Oleh: ZULKIFLI SALLEH
China kini, seperti yang dilaporkan antaranya oleh The Guardian, The Telegraph, BBC, dan Economy Watch, mengatasi Amerika Syarikat dari segi pasaran barang runcit. Beli-belah makanan di China itu bernilai 607 bilion paun (AS$964 bilion) pada akhir tahun 2011, berbanding dengan Amerika yang nilainya 572 bilion paun (AS$908). Dengan itu, Amerika Syarikat kini menduduki tempat kedua, manakala United Kingdom di tempat kesembilan dalam pasaran barang runcit terbesar di dunia.
Laporan terbaharu itu mendasari penguasaan ekonomi global China yang semakin meningkat. Sektor barang runcit di negara itu diramalkan akan terus berkembang dengan pesatnya sepanjang beberapa tahun akan datang, hampir mencecah satu trilion paun (AS$1.6 trilion) pada tahun 2015, menurut para penyelidik industri barang runcit IGD.
"Belum makan lagi? merupakan salah satu pertanyaan yang paling lazim digunakan di China, menurut carta harian The Economist, menandakan pentingnya makanan dalam budaya negara itu, yang juga merujuk laporan terbaharu pasaran barang runcit. "Tahun lalu, rakyat Chinaa membelanjakan sejumlah 14 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terhadap barang runcit, dengan itu, bukan amat memeranjatkan bahawa China yang berkembang dengan pesat menjadi pasaran barang runcit terbesar di dunia."
Negara lain yang turut tersenarai dalam carta harian itu ialah Jepun, India, Brazil, Rusia, Perancis, Jerman, Britain, Italy, Indonesia, Sepanyol, Mexico, Kanada, dan Australia. Namun, jika dilihat perbelanjaan setiap orang, Perancis menduduki tempat pertama, iaitu AS$4740, diikuti oleh Australia AS$4488, Britain AS$3660, dan Jepun AS$3183.
Sementara India, walaupun menduduki tempat keempat dalam pasaran makanan dan barang runcit, adalah paling rendah, iaitu AS$324 perbelanjaan setiap orang, diikuti oleh Indonesia AS$667. China meskipun menduduki tempat pertama, dari segi perbelanjaan setiap orang, hanya AS$722, jauh lebih rendah daripada Amerika Syarikat yang perbelanjaan setiap orang AS$2931.
No comments:
Post a Comment