Pages

Friday, February 24, 2012

Pandang ke Finland, Amerika

JUMAAT,  24  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Memandangkan kemerosotan pendidikan di Amerika Syarikat dari segi penguasaan sains,   matematik, dan pembacaaaan terutamanya dalam kalangan pelajar,  maka ada yang mencadangkan negara itu memandag kejayaan  Finland (juga Korea Selatan). 

Nampaknya, cadangan supaya Amerika Syarikat memandang Finland masih berterusan apabila Diane Ravitch yang mengemukakan pandangan tentang pendidikan di Amerika, muncul dalam The New York Review of Books membahaskan pendidikan di Finland.  Dalam tulisan itu beliau mengulas buku Finnish Lessons:  What Can the World Learn from Education Change in Finland? karya Pasi Sahlberg.  


Seperti lazim, mana-mana ulasan buku yang diterbitkan dalam The New York Review of Books, akan menyoroti dan meninjau penulisan atau perbahasan sebelum menumpukannya terhadap buku yang diulas.  Setelah membahaskan kemerosotan pendidikan di Amerika Syarikat, Ravitch menegaskan bahawa bukannya sesuatu yang luar biasa untuk Amerika melihat negara lain sebagai model untuk pembaruan sekolah. Pada pertengahan abad ke-19, para pemimpin Amerika mengalu-alukan sistem Prussia untuk profesionalisme dan strukturnya.  Pada tahun 1960-an, Amerika berduyun-duyun ke England untuk mengagumi sekolah progresifnya.  Pada tahun 1980-an, Amerika yang iri hati menganggap kejayaan ekonomi Jepun berpunca daripada sistem sekolahnya. Kini, negara yang paling diutamakan ialah Finlad, dan untuk empat alasan yang baik.


Pertama, Finland mempunyai sebuah sistem sekolah prestasi tinggi di dunia, seperti diukur oleh Program for International Students Assessment (PISA), yang menilai pembacaan, literasi matematik, literasi sains dalam kalangan pelajar yang berusia 15 tahun di semua 34 buah negara Organisasi Kerjasama dan Ekonomi dan Pembangunan (OECD), termasuk Amerika Syarikat.


Kedua, dari perspektif Ameika, Finland ialah alam semesta alternatif.  Finland menolak semua "pembaharuan" yang kini popular di Amerika Syarikat, seperti ujian, sekolah piagam, baucar, bayaran merit, persaingan, penilaian guru dalam hubungan dengan markah ujian pelajar mereka.


Ketiga, dalam kalangan negara OECD, sekolah Finland mempunyai kurang variasi dari segi kualiti, bermakna bahawa sekolah berkenaan hampir mencapai kesamaan peluang pendidikan, suatu keunggulan Amerika.


Keempat, Finland meminjam banyak kebanyakan idea yang bernilai dari Amerika Syarikat, seperti kesamaan peluang pendidikan, arahan yang diiindividukan, penilaian portfolio, dan pembelajaran secara kerjasama.  Kebanyakan yang dipinjamnya berasal daripada karya ahli falsafah John Dewey. 


Dalam Educational Change in Finland?, seperti yang dinyatakan  oleh Ravitch,  Pasi Sahlberg menjelaskan bagaimana sekolah negaranya (Finland), berjaya.  Pegawai kerajaan, penyelidik, dan bekas guru matematik dan sains, menyumbang kepada penambahbaikan sekolah Finland dengan membuat keputusan yang berani pada tahun 1960-an dan 1970-an.  Sejarah Finland adalah penting, tulis Sahlberg, kerana "memberikan harapan kepada mereka yang hilang kepercayaan terhadap pendidikan awam."


Sahlberg, seperti yang dijelaskan oleh Ravitch, mengkritik penggubal dasar Amerika Syarikat yang mencari penyelesaian berasaskan pasaran, seperti "persaingan yang sengit, lebih banyak data, penghapusan kesatuan guru, pembukaan lebih banyak sekolah piagam, atau menggunakan model pengurusan dunia korporat."  Sebaliknya, Finland menggunakan masa 40 tahun lalu membangunkan sistem pendidikan yang berbeza, satu daripadanya memberikan tumpuan terhadap penambahbaikan tenaga pengajar, pengehadan ujian pelajar kepada jumlah minimum yang perlu. pengutamaan tanggungjawab dan kepercayaan berbanding dengan kebertanggungjawaban, pemberian kepimpinan sekolah dan tahap daerah kepada golongan profesional pendidikan.


Di negara kita, Malaysia,  sebilangan orang mencadangkan supaya kita melihat Amerika Syarikat untuk memajukan sistem pendidikan kita.  Alasannya negara itu menggunakan bahasa Inggeris tanpa menyedari atau pura-pura tidak menyedari bahawa sistem pendidikan di negara itu bergelut dengan masalah kemerosotan.



No comments:

Post a Comment