P&P meningkat lebih 20 peratus setahun antara 1996 hingga 2007, berbanding dengan pertumbuhan kurang enam peratus di Amerika.  Bahagian Asia dari segi P&P global meningkat daripada 24 peratus kepada 31 peratus sepanjang  tempoh berkenaan, manakala Amerika Utara merosot daripada 40 peratus kepada 35 peratus.
 The Global Competitiveness Report 2009-2010   menentukan daya saing   133 buah negara berdasarkan 12 tonggak, dan tonggak akhir daya saing  ialah  inovasi.  Seperti yang dinyatakan dalam laporan terbaru itu, dalam jangka panjang, taraf hidup boleh diperluaskan hanya dengan inovasi.   Inovasi adalah terutamanya penting bagi ekonomi kerana ekonomi mendekati sempadan ilmu dan berkemungkinan menyepadukan dan memadankan teknologi eksogen yang cenderung lesap.  Meskipun negara kurang maju masih dapat meningkatkan produktiviti mereka dengan memadankan teknologi yang wujud atau melakukan penambahbaikan yang meningkat dalam bidang lain, bagi negara yang mencapai tahap pacuan inovasi pembangunan, keadaan ini tidak lagi cukup untuk meningkatkan produktiviti.  Firma di negara ini mesti mereka bentuk dan membangunkan produk dan proses termaju untuk mengekalkan kelebihan saing.  Hal ini memerlukan persekitaran yang sesuai dengan aktiviti inovatif, yang disokong oleh kedua-dua sector, iaitu awam dan swasta.
Pada awal Mac lalu, INSEAD, sekolah perniagaan antarabangsa yang terkemuka mengumumkan dapatannya,  Global Innovation Index 2009-2010  (GII), kajian yang diterbitkan bersama dengan Confederation of Indian Industry (CII) untuk tiga tahun lalu.  GII menilai kemajuan kesediaan inovasi di negara yang berkenaan, menekankan halangan yang mencegah kerajaan, perniagaan, dan individu daripada menguasai sepenuhnya faedah inovasi.  “Laporan tahun ini menggariskan pentingnya inovasi dari segi daya saing dan pertumbuhan, khususnya pada masa apabila ekonomi global dalam pemulihan daripada satu daripad krisis kewangan yang teruk yang pernah berlaku,” kata Soumitra Dutta, Profesor Roland Berger Perniagaan dan Teknologi di INSEAD dan pengarang utama kajian berkenaan.  “Hasil kajian mengesahkan keperluan penting untuk negara memberikan tumpuan terhadap dasar proinovasi terarah untuk memulakan secara bertenaga (jumpstart) pertumbuhan dalam jangka sederhana dan menerajui pembangunan dalam jangka panjang.”
GII 2009-2010 mencuba  membuat perbezaan muktamad untuk pemeringkatan atau penarafan dengan menilai secara  terperinci takat yang ekonomi yang berbeza mendapat faedah daripada kemajuan inovasi terbaru, berasaskan tiga prinsip utama, iaitu pertama, wujud perbezaan antara enabler dengan output ketika mengukur inovasi dalam ekonomi.  Enabler ialah aspek yang membantu ekonomi merangsang inovasi, manakala output ialah hasil aktiviti inovatif di dalam ekonomi itu.  Kedua, terdapat lima tonggak enabler yang termasuk dalam GII: institusi, kapasiti manusia, infrastruktur umum dan infrastruktur TMK, kecanggihan pasaran,  dan kecanggihan perniagaan. Tonggak enabler mentakrifkan aspek persekitaran yang sesuai  atau kondusif yang diperlukan untuk merangsang inovasi di dalam ekonomi itu.  Ketiga, terdapat dua tonggak output yang menyediakan keterangan hasil inovasi di dalam ekonomi itu: output saintifik dan output kreatif serta  kesejahteraan.
Laporan tahun ini menilai 132 buah negara dengan menggunakan data daripada beberapa sumber, seperti Forum Ekonomi Dunia, Bank Dunia, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengukur input inovasi, seperti pendidikan dan iklim perniagaan, di samping output untuk menyatakan kuantiti kemajuan saintifik dan kreatif.  Amerika tersingkir daripada 10 negara teratas kerana negara itu tidak menyediakan dengan cukup banyak input atau apa yang kajian sebut “tonggak inovasi.”
Sama dengan laporan  2008-2009, ekonomi Eropah mencapai prestasi yang sangat baik, termasuk negara Nordic, iaitu Sweden, Denmark, Finland, dan Norway yang kesemuanya tergolong dalam 10  negara teratas bersama-sama Iceland.  Hanya Hong Kong, Singapura, dan New Zealand dari Asia-Pasifik yang turut tergolong dalam 10 negara teratas (Jadual 1).
Meskipun industri perbankannya runtuh akibat krisis kewangan global, namun  Iceland menggantikan Amerika sebagai pemimpin inovasi kerana negara itu lebih cemerlang daripada Amerika dalam bidang pendidikan dan infrastruktur. Dengan pemilihan Iceland itu jelas bahawa krisis yang berlaku tidak menjejaskan tahap pencapaian inovasi.  Keadaan ekonomi Iceland yang kucar-kacir hingga  mencetuskan protes dalam kalangan rakyat  tidak menghalang negara itu daripada mencapai tahap inovasi yang  tinggi.  Pada awal tahun lalu, Perdana Menteri  Iceland, Geir Haarde merupakan pemimpin dunia pertama yang terpaksa meletakkan jawatan berikutan runtuhnya mata wang dan sistem perbankan negara itu dan ekonominya berhadapan dengan penguncupan hingga10 peratus.  Pada awal tahun ini, Britian memberikan amaran untuk menyekat Iceland daripada menyertai Kesatuan Eropah berikutan Presidennya, Olafur R. Grimssons enggan menandatangani rang undang-undang pembayaran balik pinjaman AS$5.7 bilion kepada Britain dan Belanda.
  Jika dirujuk kepada  kedua-dua indeks, iaitu indeks inovasi dan indeks daya saing, secara keseluruhannya,  banyak   negara  tergolong dalam 30 buah negara teratas inovasi dan daya saing, kecuali Slovenia, Republik Czech, Estonia, dan Sepanyol.  Sementara Malaysia menduduki tempat ke-28 dalam inovasi berbanding dengan tempat ke-24 daya saing. Walaupun dari segi inovasi, Iceland menduduki tempat pertama, tetapi dari daya saing negara itu menduduki tempat ke-26, manakala Switzerland yang menduduki tempat pertama dari segi daya saing, menduduki tempat keempat dalam inovasi (Jadual 1).  Amerika yang tersingkir daripada 10 negara teratas inovasi, menduduki tempat kedua dalam daya saing.  Hanya Denmark dan Finland masing-masing menduduki kelima dan keenam untuk inovasi dan daya saing. Selain Iceland, New Zealand, Taiwan, dan Slovenia mencapai kedudukan yang sangat berbeza antara inovasi dengan daya saing. Sementara beberapa negara, seperti Sweden, Belanda, United Kingdom, Belgium, Korea Selatan, dan Amiriah Arab Bersatu, tidak mempunyai perbezaan kedudukan yang ketara antara inovasi dengan daya saing.

Jadual 1:  Pemeringkatan inovasi negara terpilih  dan perbandingannya   
                dengan daya saing, 2009 - 2010

Negara
           Inovasi
    Daya saing
Kedudukan  
Mata
Kedudukan
Mata
 Iceland
1
4.86
26         
4.84    
 Sweden
2
4.85
4             
5.51
 Hong Kong 
3
4.83
11           
5.22
Switzerland
4
4.82
1          
5.60
Denmark
5
4.72
5          
5.46
Finland
6
4.66
6        
5.43
Singapura
7
4.65
3         
5.55
Belanda
8
4.62
10         
5.32
New Zealand
9
4.60
20        
4.98
Norway
10
4.59
14         
5.17
Amerika Syarikat
11
4.57
2          
5.59
Kanada
12
4.55
9        
5.33
Jepun
13
4.50
8         
5.37
United Kingdom
14
4.42
13       
5.19
 Luxembourg
15                  
4.38
21        
4.96
 Jerman
16                  
4.32
7         
5.37
 Belgium
17                  
4.31
18         
5.09
Australia
18                  
4.28
15         
5.15
Ireland
19                  
4.27
25       
4.84
Korea Selatan
 20 
4.24
19      
5.00
Austria
 21                 
4.21
17         
5.13
Perancis
22                  
4.20
16         
5.13
Israel
 23                 
4.11
27       
4.80
Amiriah Arab Bersatu
24                  
3.98
23          
4.92
Taiwan
25                  
3.97
12          
5.20
Slovenia
26                  
3.80
37            
4.80
Republik Czech
27                  
3.77
31          
4.80
 Malaysia
28                  
3.77
24           
4.75
Estonia
29                  
3.76
35             
4.74
Sepanyol
30                 
3.74
33           
4.70

SumberUntuk inovasi daripada Global Innovation Index 2009-2010 dan
                untuk daya saing daripada    The Global Competitiveness Report 2009-2010.
Nota:  Susunan kedudukan negara berdasarkan pemeringkatan Global Innovation Index 2009-2010.

Selain GII 2009 – 2010,   The Innovation for Development Report 2009-2010: Strengthening Innovation for the Prosperity of Nations  mengemukakan  pandangan yang tuntas terhadap peranan inovasi dalam mempertingkatkan proses pembangunan.  Laporan ini terbahagi kepada tiga bahagian tematik.  Bahagian pertama menyoroti Indeks Kapasiti Inovasi (ICI), alat metodologi yang mengkaji kumpulan yang luas tentang factor, dasar, dan institusi yang menanggung inovasi yang kuat di sebilangan besar negara.  Bahagian kedua laporan berkenaan mengandungi beberapa kertas yang ditulis oleh pakar terkemuka yang mengajukan dimensi yang berbeza tentang inovasi.  Antara persoalan yang diajukan: Apakah impak terhadap pertumbuhan ekonomi daripada  akses yang meningkat kepada TMK?  Mengapa sistem paten semasa kita tidak cekap dan bagaimana keadaan itu melemahkan inovasi?  Bagaimanakah inovasi boleh menjadi lebih inklusif dan merangsang pola pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan adil?  Bahagian ketiga laporan ini menunjukkan profil inovasi bagi 68 buah ekonomi yang besar, yang mewakili bahagian terbesar  output dunia.
Dalam edisi tahun 2009, ICI  merangkumi 131 buah negara dan mengenal pasti lebih 60 faktor yang dianggap mempunyai kesan langsung keupayaan negara untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, antaranya seperti persekitaran institusi, anugerah modal manusia, kehadiran penyertaan sosial, rangka kawal selia dan undang-undang, infrastruktur bagi P&P, dan penerimaan dan penggunaan TMK di negara berkenaan. 
Jika dalam GII 2009-2010 Iceland menduduki tempat pertama,  dalam The Innovation for Development Report 2009-2010  tempat itu dikuasai oleh Sweden dan diikuti oleh Finland, sedangkan Iceland menduduki tempat ke-14  (Jadual 2).  Amerika Syarikat yang menduduki tempat ke-11 dalam GII 2009-2010, menduduki tempat kedua dalam The Innovation for Development Report 2009-2010.  Walau bagaimanapun, kedua-dua laporan ini mempunyai persamaan: ekonomi Eropah menguasai tempat 10 negara teratas. Sementara  rantau Asia-Pasifik hanya diwakili oleh Singapura dan New Zealand, manakala Hong Kong terkeluar dalam senarai 10 negara teratas.   Malaysia yang menduduki tempat ke-25 dalam GII 2009-2010, terpaksa akur dengan kedudukan ke-34.
Sweden yang menduduki tempat pertama dalam pemeringkatan ICI pada tahun 2009, dapat digunakan sebagai penanda aras bagi negara lain. Menurut laporan itu, kehadiran penting Sweden dalam ekonomi global dan unsur dari segi pendekatannya terhadap inovasi yang khususnya relevan bukan sahaja dengan negara perindustrian lain, tetapi juga dengan negara pendapatan sederhana yang bercita-cita menyertai liga inovator teratas.  Sweden menjadi menarik bukan sahaja dari segi menggabungkan kerajaan yang terbuka dan telus, perlindungan sosial universal, dan tahap tinggi daya saing dan produktiviti – menjadikan negara itu salah satu ekonomi paling inovatif di dunia – tetapi sama juga dari takat yang negara itu mempunyai rangka dasar yang cemerlang yang mengubah sektor swasta menjadi jentera utama inovasi.

 Jadual 2:  Pemeringkatan Indeks Kapasiti Inovasi 2009–2010
                dalam kalangan negara terpilih
Negara
Kedudukan
Mata
Sweden
1
82.2
Finland
2
77.8
Amerika Syarikat
3
77.5
Switzerland
4
77.0
Belanda
 5
76.6
Singapura     
6
76.5
Kanada
7
74.8
United Kingdom
8
74.6
Norway
9
73.5
New Zealand
10
73.4
Luxembourg
11
73.3
Denmark
11
73.3
Taiwan
13
72.9
Iceland
14
72.6
Jepun
15
72.1
Hong Kong
16
71.3
Australia
17
71.2
Ireland
18
70.5
Korea Selatan
19
70.0
Jerman
20
68.8
Israel
21
68.2
Belgium
22
67.6
Austria
23
66.7
Perancis
24
65.4
Estonia
25
62.7
Lithuania 
26
 60.7
Latvia
27
60.5
Sepanyol
28
60.3
Chile
29
59.4
Italy
30
59.1
Malaysia
34
57.3

Sumber:  The Innovation for Development Report 2009-2010:
               Strengthening Innovation for the Prosperity  of Nations.  



          Tatkala beberapa buah negara Asia mula menguasai inovasi, namun menurut laporan PBB pada Oktober lalu, seperti yang dipetik oleh Media Line,  tahap pendidikan, penyelidikan, dan inovasi di dunia Arab adalah teruk.  Laporan yang merupakan sebahagian perkongsian antara Program Pembangunan PBB dengan Yayasan Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang beribu pejabat di Amiriah Arab Bersatu, mendapati meskipun adanya usaha ahli sains dan penyelidik di seluruh rantau itu, tetapi dunia Arab hanya menyumbangkan 1.1 peratus daripada penerbitan saintifik global dan tahap pelaburan yang rendah dalam penyelidikan menyumbang kepada tahap inovasi yang rendah secara relatif di seluruh dunia Arab. 
Kritikan yang keras ditujukan terhadap kurangnya pelaburan dalam bidang akademik dan penyelidikan saintifik, menghalang keupayaan negara Arab untuk memenuhi standard pekerjaan, teknikal, dan pendidikan tinggi global.  Laporan itu mendapati bahawa penyelidikan saintifik di dunia Arab tidak melebihi 0.3 peratus KDNK negara dan 97 peratus bergantung pada pendanaan kerajaan.  Sementara negara, seperti Finland didapati membelanjakan lebih AS$1000 per orang terhadap penyelidikan saintifik setiap tahun, sedangkan kurang AS$10 per orang dibelanjakan setahun terhadap penyelidikan saintifik di dunia Arab.  Akibatnya, jumlah paten yang didaftarkan dengan institusi nasional Arab adalah minimum dan ahli sains dan penyelidik Arab hanya  menyumbang 1.1 peratus penerbitan saintifik global. 
Selain dunia Arab (kecuali Amiriah Arab Bersatu - Jadual 1), seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1 dan  Jadual 2, negara Afrika, Amerika Latin, dan bahkan negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China), meskipun antara negara itu – China dan India mengalami pertumbuhan yang pesat, masih tertinggal dalam inovasi.  Walaupun seperti yang dinyatakan di atas, dari segi inovasi  China menyaingi Amerika, tetapi kedudukan  negara itu di peringkat global belum menyerlah.  Apabila dunia Arab,  negara Afrika,  dan Amerika Latin ketinggalan dalam inovasi, bermakna wujud jurang yang lebar antara negara maju dengan negara membangun atau negara Dunia Ketiga.  Atau dengan kata lain, wujud pembangunan tidak seimbang antara kedua-dua dunia itu.
 Dalam mencadangkan untuk menggalakkan inovasi dan keadilan sosial, dengan merujuk kepada harta intelek, Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi dalam bukunya, Making Globalization Work    mengemukakan dua persoalan:  Bolehkah kita mempunyai lebih banyak inovasi dengan lebih banyak keadilan sosial? Bolehkah kita mendapatnya pada kos terendah untuk negara membangun? Bagi Stiglitz, apakah yang memisahkan antara negara maju dengan negara membangun bukan sahaja jurang sumber, tetapi juga jurang pengetahuan; dan rejim harta intelek boleh menjadikan jurang itu lebih rapat, sama ada dengan lebih mudah atau lebih sukar.  Apabila beliau menyebut, “rayuan dunia membangun adalah supaya rejim harta intelek menyediakan mereka lebih banyak akses kepada pengetahuan” jelas memperlihatkan betapa lebarnya jurang antara kedua-dua dunia itu.
Inovasi berorientasikan keuntungan dalam gambaran Joseph Schumpeter, “menjanakan ayunan dalam ekonomi secara keseluruhan daripada fasa panjang kemakmuran yang utama kepada fasa panjang kemelesetan yang utama” mengingatkan bahawa pemusnahan kreatif boleh mencetuskan ketidakseimbangan dalam ekonomi, seperti yang dilakukan oleh inovasi kewangan:  krisis kewangan dan krisis   ekonomi masa kini.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Jun 2010; kecuali rajah tidak dapat masukkan kerana masalah teknikal.)

No comments:

Post a Comment