Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Perbelanjaan ketenteraan masih mendapat liputan The Economist melalui carta hariannya. Menurut data yang dikeluarkan oleh Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), sebuah organisasi kumpulan pemikir, yang dipetik oleh majalah itu, perbelanjaan ketenteraan di seluruh dunia adalah datar pada tahun 2011 berbanding dengan tahun 2010.
Amerika, Eropah Barat, dan Amerika Latin, yang antara mereka, perbelanjaan ketenteraan 65 peratus daripada jumlah global AS$1.634 trilion (pada harga tahun 2010), semuanya berbelanja kurang jika dibandingkan dengan perbelanjaan pada tahun 2010. Ini kali pertama Amerika melakukan pengurangan tahun atas tahun sejak tahun 1998, mengecilkan belanjawannya sebanyak 1.2 peratus, iaitu kepada AS$690 bilion.
Untuk memastikan jumlah perbelanjaan datar, wujud perbelanjaan yang besar di tempat-tempat lain. Perbelanjaan Rusia meningkat sebanyak 9.3 peratus, iaitu kepada AS$64.1 bilion, sesuatu yang ada kena-mengena Pilihan Raya Presiden awal tahun ini. Rusia kini menduduki tempat ketiga dari segi jumlah perbelanjaan global, mengatasi kedua-dua negara, iaitu Perancis dan Britain.
Carta yang dikemukakan di bawah memberi maksud bagaimana banyak perbelanjaan pertahanan berubah jika dibandingkan dengan prestasi ekonomi dalam dekad lalu untuk 16 buah negara dan wilayah yang data diperoleh. China misalnya, yang berbelanja sebanyak AS$129 bilion tahun lalu, meningkatkan perbelanjaan secara meluas sejajar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jika diperhatikan carta tersebut, negara Asia Tenggara yang tersenarai ialah Singapura, Indonesia, Filipina, dan Thailand. Walau bagaimanapun, tatkala beberapa buah negara jiran berbelanja sakan untuk ketenteraan masing-masing, Malaysia tidak kelihatan.
No comments:
Post a Comment