Pages

Monday, February 20, 2012

Minyak Selamatkan Rejim

ISNIN,  20  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin, seperti yang dibayangkan oleh Bloomberg Businessweek, hanya menunggu  detik untuk berkubur. Berakhirnya czar.  Sementara  Putin sejak berbulan-bulan menghadapi  bantahan atau protes rakyat,  khalayak Internet meminati lagu dan metapora rumah gilannya. Namun,  Putin dan sekutunya  masih gigih berusaha demi memastikan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden bulan depan, dengan meniupkan sentimen anti-Amerika.  

Adakah nasib Putin sudah sampai ke penghujungnya? Mana-mana usaha untuk memahami Putin, tegas Fiona Hill dan Clifford G. Gaddy dalam The National Interest,  mesti bermula dengan manusia sejarah.  Untuk Putin, tafsiran dan tafsiran semula sejarah merupakan perkara yang penting.  Sejarah merupakan mata pelajaran pilihan utama beliau semasa di sekolah, dan hari ini, beliau masih merupakan pembaca yang gemar.  

Fareed Zakaria dalam keluaran terbaharu Time, (hanya pelanggan majalah ini dapat  mengakses tulisan beliau melalui dalam talian), menegaskan  bahawa Putin akan terus bertahan, selagi harga minyak mahal. Pandangan dunia Putin, bahas Fareed, beliau ialah penyelamat Rusia moden, manusia yang menghalang negara itu daripada terbenam ke dalam kacau-bilau dan kemiskinan pada tahun 1990-an.  Penentang Putin pula melihat beliau sebagai orang yang setia pada KGB yang mengetuai negara Soviet baru yang dipertingkat. 

Namun, tegas Fareed, kedua-dua pandangan itu tidak tepat sama sekali.  Putin wira sebenar yang menyelamatka minyak Rusia.  "Kenaikan dramatik dalam pendapatan penduduk Rusia bukannya akibat dasar Putin, tetapi kenaikan harga minyak.  Masa depan Rusia dan Putin akan berkemungkinan bergantung pada faktor ini dan bukannya kemahiran Putin, kekuatan pembangkang atau kuasa Facebook."

Fareed mengingatkan bahawa ketika Putin memegang jawatan, harga minyak ialah AS$27 setong.  Sejak itu, harga komoditi itu boleh dikatakan terus-menerus meningkat dan kini  AS$116 setong.  

Barat begitu percaya bahawa Putin terus berkuasa menerusi penindasan.  Bahkan, jelas Fareed, beliau melakukannya dengan cara yang lebih luas menerusi naungan dan rasuah.  "Rasuah berkesan.  Perhatikan seluruh  dunia dan anda akan sedar bahawa Pemberontakan Arab tidak mengganggu kediktatoran dan monarki di wilayah yang kaya dengan minyak.  Kecuali Libya, rejim yang kacau-bilau yang diketuai oleh orang gila, tidak sebuah pun kerajaan yang jatuh yang mempunyai hasil minyak yang signifikan.  Arab Saudi,  negara Teluk, Iran, Venezuela, semuanya bertahan.

Jika pandangan Fareed itu benar, maka Syria yang diselamatkan oleh kuasa veto Rusia dan China, dan  yang suatu masa dahulu sekutu Amerika, menunggu gililran untuk menyertai Tunisia, Mesir,  Libya, dan  pada takat tertentu, Yaman.  Tanpa sumber minyak,  kekuatan tidak selama-lamanya benar di negara itu

Hanya perlu ditambah di sini bahawa nasib rejim di negara yang kaya dengan sumber minyak lebih beruntung jika dibandingkan dengan para pemimpin Eropah yang bergelut dengan krisis kewangan, yang setakat ini, menyaksikan 12 orang pemimpin tumbang.  Maka, minyak penyelamat, manakala krisis kewangan pemusnah. 

No comments:

Post a Comment