Pages

Thursday, February 23, 2012

Kebijakan Keynes

KHAMIS,  23  Februari  2012
Oleh:  ZUKIFLI  SALLEH


Krisis kewangan 2007 - 2008 dan kemelesetan ekonomi global menyaksikan kepulangan beberapa ahli ekonomi yang bersemadi dalam kuburan masing-masing, seperti John Maynard Keynes, Hyman P. Minsky, dan Joseph Schumpeter yang idea mereka boleh dikatakan dilupakan oleh penggubal dasar dan kebanyakan ahli ekonomi sezaman.   

Pastinya, antara mereka itu, kepulangan Keynes yang paling menonjol sehingga kini, meskipun Keynesian ada kalanya dibayangi oleh neoliberalisme.  Pelaksanaan jimat-cermat di Eropah terutamanya, yang memberikan respons rabun jauh terhadap realiti fiskal yang semakin bertambah teruk - memetik Gordon Brown,   yang terbukti membawa kegagalan, menyebabkan sesetengah orang berfikir bahawa Keynes adalah betul.  

Khususnya untuk Greece yang baharu sahaja diselamatkan daripada muflis, untuk mengelakkan depression, negara itu memerlukan strategi pertumbuhan, bahas Timothy Garton Ash. Akibat pelaksanaan jimat-cermat, Greece dijangkakan merana dalam lima tahun lagi.  Bukan sahaja Greece, bahkan zon euro memerlukan pertumbuhan,  tetapi pertumbuhan mustahil dicapai kerana  jimat-cermat dilaksanakan secara berleluasa - langkah yang bercanggah dengan Keynesian. 

Balik kepada John Maynard Keynes, sesungguhnya, Robert Skidelsky mengambil keputusan yang betul lagi tepat apabila beliau menerbitkan buku pada September 2009, tentang teori ahli ekonomi yang agung yang sentiasa relevan, Keynes: The Return of the Master

Berhubung dengan krisis zon euro yang dilihat dari segi kesempurnaan kebijakan Keynes, seperti yang diperkatakan oleh  Charles Moore yang mengulas buku Keynes, The Economic Consequences of the Peace.   "Buku ini diterbitkan pada tahun 1919," tulis Moore dalam The Telegraph,  sambil mengakui, "saya agak terlewat untuk mengulas buku ini. Akan tetapi, pada pagi apabila zon euro cuba untuk memutuskan 'pelan penyelamat' terbaharu untuk Greece, karya klasik Keynes kelihatan rasa-rasa relevan."

Selepas Perang Dunia Pertama, pihak bersekutu perlu memutuskan, sama ada mengenakan "perdamaian Cathaginian" terhadap Jerman, yang pada pandangan Keynes, silap dari segi moral dan ekonomi.   "Jika perjanjian itu dilaksanakan," bahas Keynes, "Jerman dari segi ekonomi renyuk.  Jika Jerman dari segi ekonomi renyuk, negara itu tidak dapat membayar. Jika Jerman tidak dapat membayar,  seluruh harapan Eropah untuk pemulihan ekonomi terlekat pada pemampasan yang akan berasa kecewa. Pengangguran, inflasi, dan depression akan merayau-rayau di benua ini."

Orang ramai tidak faham, hujah Keynes, seperti yang dipetik oleh Moore, bahawa pengaturan biasa kapitalisme telah diganggu dengan sangat teruk oleh Perang Dunia Pertama:  "semua hubungan kekal antara penghutang dengan pemiutang, yang membentuk asas  muktamad kapitalisme, benar-benar kacau kerana hampir tidak bermakna."

Jelas Moore, belajar daripada bencana Versailles, pihak yang menang dalam Perang Dunia Kedua, mencuba idea Keynes tentang perdamaian yang betul.  Mereka membantuk pihak yang tewas, dan Amerika membantu setiap orang. Langkah ini berkesan.  Jerman menjadi negara yang aman, demokratik, makmur, dan akhirnya bersatu. Berdasarkan semangat inilah apa yang Kesatuan Eropah kini diwujudkan pada tahu  1950-an.  Akan tetapi, pewujudkan euro pada akhir abad ke-20, segala-galanya balik semula kepada asal.  

Selagi krisis ekonomi, maka selagi itulah, sebagaimana ingatan terhadap Karl Marx, demikian juga ingatan terhadap John Maynard Keynes, tidak mudah dilupakan. Idea atau pemikiran ekonomi yang ada tidak mampu menandingi Marx dan Keynes.

No comments:

Post a Comment