Pages

Friday, March 30, 2012

Pemulihan: Terlalu Awal untuk Mengisytiharkan Kemenangan

JUMAAT,  30  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH
Tatkala paluan gendang pemulihan semakin rancak, Immanuel Wallerstein menulis dalam laman Webnya, meragui bahawa kemelesetan (recession) telah berakhir. Dalam tulisan awal Januari tahun lalu, beliau mempersoalkan siapa yang memperolokkan siapa? Meskipun media memaklumkan bahawa "krisis" ekonomi sudah berakhir, dan ekonomi-dunia kembali kepada ragam pertumbuhan dan keuntungannya, beliau mengingatkan bahawa "seperti yang saya katakan berulang-ulang kali, kita bukannya dalam kemelesetan, tetapi dalam depression."  Selain Wallerstein,  Robert Reich  turut berbicara dengan nada yang sama dengan mempersoalkan "pemulihan  siapa"? - membayangkan pemulihan yang diwar-warkan itu sekadar memberikan kepada sebilangan kecil golongan


Apabila ekonomi mengalami kebekuan,  kadar pengangguran masih tinggi, pendapatan tidak meningkat, dan pertumbuhan perlahan, orang mula meragui bahawa pemulihan pada laluan yang betul. Meskipun krisis Eropah menghampiri pengakhiran, untuk Amerika Syarikat, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke, memberikan amaran  bahawa pemulihan negara itu tidak dipastikan.  


Bernanke yang memetik "pucuk hijau" pemulihan di Amerika Syarikat pada Mac 2009 hanya menyaksikan kadar pengangguran di negara beliau meningkat kepada 10 peratus tujuh bulan kemudian.  Bagi beliau, "terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan."  Kadar pengangguran masih terlalu tinggi dan penggubal dasar tidak menolak opsyen seterusnya untuk merangsang ekonomi. Bernanke masih belum yakin tentang kekuatan dan tahan lama pemulihan ini, terutama sekali kerana sesuatu menyamai berlaku pada akhir tahun 2010 dan permulaan 2011.  Banyak kekenduran dalam pasaran buruh Amerika Syarikat. 


Bagi Eropah pula, United Kingdom misalnya, yang baru sahaja  dimaklumkan mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat tahun 2011, diisytiharkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) kembali semula kepada kemelesetan pada tahun 2012.  OECD menjangkakan bahawa outuput negara akan merosot 0.4 peratus dalam tiga bulan pertama ini pada asas tahunan. 


Sementara di zon euro, Greece yang nampaknya dapat menarik nafas lega sekurang-kurangnya untuk seketika, perhatian tertumpu pula pada Portugal yang dijangkakan terjebak ke dalam kancah masalah  kedua terbesar. Dengan kata lain, Portugal akan menyusuli Greece pada akhir tahun ini. Sementara jangkitan Sepanyol menimbulkan kebimbangan terhadap negara jirannya di zon euro, kini tercetus mogok umum yang boleh memburukkan lagi ekonomi negara itu.  


Betulkah berlaku pemulihan? Soal The Economist dengan keraguan kerana meskipun tinjauan untuk ekonomi dunia lebih baik daripada keadaan sebelum ini, risiko besar masih berlegar-legar.  Pertumbuhan global terjejas oleh rasa kurang gembira ekonomi sedang muncul, di samping kemelesetan di Eropah, masih berkemungkinan lebih perlahan tahun ini jika dibandingkan dengan tahun 2011. 


Selalu benar sejak krisis kewangan tahun 2008, jelas majalah itu, harapan para pelabur untuk pertumbuhan yang kuat dan berpanjangan dihampakan, sama ada oleh nasib malang (peningkatan harga minyak), dasar yang teruk (terlalu banyak jimat-cermat belanjawan yang terlalu pantas), ataupun realisasi yang menyakitkan bahawa pemulihan selepas kehancuran aset pada amnya,  lemah dan mudah dan rapuh.


Ekonomi Amerika secara keseluruhan berkemungkinan akan tumbuh pada kadar trend, iaitu sekitar 2.5 peratus.  Kadar ini jauh lebih rendah daripada yang mungkin dijangkakan selepas kemelesetan normal; tetapi selepas krisis kewangan, apabila para pengguna dibebani oleh hutang, maka pemulihan cenderung menjadi anemia.  Tahap pertumbuhan tidak mengurangkan kadar pengangguran dengan pantas, tetapi akan berlaku penambahbaikan pada tahun 2011,  dan  lebih penting, merupakan langkah pertama ke arah pemulihan pemulihan mapan diri. Sebaliknya, Eropah masih dalam perjalanan yang jauh untuk pemulihan.


Rana Foroohar dan Bill Saporito yang menulis dalam Time keluaran terbaharu (hanya pelanggan majalah ini dapat akses dalam talian),  menegaskan pemulihan Amerika adalah perlahan, kadang-kadang baik, kadang-kadang tidak, dan anemia.  Dan pemulihan ini tidak cukup kuat untuk merangsang ekonomi dunia. "Ingat pemulihan Amerika Syarikat?" Tanya Foroohar dan Saporito yang menjelaskan bahawa secara rasmi, berlaku pada pertengahan tahun 2009, iaitu 18 bulan selepas sistem kewangan dan setiap yang lain dalam ekonomi Amerika musnah.  Akan tetapi, banyak tidak menyedarinya kerana mereka tidak merasainya dan kadar pengangguran masih lebih lapan peratus. 


Beberapa  minggu lalu, tanda pengembangan ekonomi Amerika kelihatan di mana-mana sahaja, lalu mendorong Jim O'Neill, Ketua Ahli Ekonomi di Goldman Sachs untuk menegaskan: "Ekonomi Amerika Syarikat kembali kepada kenormalan."  Namun, hujah Foroohar dan Saporito, takrif kenormalan (tanda condong adalah oleh kedua-dua penulis itu) banyak berubah dalam dua dekad lalu.  Dari segi teknikal, Amerika Syarikat dalam pengembangan kerana output kini menggerhanai puncaknya pada tahun 2007. Akan tetapi, dari segi praktik, hujah mereka, "tidak pernah berlaku pemulihan."


Jelas kedua-dua penulis ini, pertumbuhan pendapatan tidak wujud, Amerika masih mempunyai AS$3.7 trilion rumah yang masih belum terjual, dan 5.3 juta pekerjaan kurang untuk guna tenaga penuh. Hakikatnya, setiap pemulihan sejak tahun 1990 adalah lemah dan memakan masa.  Mereka memetik McKinsey Global Institute bahawa dari Perang Dunia Kedua ke tahun 1990, guna tenaga Amerika Syarikat kembali kepada tahap prakemelesetan kira-kira dua suku selepas KDNK berkembang. Dalam tiga pemulihan sejak itu, tertinggal lebih jauh.  Pada kadar pewujudan pekerjaan sekarang, maka memerlukan 33 bulan lagi untuk memulihkan pekerjaan yang hilang pada tahun 2008 dan 2009 (tanda condong adalah oleh kedua-dua penulis itu). 


Ringkas, pemulihan tidak seindah seperti yang dibayangkan, dan oleh itu, jangan tergesa-gesa untuk meraikannya.   Memetik Ben Bernanke sekali lagi, "terlalu awal untuk mengiystiharkan kemenangan."  Justeru, pertempuran masih terbuka luas di hadapan yang pasti tidak dapat dielakkan.  



No comments:

Post a Comment