Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Setelah diterbitkan selama 244 tahun dalam bentuk bercetak, akhirnya Encyclopedia Britannica, ensiklopedia bercetak yang paling terkenal di dunia, penerbit memaklumkan bahawa ensiklopedia itu tidak lagi diterbitkan dalam naskhah fizikal yang baru. Edisi yang mengandungi 32 jilid dengan harga AS$1395 yang diterbitkan oleh syarikat beribu pejabat di Chicago menyatakan bahawa terbitan tahun 2010 adalah yang terakhir, versi masa depan akan diterbitkan sepenuhnya dalam talian.
Menurut The Financial Times, hanya 8500 naskhah dicetak untuk edisi terbaharu itu. Edisi pertama muncul pada tahun 1768 di Scotland. Sementara itu, blog The New York Times dilaporkan memetik Jorge Cauz, Presiden Encyclopedia Britannica Inc., sebagai berkata, "Sesetengah orang akan berasa sedih tentang keputusan ini. Akan tetapi, kita kini mempunyai alat yang lebih baik. Laman web dikemaskinikan secara terus-menerus, eksiklopedia ini lebih mahal, dan mempunyai multimedia."
"Dunia baru yang berani yang mempunyai sedikit produk kertas," ulas Katy Steinmetz terhadap pengumuman berakhirnya edisi bercetak ensiklopedia itu. Jualan dari pintu ke pintu merupakan teknik terbaik pada pertengahan 1900-an, dan rujukan digital pertama dicipta melalui LexisNexis pada tahun 1981. CD-ROM muncul pada tahun 1989 dan Britannica memasuki Web pada tahun 1994. Jelas Katy, "tatkala orang ramai beralih kepada Internet bersama-sama soalan mereka, syarikat tersebut masih meletakkan kepercayaan terhadap produk berjilidnya, melihat jualan merosot. Hari Willy Loman berakhir dan produk terpaksa bertungkus-lumus untuk mengimbangkan trafik Web dengan keperluan untuk hasil langganan."
Pengumuman berakhirnya penjilidan eksiklopedia berlaku di tengah-tengah perdebatan tentang persaingan antara p-buku dengan e-buku yang merupakan penerbitan masa depan untuk penerbitan sendiri. Di samping pendedahan bahawa e-buku menyukarkan seseorang untuk mengingati apa yang dia baru baca.
Sementara bagi mereka yang masih mempercayai p-buku, bermati-matian mengatakan bahawa e-buku tidak dapat menghapuskan penerbitan tradisional, seperti yang dibahaskan oleh Tim Parks dalam blog The New York Review of Books pada Februari lalu. Meskipun e-buku dapat dibeli dengan segera di mana-mana sahaja kita tinggal di dunia, kita membayar kurang, kita tidak menggunakan kertas, dan tidak memerlukan ruang, tegas beliau, "saya mahu pergi melampaui kepratikan kepada pengalaman pembacaan itu sendiri, iaitu keterlibatan kita dengan teks."
Ketika berlangsungnya Festival Kesusasteraan Bath, The Independent melaporkan bahawa tercetus perdebatan, "Adakah buku ditakdirkan mati?" Nicola Solomon, Setiausaha Sgung Persatuan Pengarang yang anggotanya memperoleh kurang 10,000 paun setahun, memberitahu hadirin bahawa dalam lingkaran digitan, buku sebenar dengan halaman dan jaket habuk kini dikenali sebagai "media legasi." Beliau mengemukakan angka, seperti buletin kesihatan yang tertekan. Jualan bercetak jatuh 18 peratus pada tahun lalu, satu pertiga mahasiswa mengakui mereka "tidak meminati buku bercetak," dan 20 peratus lepasan sekolah mendakwa mereka tidak pernah membaca buku sama sekali. Sebaliknya, beliau memaklumkan bahwa jualan Kidle (satu juta pada musim Krismas) adalah perlahan dan mungkin mendatar, dan lebih banyak orang kini meminati buku jika dibandingkan sebelum ini. Rumus beliau, "pasaran semakin menjadi berpecah-pecah."
Beberapa bulan lalu, kita menyaksikan pemusnahan kreatif melenyapkan Kodak. Kini, satu lagi produk yang wujud hampir dua setengah abad menjadi mangsa pemusnahan kreatif yang berterusan pada zaman digital - memetik George F. Will yang menulis dalam The Washington Post. "Selepas 244 tahun, memulakan penerbitan lima tahun sebelum Boston Tea Party tahun 1773, Encyclopedia Britannica akan mulai sekarang boleh didapati hanya dalam bentuk digital kerana ensiklopedia ini cuba menyaingini laman Web rujukan, seperti Google dan Wikipedia."
Dari semasa ke semasa, kita akan menyaksikan produk terkubur atau lenyap dari pasaran dan organisasi menjadi usang atau tidak relevan. Hakikatnya, pemusnahan kreatif sentiasa memburu mangsanya tanpa mengenal belas kasihan. Hanya melalui inovasi yang berterusan, sesuatu produk terus berdaya saing, dan organisasi mampu meneruskan kelangsungannya.
No comments:
Post a Comment