Pages

Monday, February 20, 2012

Beban Seorang Presiden Amerika Berkulit Hitam

ISNIN,  20  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Barack Obama dikatakan membuat perhitungan sendiri apabila beliau memutuskan untuk bertanding Pilihan Raya Presiden.  Adakah orang Amerika bersedia untuk mengundi calon kulit hitam pelbagai bangsa untuk ke Rumah Putih?  Banyak yang fikir beliau naif; manakala yang lain terkejut dengan idea ini mula-mula lagi.   Terbukti bahawa  Obama sebagai pemidato dan perangsang yang hebat dengan   slogan kempennya, “Change we can believe in” dan teriakan yang berulang-ulang “Yes We Can” dapat mempengaruhi rakyat Amerika yang keletihan di bawah Presiden George Bush.    Krisis kewangan dan ekonomi memudahkan lagi perjalanan beliau ke Rumah Putih pada 4 November 2008.    

Hakikatnya, apabila tiba bab memerintah, sememangnya tidak semudah  kempen pilihan raya.  Lebih 800 tahun lalu, menjangkakan masalah yang dihadapi apabila menakluki China,  Genghis Khan pernah berkata, “Menakluki sesebuah negara dengan berkuda memang mudah.  Turun dari kuda dan membina negara itu amat sukar.”  Sesuatu yang dipelajari oleh Presiden Barack Obama,  meskipun dalam situasi yang berbeza:   beliau     melalui proses demokrasi, sedangkan Genghis Khan melalui penaklukan.
Sepanjang kempen, Obama   menggunakan hujah bahawa keadaan negara adalah teruk selepas lapan tahun Republikan menguasai Rumah Putih.   Ketika sebagai Presiden, belia    sering mengatakan bahawa beliau mewarisi krisis, dan oleh itu,  “jangan salahkan saya, salahkan Bush.”  Namun,  kini  rakyat Amerika tidak mahu lagi mendengar hujah seperti itu;   sama ada adil ataupun tidak,  menuding jari bukannya dasar yang berkesan. 
 Belum   pun genap sebulan sebagai Presiden Amerika ke-44 pada 20 Januari tahun lalu, Obama terpaksa   berhadapan dengan  pertempuran sulungnya untuk menyelamatkan ekonomi Amerika daripada terbenam dalam kemelesetan yang lebih dalam dan lebih lama.  Beliau  memenangi pertempuran itu apabila   pakej rangsangan ekonomi  AS$787 bilion diluluskan, meskipun mendapat tentangan  daripada Republikan.
Seterusnya, beliau  menghadapi pertempuran yang lebih sengit yang hampir setahun menghantuinya: pembaharuan penjagaan kesihatan. Penggubalan  undang-undang penjagaan kesihatan yang merupakan keutamaan yang paling atas bagi Obama,  mencuba untuk memperluaskan faedah kesihatan kepada lebih 30 juta orang yang kini belum dilindungi insurans.
Setelah diluluskan oleh Dewan Perwakilan pada November,  rang undang-undang penjagaan kesihatan akhirnya diluluskan oleh Senat pada hari sebelum Krismas.  Dengan perbahasan selama 25 hari berturut-turut dan terpaksa menempuh  perjuangan yang cukup getir, Demokrat berjaya menumpaskan Republikan dengan    undi 60-39 –  jelas berdasarkan kepartian.  Keputusan ini merupakan kemenangan kepada Presiden Obama, dan beliau dilaporkan  menyebutnya undi yang bersejarah: “Kita hampir tidak percaya dapat menjadikan pembaharuan insurans kesihatan sebagai suatu realiti di negara ini.  Cabaran kita sekarang ialah menyudahkan tugas ini.”
Tatkala para  senator daripada Republikan menggunakan taktik melengah-lengahkan  rang undang-undang itu, Joe Biden Naib Presiden Amerika menulis  dalam The New York Times: “Jika saya masih senator Amerika, saya bukan sahaja menyokong rang undang-undang pembaharuan kesihatan semasa, bahkan saya melakukannya dengan benar-benar menghargai bahawa saya memberikan satu daripada undi yang paling bersejarah selama 36 tahun dalam Senat.  Saya menyokong dengan menginsafi bahawa rang undang-undang ini mewakili kemuncak perjuangan yang dirintis oleh Theodore Roosevelt hampir-hampir satu abad lalu untuk menjadikan pembaharuan penjagaan kesihatan suatu realiti.”
Semasa kempen Pilihan Raya Presiden, isu  ekonomi mengatasi isu keselamatan, dan rakyat Amerika lebih mempercayai Demokrat berbanding dengan Republikan dalam menyelesaikan masalah ekonomi.  Sedikit banyak kepercayaan ini nampaknya tidak sia-sia.   Amerika yang bermula pada tahun 2009 dengan jatuh bebas,  berjaya mengelakkan Kemelesetan Besar,  manakala sinar harapan  kian kelihatan.  Dengan pertumbuhan ekonomi pada kadar 2.2 peratus pada suku ketiga 2009, meskipun lebih rendah daripada dijangkakan, semua tanda menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi berada pada landasan yang kukuh.
Sejak berbulan-bulan lalu, larian lembu jantan terus  menguasai pasaran saham, sekalipun  pada musim sejuk, dan pernah dikacau oleh selesema babi dan krisis Dubai World.   Indeks Purata Industri Dow Jones  (Dow)  yang urus niaga pertama bulan Januari 9,034.69 mata, pernah jatuh kepada 6594.44 mata pada  5 Mac,  beberapa kali berjaya  menerobos wilayah 10,500 mata. Pada hari sebelum Krismas apabila Dow ditutup pada 10,520.10 mata – paras tertinggi yang terbaharu untuk tahun 2009.
Walau bagaimanapun, ekonomi sebenar Amerika masih suram dan  muram: pengangguran dan defisit.  Kadar pengangguran hingga akhir tahun lalu mencecah lebih 10 peratus, tertinggi sejak 26 tahun, dengan  lebih tujuh juta  orang kehilangan pekerjaan.   Kadar pengangguran yang tinggi itu dijangkakan  berterusan pada tahun 2010, yang mungkin meletakkan ekonomi negara itu dalam keadaan tidak stabil. 
Angka yang menakutkan  ini dikatakan  bukannya kesilapan Obama.  “Malahan, pada zaman beria-ia belanja hampir-hampir trilion dolar,” tulis Ross Douthat dalam The New York Times, Presiden Amerika hanya mempunyai pengaruh yang terbatas terhadap angka pengangguran.” Namun,  secara sinis Douthat mengingatkan bahawa “apabila pakej rangsangan diluluskan yang boleh dikatakan tanpa sokongan Republikan, Rahm Emanuel, Ketua Staf Presiden, mengisytiharkan bahawa yang paling penting ialah angka, iaitu berapa banyak pekerjaan diwujudkan, dan bukan berapa banyak undi yang diperoleh.  Beliau betul.  Tetapi, dengan  pengangguran yang tinggi, ‘angka yang paling penting’  tidak kelihatan sangat baik.”
Pada tahun 2009, defisit belanjawan Persekutuan ialah AS$1.4 trilion atau 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan  AS$459 bilion atau 3.2 peratus KDNK tahun 2008.  Pada peratusan itu, defisit 2009 adalah yang tertinggi sejak  berakhirnya Perang Dunia Kedua apabila defisit ialah 21.5 peratus.  Pada tahap ini, dipercayai bahawa defisit telah pun menjadi isu ekonomi dan politik yang besar berbanding dengan mana-mana masa sejak akhir tahun 1980-an.
Tinjauan CNN/Opinion Research Corporation pada akhir November menunjukkan bahawa 38 peratus orang awam menyalahkan Republikan kerana masalah ekonomi semasa yang dihadapi oleh Amerika.  Peratusan ini jatuh 15 mata jika dibandingkan dengan bulan Mei, apabila 53 peratus orang menyalahkan Grand Old Party (GOP).  Menurut tinjauan ini, 27 peratus orang awam menyalahkan Demokrat kerana berlakunya kemelesetan, meningkat enam mata dari bulan Mei.  Dua puluh tujuh peratus mengatakan bahawa kedua-dua parti bertanggungjawab terhadap kucar-kacir ekonomi. 
 Gallup Daily pula  menunjukkan bahawa 49 peratus penduduk Amerika bersetuju dengan tugas yang Obama laksanakan sebagai Presiden, meletakkan beliau di bawah tahap  persetujuan majoriti untuk kali pertama sejak menjadi Presiden, berbanding dengan 60 peratus pada Julai.  Tinjauan pendapat pada 16 November menunjukkan tajuk berita,  “Economy Picks Up Again as Most Important Problem in U.S.” dan mendapati 31 peratus penduduk Amerika mengatakan ekonomi dalam maksud umum sebagai masalah utama, meningkat daripada 26 peratus pada bulan sebelumnya.  Meskipun tinjauan pendapat menunjukkan bahawa orang awam semakin menyalahkan Demokrat kerana masalah ekonomi, tetapi bukan bermakna bahawa Obama terpaksa menanggung akibatnya kerana tinjuan itu merupakan perkara yang berubah-ubah. 
Sementara tinjauan pendapat  Associated Press-Gfk pada November menunjukkan bahawa Obama masih mempunyai persetujuan awam daripada majoriti penduduk Amerika, tetapi beliau mendapati dirinya memerintah negara yang kian pesimistik.  Penarafan Obama adalah pada 54 peratus, kira-kira sama dengan Oktober, tetapi jauh berbeza daripada 74 peratus keghairahan pada Januari sebelum beliau menjadi Presiden. Kira-kira 56 peratus orang ramai berkata bahawa Amerika menuju arah yang silap, dan ekonomi masih lagi merupakan isu penting dalam minda penduduk Amerika.  Mereka tidak bersetuju dengan cara Obama menangani krisis, dan yang mungkin yang paling jelas bagi panglima besar, lebih ramai orang hilang keyakinan terhadap Obama berhubung dengan Iraq dan Afghanistan.
Jika semasa kempen Pilihan Raya Presiden runtuhan Wall Street menghempap John McCain dan Republikan, kini kucar-kacir ekonomi menjadikan Obama dan Demokrat sebagai “tebusan.”  Ketidakpuasan ini diterjemahkan ketika genap setahun Obama memenangi Pilihan Raya Presiden, apabila calon Demokrat tewas di tangan Republikan dalam Pilihan Raya Gabenor di New Jersey dan Virginia. Keputusan itu membuktikan bahawa Obama dan partinya, Demokrat mudah terjejas pada ekonomi, perbelanjaan kerajaan, dan isu lain. Dalam pilihan raya itu para pengundi bebas  berpaling tadah yang mengganggap Obama bergerak terlalu laju, manakala golongan liberal menganggap beliau bergerak terlalu perlahan.
Charles M. Blow dalam makalah  “Obama’s to Fix” yang diterbitkan dalam The New York Times,   berpendapat bahawa keputusan pilihan raya itu, kini  ialah krisis Obama, dan krisis ini mempunyai akibat politik.  Bagi Blow,  apakah perbezaan yang berlaku setahun, hampir sembilan dalam 10 orang pengundi di  New Jersey dan Virginia, ialah  bahawa mereka berasa bimbang tentang hala tuju ekonomi negara pada tahun 2010.  “Meskipun ini bukannya kesilapan Obama kerana  beliau terpaksa mewarisi keadaan kucar-kacir ini,” tulis Blow, “tetapi tanggungjawab beliau untuk menentukannya, dan beliau mesti melakukannya secepat mungkin.”  Beliau  memetik  Obama semasa pra-Pilihan Raya Presiden di Toledo:  Anda perlu melakukannya bukannya lima tahun dari sekarang, bukan tahun hadapan, anda perlu melakukannya sekarang juga.  J-O-B-S.
Walau bagaimanapun, berbeza dengan beberapa laporan, Leo Hindery dari InterMedia Partners dilaporkan berkata bahawa kemenangan Republikan itu tidak menegur atau mencela Presiden Obama secara langsung, bahkan calon Demokrat memenangi Daerah Kongres ke-23 New York untuk kali pertama sejak tahun 1872.  Hindery, bekas penasihat Presiden Obama dan bekas penasihat kanan dasar ekonomi John Edwards, yang juga tidak boleh menafikan bahawa Demokrat  tersandung, berpendapat bahawa pengajaran adalah mudah, iaitu ekonomi.  Tanpa menafikan bahawa pembaharuan penjagaan kesihatan merupakan isu yang penting, tetapi keutamaannya adalah salah, sepatutnya diletakkan selepas pengangguran.  “Rakyat Amerika yang menganggur meletakkan harapan bahawa setiap usaha diambil untuk membolehkan mereka bekerja semula.”
Salah satu ulasan menarik dalam bentuk kiasan yang dibuat sebaik-baik sahaja Obama memenangi Pilihan Raya Presiden, “jika rumah terbakar, orang tidak mempedulikan siapakah anggota bomba yang memadamkan kebakaran itu.”   Setakat mana benarnya kiasan  yang ingin memperlihatkan bahawa keturunan atau kaum tidak penting adalah sukar dipastikan.  Hakikatnya,  meskipun pada mulanya ahli politik Kulit Hitam Amerika keberatan menyokong beliau, bahkan media Afrika-Amerika meragui sama ada beliau “benar-benar Kulit Hitam,” tetapi  apabila  dipilih sebagai Presiden beliau mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada hampir-hampir semua Kulit Hitam Amerika.
Ada kalanya semasa kesusahan, keturunan atau  kaum  dianggap  penting, seperti yang dilaporkan bahawa  Kokus Kulit Hitam Kongres semakin tidak sabar terhadap Obama, dan tekanan politik ini kini bocor kepada akhbar.  Anggota Kokus berasa bahawa Presiden Amerika itu tidak memberikan perhatian yang cukup pada hakikat bahawa kesukaran ekonomi semasa mempunyai impak yang sangat besar terhadap golongan Afrika-Amerika dan kumpulan minoriti lain berbanding dengan kumpulan penduduk yang lain, dan oleh itu, langkah tambahan perlu dilakukan untuk mereka.
Anggota perwakilan, Emanuel Cleaver  berkata, “Obama mencuba secara terdesak untuk menyisihkan dirinya daripada keturunan, dan semua kami faham apakah yang beliau lakukan.  Tetapi, apabila anda mempunyai angka tidak seimbang tentang Afrika-Amerika yang menganggur, ini sikap  tidak bertanggungjawab dengan tidak mengarahkan  perhatian dan sumber kepada orang yang paling sengsara.”   
Namun, Immanuel Wallerstein dalam makalah  melalui laman webnya, “Obama as a Black President” mengingatkan bahawa beberapa kali Obama  bertindak sebagai orang Kulit Hitam, serta-merta beliau kehilangan sokongan politik. Dalam konteks Amerika hari ini, kedudukan Presiden Afrika-Amerika boleh bertukar menjadi hambatan politik pada masa yang sama merupakan pencapaian simbolik.  Obama menyedari hakikat ini. Kokus Kongres Kulit Hitam menyedari hakikat ini.  
Di peringkat antarbangsa, Presiden Obama, seperti yang dapat dilihat   melalui beberapa ucapannya  mencuba untuk   meredakan ketegangan antara Amerika  dengan Islam yang  semakin runcing sejak Presiden Bush melancarkan perang terhadap keganasan.   Semasa berucap di Universiti Kaherah pada awal Jun Obama  menyeru supaya  dibuka “lembaran baru” dalam hubungan antara Amerika dengan dunia Islam. Dua bulan sebelum ini, semasa melawat Turki, beliau bercakap dengan nada yang  sama yang ditafsirkan sebagai “berakhirnya pertembungan peradaban.”
Walau bagaimanapun, tidak ditolak kemungkinan bahawa akibat cabaran  daripada Korea Utara, Iran, dan Rusia  akan memberikan kesempatan dan peluang kepada golongan neokonservatif untuk menguasai semula Rumah Putih.  Dengan keputusan Presiden Obama  menghantar 30 000  lagi askar Amerika  ke Afghanistan yang melibatkan peruntukan AS$30 bilion, sesungguhnya, adalah silap untuk mengatakan bahawa  peperangan bukannya dalam senarai utama beliau. 
Ketika menyampaikan ucapan  penerimaan Hadiah Nobel Keamanan pada Disember lalu  Obama  mempertahankan kewajaran melancarkan peperangan.  Beliau mengakui bahawa yang paling kontroversi menyelubungi pemilihannya untuk hadiah itu adalah datangnya daripada hakikat bahawa beliau “panglima besar tentera negara yang sedang dalam dua peperangan.”  Beliau tidak memohon maaf atas penglibatan Amerika  itu. Bagi beliau, peperangan di Afghanistan memang patut dari segi moral dan perlu dari segi strategi demi mempertahankan Amerika Syarikat dan lain-lain daripada lebih banyak serangan pengganas. Beliau mengingatkan bahawa kejahatan memang wujud di dunia. Gerakan bukan kekerasan tidak dapat menghentikan tentera Hitler.  Perundingan tidak dapat meyakinkan pemimpin al-Qaeda supaya meletakkan senjata.
Sememangnya, sukar untuk menilai prestasi Presiden Barack Obama dalam tempoh setahun.  Dari segi peribadi, beliau masih dikagumi oleh rakyat Amerika, tetapi berbelah bahagi dari segi politik. Untuk kepimpinan Obama, ada yang mencuba  memberikan peringatan dengan memetik Machiavelli bahawa seseorang pemimpin itu patut  ditakuti, di samping disayangi.  Ada kala bertindak sebagai singa, ada kala sebagai rubah.  Sesungguhnya,  Amerika terlalu besar untuk Presiden keturunan Kulit Hitam  pikul seorang diri -  sesuatu yang berfaedah untuk dipelajari bahawa keturunan dan kaum tidak mudah diketepikan.  
(Nota:  Makalah asal tulisan yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Februari 2010.)

No comments:

Post a Comment