Pages

Thursday, May 24, 2012

Manfaat Minyak Sawit untuk Kesihatan

KHAMIS, 24 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kira-kira 20 tahun lalu, minyak sawit dari Malaysia diserang hebat oleh pengeluar kacang soya di Amerika Syarikat dengan pelbagai alasan, antaranya keburukan  kesihatan penggunanya.  Mereka menggunakan pelbagai fakta untuk menyokong hujah mereka sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa bertungkus-lumus menangkis segala tohmahan itu, termasuk melalui perhubungan awam,  dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.  

Serangan pengeluar kacang soya itu sebenarnya berpunca daripada kemasukan minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat yang mencetuskan persaingan terhadap minyak kacang soya. Mana-mana pengeluar tidak akan membenarkan keluaran mereka terjejas di negara mereka sendiri, seperti yang dilakukan oleh pengeluar kacang soya itu.  Pada pihak Malaysia, negara ini juga melakukan kesilapan kerana memasuki  pasaran negara asing tanpa   usul periksa.  Mudah cakap, "masuk padang orang, kalau tidak kena cara, kena belasah."

Meskipun perang antara kacang soya dengan kelapa sawit sudah pun reda, dari semasa ke semasa, akan berlaku serangan terhadap komoditi utama Malaysia, Indonesia, dan beberapa negara lain, dengan menggunakan isu alam sekitar.  Bahkan, Bank Dunia yang pernah membiayai penanaman kelapa sawit di Afrika Sub-Sahara dan wilayah membangun lain, yang bernilai AS$132 juta, akhirnya menghentikan program itu atas desakan yang mengelirukan daripada kumpulan alam sekitar. 

Dengan membangkitkan pelbagai sumbangan kelapa sawit, seperti dari segi kesihatan, penggunaan dan kepenggunaan, ekonomi negara pengeluar komoditi ini,  dan peluang pekerjaan, Thompson Ayodale yang menulis dalam The New York Times pada Oktober 2010, "kesilapan  Bank Dunia terhadap minyak sawit." 

Dua hari lalu, Neel Chowdhury menulis dalam Time,   bahawa para penyelidik membuktikan potensi manfaat kesihatan daripada minyak sawit. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa bentuk vitamin E terkandung dalam buah kelapa sawit, iaitu tocotrienol, yang dapat melawan kanser dan mencegah strok.   Meskipun tocotrienol boleh ditemui dalam bran beras, barli, dan gandum, minyak sawit kaya dengan sumber tersebut, memetik Pramod Khosla, profesor madya dari Jabatan Pemakanan, Wayne State University di Detroit. Beliau memberitahu beberapa kajian tabung uji yang dilakukan sepanjang dua dekad lalu, di Amerika Syarikat, Kanada, dan Malaysia, menunjukkan tocotrienol "sangat berkesan" dalam membunuh sel kanser.

Dapatan kajian terbaharu ini pastinya meredakan pengeluar kelapa sawit dari Malaysia dan negara-negara lain yang  sentiasa menjadi sasaran serangan pihak tertentu, termasuk dari negara maju.  Tidak kurang cadangan pihak tertentu supaya mana-mana produk yang menggunakan minyak sawit, seperti coklat diboikot. Serangan pencinta alam sekitar tidak pernah reda, ada-ada sahaja "modal" mereka untuk mencari kelemahan komoditi ini. Dengan dapatan tersebut, maka mana yang lebih penting: Kesihatan atau alam sekitar yang kesan pencemaran serta kemusnahan tidak seberapa?


No comments:

Post a Comment