Pages

Wednesday, April 11, 2012

Pasaran Eropah Panik

RABU, 11 April 2012
Oleh: ZULKIFLI  SALLEH


Kejutan pasaran berikutan kadar pengangguran di Amerika Syarikat yang masih tinggi, iaitu 8.2 peratus pada bulan Mac lalu   nampaknya masih belum reda apabila indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh 213.66 mata semalam, iaitu kepada 12,715.93 mata, jauh berundur dari wilayah 13,000 mata yang dikuasainya sejak berminggu-minggu. 



Tatkala pasaran Amerika Syarikat terhuyung-hayang, pasaran saham Eropah pula dikejutkan oleh jualan panik kerana krisis hutang bangkit semula.  Krisis hutang kedaulatan meletup semula pada hari Selasa semalam, dengan pasaran di seluruh benua itu dikejutkan oleh gelombang jualan panik di tengah-tengah ketakutan yang menghantui semula tentang impak langkah jimat-cermat yang teruk di Sepanyol dan Italy. 

Angin tenang yang tidak mudah  kelihatan di seluruh Eropah sejak pelan penyelamat Greece pada Februari lalu berkecai kerana pasaran kewangan bertindak balas terhadap bayang-bayang kemelesetan curam berganda dan penentangan popular yang semakin menjadi-jadi terhadap pemotongan kebajikan dan peningkatan cukai.

Itlay dan Sepanyol, ekonomi ketiga dan keempat terbesar di zon euro, merupakan pusat kacau-bilau pasaran, dengan para pelabur menuntut premium yang semakin tinggi untuk pemegangan bon mereka. Bahkan,  krisis euro dikatakan berlaku  semula yang turut mengejutkan pasaran saham dan bon global.  


No comments:

Post a Comment