Pages

Friday, March 23, 2012

Model yang Sungguh Bergaya: Kapitalisme Negara

JUMAAT,  23  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sesungguhnya, ini bukannya model yang sama sekali baru.  Kewujudannya dikesan sejak zaman Syarikat Hindia Timur Inggeris.  Kalau di Amerika Syarikat, adalah pada tahun 1791 apabila Alexander Hamilton yang dilantik oleh Presiden George Washington  sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat yang pertama membentangkan kepada Kongres, Report on Manufacturers,  untuk melindungi industri baru dengan tarif dan ingin melihat industri berkenaan berkembang. 

Sementara di negara kita Malaysia, kapitalisme negara muncul paling tidak,  sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) apabila kerajaan terlibat secara aktif dalam kegiatan ekonomi. Sebagaimana banyak negara di dunia, kapitalisme negara terpaksa berundur dan memberikan laluan kepada penswastaan yang merupakan mantera globalisasi neoliberalisme. 

Namun, kebelakangan ini, sebahagiannya kerana kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi  global, kapitalisme negara turut mendapat perhatian.  Dalam keluaran akhir Januari lalu, The Economist muncul dengan kulit depan "The Rise of State Capitalism: The Emerging World's New Model" yang terpampang gambar V.I.  Lenin bergaya dengan cerutnya. 

Dalam Leaders, penulisan dalam majalah itu bermula dengan meninjau  bangunan yang tersergam indah yang merupakan mercu tanda kapitalisme negara:  China Central Television di Beijing,  Menara Petronas di Kuala Lumpur, dan VTB di Moscow. "Semua monumen ini membangkitkan jenis baru perbadanan hibrid, disokong oleh negara, tetapi berkelakuan seperti multinasional sektor swasta."  

Bahas makalah itu lagi, kapitalisme yang diarahkan oleh negara bukan idea baru, tetapi kapitalisme negara mengalami kebangkitan yang dramatik. Di China, syarikat yang disokong oleh negara menguasai 80 peratus nilai pasaran saham, manakala di Rusia, nilainya 62 peratus. 


Kebangkitan kapitalisme negara mencetuskan dua persoalan:  Bagaimana berjayanya  model ini?  Dan apakah akibatnya, kedua-duanya dalam pasaran yang sedang muncul dan di luar pasaran itu?  Para penyokong kapitalisme negara menegaskan bahawa model ini menyediakan kestabilan, di samping pertumbuhan. Jelas makalah itu lagi, kerajaan Lee Kuan Yew di Singapura, pendukung awal idea ini, membenarkan firma asing dan menerima pakai idea pengurusan Barat, tetapi juga memiliki sebahagian besar syarikat.  Pengamal utama kapitalisme negara sekarang ialah China. Hubungan rapat antara kerajaan dan perniagaannya tanpa ragu-ragu ditunjukkan apabila elit global berkumpul di pusat peranginan Swiss, Davos pada awal tahun ini.


Selain dalam Leaders,  kapitalisme negara diberikan liputan yang luas dan mendalam dalam Laporan Khas  The Economist yang bermula dengan "The Visible Hand" oleh Adrian Wooldridge yang membahaskan bahawa krisis kapitalisme liberat Barat berbetulan dengan kebangkitan bentuk baru kapitalisme negara yang sangat berkuasa dalam pasaran sedang muncul.  Selain China dan Rusia, beliau juga memasukkan Brazil dengan syarikat yang disokong oleh negara menguasai 38 peratus nilai pasaran saham negara itu.


Era kemenangan pasaran bebas terhenti bergegar-gegar, dan krisis yang memusnahkan Lehman Brothers pada tahun 2008, kini melanda  dunia kaya.  Negara lemah, seperti Greece, telah terhumban ke dalam kacau-bilau, bahkan negara kuat, iaitu Amerika Syarikat menyaksikan pendapatan pekerja purata menguncup setiap tahun sejak tiga tahun lalu.


"Krisis kapitalisme liberal," tulis Wooldridge, "disebabkan lebih serius oleh kebangkitan alternatif yang kuat, iaitu kapitalisme negara yang cuba untuk mengadunkan kuasa negara dengan kuasa kapitalisme."


Makalah lain dalam Laporan Khas itu ialah "Something Old, Something New" yang menyusur sejarah kapitalisme negara, yang seusia dengan kapitalisme itu sendiri. Meskipun baru-baru ini menyaksikan penswastaan dan pembatalan kawal selia, aktivisime negara masih kukuh.  Dunia kaya masih mempunyai sebilangan besar syarikat milik negara atau dikuasai negara.  Misalnya, Perancis memiliki 85 peratus EDF, syarikat tenaga; Jepun 50 peratus dalam Japan Tobacco; dan Jerman 32 peratus dalam Deutsche Telecom.  Ditambah dengan perusahaan yang dimilik negara dalam Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang nilainya hampir AS$2 trilion dengan jumlah pekerja enam juta orang. 


Lima lagi makalah dalam Laporan Khas, iaitu "New Masters of the Universe," "Theme and Variations,"  "Mixed Bag," "The World in Their Hands," dan "And the Winners is...," malangnya tidak dapat diakses melalui dalam talian.  Secara keseluruhannya, menggambarkan bahawa kapitalisme negara, meskipun mempunyai beberapa kelemahan, berkembang ke seluruh dunia. 


Melalui edisi dalam talian, The Economist juga menerbitkan perdebatan tentang kapitalisme negara antara Aldo Musacchio yang sebagai penyokong, dengan Ian Bremmer sebagai pembangkang.  Perdebatan itu gagal mencapai kesepakatan dari segi takrif kapitalisme, antaranya kerana Musacchio melihatnya dari segi ekonomi, manakala Bremmer dari segi sains politik. Ketidaksepakatan ini menyebabkan tidak dapat dipastikan, sama ada  Norway dan Brazil ialah kapitalisme ataupun tidak. 


Semasa berlangsungnya Forum Ekonomi Dunia di Davos pada awal tahun ini, Ian Bremmer menulis dari sana untuk Foreign Policy, satu daripada topiknya ialah "pasaran bebas lawan kapitalisme negara."  Matlamat kapitalisme negara, bahas beliau adalah untuk membolehkan negara memainkan peranan yang sebesar yang mungkin dalam mengawal kekayaan yang pasaran hasilkan dalam sempadan mereka.  China terutamanya, menggunakan syarikat yang dimiliki negara, juara nasional yang dimiliki secara swasta, dana kekayaan kedaulatan, dan negara mempengaruhi pemberian pinjaman bank untuk membina jentera ekonomi penjana yang para pemimpin politik terus-menerus pacu. 


"Meskipun kapitalisme negara bukan alternatif jangka panjang yang berdaya maju untuk kapitalisme liberal," hujah Bremmer, " tidak ada alasan untuk kerajaan yang menggunakan model ini meninggalkannya tahun ini" - dengan merujuk China sebagai contoh  kapitalisme negara. "Sebilangan besar perusahaan yang dimiliki negara dan juara nasional yang dimiliki secara swasta jauh ketinggalan di belakang perbadanan multinasional dari akses teknologi terkini, kepakaran penjenamaan, dan syer pasaran.  Perusahaan itu masih mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan dan menggunakan setiap kelebihan yang  kerajaan mereka dapat sediakan untuk mengurangkan jurang dengan persaingan asing mereka.  Selain itu, China, masih merupakan pasaran yang penting untuk syarikat dan pelabur asing.  Hal ini menyediakan Beijing dengan umpilan yang diperlukan untuk membantu lebih banyak syarikat Cina untuk berdiri teguh."


Kebangkitan kapitalisme negara juga mendapat perhatian Peter Coy, tetapi tulisan beliau tertumpu pada China semata-mata, iaitu  perangkap kapitalisme negara.  


Apabila Perdana Menteri Najib Razak memperkenalkan model baru ekonomi (MBE) dengan dibantu oleh para pakar ekonomi dari dalam dan luar negara, tidak dapat dipastikan, sama ada mereka menyedari model yang sungguh bergaya, iaitu kapitalisme negara.  Seadainya mereka terlepas pandang akan kapitalisme negara, nescaya model baru ekonomi yang diperkenalkan itu di belakang keluk. 



No comments:

Post a Comment