Pages

Friday, March 30, 2012

Shimon Peres: Perdamaian, Pemberontakan Arab, dan Nuklear Iran

JUMAAT,  30 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam ruangan "10  Questions" keluaran terbaharu Time, terkandung temu bual dengan Presiden dan bekas Perdana Menteri Israel, Shimon Peres.  Berhubung dengan persetujuan perdamaian Oslo, beliau menafikan usaha itu gagal dan bukan juga berakhir. Tegas beliau, perdamaian akan menjadi kenyataan dalam dekad mendatang.  

"Jika kita mampu menggembleng semua muhibah yang perlu, kita dapat mencapai perdamaian lebih awal kerana wadah  telah diketahui, prinsip telah pun dipersetujui" jelas beliau.

Peres berasa optimis terhadap Pemberontakan Arab yang mewujudkan kerajaan dikuasai oleh golongan Islam di Tunisia dan Mesir.  Bagi beliau, Islam mempunyai tafsiran yang berbeza: Islam lembut, Islam kuat, dan Islam ekstrem. "Justeru, kita perlu melihat apakah tafsiran mereka tentang hubungan dengan Israel." 

Berhubung tindakan terhadap Iran yang dikatakan membina kemudahan nuklear, Peres nampaknya menolak keutamaan Israel untuk menyerang Iran terlebih dahulu.  "Jika anda dapat melakukannya melalui sekatan ekonomi atau sekatan politik, langkah itu lebih baik."  Namun tambah beliau, "Saya tidak fikir bahawa anda  perlu memberitahu segala-gala yang anda ingin lakukan" sambil menafikan bahawa Israel berhasrat mengeluarkan senjata nuklear.  Di sini, Peres menceritakan kisah kecil dengan Amr Moussa, Menteri Luar Mesir ketika itu. "Satu hari, beliau  datang bertemu saya dan berkata, 'Simon, kita kawan baik.  Bawa saya ke Dimona untuk melihat apakah yang ada di sana.  Saya menjawab, 'Amr, adakah anda gila? Jika saya bawa anda ke sana, dan anda dapati tidak ada apa-apa.  Anda akan berhenti daripada takut, maka saya tidak ada kerja lagi.'" 

Temu bual itu juga menyentuh kewujudan kira-kira enam juta orang Yahudi yang merupakan warganegara Israel dan lebih tujuh orang Yahudi yang tidak menjadi warganegara Israel. Satu juta rakyat Israel tinggal di luar negara. "LIhat," jelas Peres, "kami wujud selama 4000 tahun, 2000 tahun dalam diaspora, dalam buangan.  Tidak ada orang di Timur Tengah yang bertutur dalam bahasa asal mereka, kecuali Israel." 

Shimon Peres juga menjawab pertanyaan tentang penyertaan beliau dalam Facebook dan hubungan Turki dengan negaranya.  Beliau mempertahankan tindakan tentera yang menyebabkan kematian rakyat Turki di atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010. "Saya menemui setiap tentera Israel yang berada di atas kapal itu.  Mereka melakukan yang terbaik tidak membunuh setiap orang.  Apa yang berlaku, mereka mempertahankan diri."


No comments:

Post a Comment