Pages

Friday, February 3, 2012

Davos 2012: Karl Marx Berkeliaran

JUMAAT, 3 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Davos 2012 tempat lebih 2500 orang elit global berkampung telah pun berakhir. Sebagaimana tahun-tahun  sebelum ini,  program tahunan anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) sentiasa mendapat liputan yang luas, kadangkala secara langsung, bukan sahaja melalui televisyen kabel, tetapi  juga media lain, seperti akhbar, majalah, dan bahkan melalui media sosial.  

Tidak kurang juga individu, seperti Ian Bremmer melalui Foreign Policy menghantar laporan dari semasa ke semasa dari Davos, antara yang menarik untuk diperdebatkan ialah kepimpinan yang lebih bersifat serantau berbanding dengan global yang turut diterbitkan dalam The Atlantic, dan  pasaran bebas lawan kapitalisme negara untuk edisi Davos The Economist.  

Ian Bremmer juga berdebat dengan Nouriel Roubini tentang pemenang dan yang kalah pada tahun mendatang, dan sama ada pemikir hebat dunia di Davos mampu menyelamatkan krisis ekonomi global. Sementara Roubini mengingatkan bahawa "tidak kemajuan pada tahun 2012," Bremmer pula melahirkan kebimbangan tentang keterhakisan demokrasi dan ketidaksamaan yang menjadi perang kelas global.

Krisis hutang yang melanda Eropah, lapor Edith M.  Lederer,  mewarnai Davos pada tahun ini, tetapi menambah bahawa untuk kali pertama ketidaksamaan yang kian melebar antara golongan yang memilik dengan golongan yang tidak memiliki menjadi isu.  Beliau berterima kasih terutamanya kepada Pemberontakan Arab, gerakan Menduduki, dan protes lain di seluruh dunia. 

"Meskipun tidak ada jawapan untuk ketidaksamaan yang melebar," tulis Lederer, "bangkit kesedaran yang mendalam bahawa pertumbuhan ekonomi mesti melibatkan golongan miskin, pewujudan adalah kritikal, dan makanan, perumahan, penjagaan kesihatan, dan pendidikan yang mampu ditanggung  oleh rakyat jelata perlu menjadi sebahagian mana-mana penyelesaian."

Walaupun  semasa elit global berkampung di Davos wujud kesedaran tentang ketiksamaan yang melebar, pertumbuhan global yang lemah, seperti yang dimaklumkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum semua mereka tiba di sana, dan pengangguran yang tinggi, tidak  ada seorang pun yang bercakap tentang golongan miskin.  Demikian pemerhatian Roya Wolverson, meskipun perspektif tentang globalisasi berubah dengan dramatik jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini.  Tidak dinafikan bahawa topik globalisasi masih hangat, seperti sebelum ini, tetapi atas persoalan apakah yang perlu dilakukan dengan globalisasi, dan bagaimana menjadikan inklusif dan saksama, jawapannya telah berubah. 

Di Davos, biarkan  dapat dikesan agenda yang  terlepas pandang, tetapi Jim Frederick, menyenaraikan lima perkara yang menjadi percakapan setiap orang: kapitalisme memerlukan baik pulih fundamental, Pemberontakan Arab mesti berakhir dengan kegembiraan, krisis zon euro akan berlanjutan untuk membawa bersama-sama kekeliruan, tetapi kekeliruan itu mungkin cukup, China masih menjadi bintang, orang Amerika dan orang Eropah tuding jari antara satu sama lain.

Bersempena mesyuarat  tahunan di Davos itu, Michael Schuman muncul melalui  Time,  bagaimana untuk menyelamatkan kapitalisme memandangkan krisis ekonomi global sudah memasuki tahun keempat dan berlaku saling tuding jari.  Dalam keluaran terbaharu majalah itu, melalui debat Davos,  muncul kapitalisme diserang berdasarkan pandangan beberapa ahli panel.

Perbahasan tentang masa depan kapitalisme turut menarik perhatian pemimpin Parti Buruh British, Ed Miliband yang menulis dalam The New York Times dengan membangkitkan persoalan adakah kapitalisme abad ke-20 semakin melemahkan  masyarakat abad ke-21?  Beliau menyentuh kesengsaraan Amerika Syarikat dan Britain kerana ekonomi kedua-dua negara itu terlalu bergantung pada keuntungan buatan atau artifisial sektor kewangan, taraf hidup golongan terbanyak semakin teruk, manakala ekonomi dikuasai oleh golongan satu peratus teratas, model kapitalis menggalakkan pembuatan keputusan jangka pendek berorientasikan ke arah keuntungan suku tahun berbanding keteguhan  jangka panjang, dan kepentingan tertanam, daripada bank gergasi kepada mogul media yang dianggap terlalu besar untuk gagal atau terlalu kuat untuk dicabar.

Persoalan terakhir "terlalu besar untuk gagal atau terlalu kuat untuk dicabar" yang dibangkitkan oleh Miliband, pastinya menjawab persoalan yang dikemukakan  oleh Rana Forohaar: adakah syarikat lebih berkuasa daripada negara?  Atau seperti yang dibahaskan oleh David  Ignatius, "Davos dan golongan elit yang tidak berhubung," iaitu mereka tidak memahami dan tidak peka apa yang berlaku di dunia: dari Menduduki Wall Street dan Tea Party kepada Pemberontakan Arab kepada rusuhan di London dan Greece.

Ignatius menegaskan "Distofia Davos,"  iaitu cara yang rangkaian elit yang diwakilinya tidak bertujuan melakukan sesuatu yang melemahkan kepaduan sosial di dunia yang lebih besar.  Bahkan, oleh sebab golongan menjadi lebih berhubung, keberangan terhadap mereka dianggap menjadi-jadi, mencetuskan perasaan tidak puas hati.

Meskipun Davos 2012 diberikan liputan yang meluas dan banyak dibincangkan, dalam pemerhatian Francesco Guerrera, "tahun ini, Davos tidak membuahkan hasil."  Atau dalam kata yang agak menakutkan yang diungkapkan oleh Peter S. Goodman, "dihantui oleh ketakutan jangkitan global: keadaan yang sangat bahaya tentang ekonomi global dan masa depan kapitalisme."

Oleh sebab banyak perbincangan tentang kapitalisme, baik dari segi krisis mahupun masa depannya, juga tentang ketidaksamaan yang kian melebar, seolah-olahnya Kar Marx bangkit dari kuburannya untuk turut berkampung bersama-sama elit global di Davos.  

Kemunculan Marx dapat dikesan oleh John Feffer yang menulis The Huffington Post baru-baru ini.  (Sebenarnya, beliau menyebut Marx baru dan tidak menyebut Davos.)  Pada awal penulisannya, peliau merujuk keluaran  The Economist yang meletakkan gambar Lenin pada kulit hadapan, siri krisis kapitalisme yang dimuatkan dalam Financial Times, dan Francis Fukuyama yang menulis dalam Foreign Affairs yang menyeru puak kiri memastikan intelektual mereka  bertindak bersama-sama.  Juga serangan Newt Gingrich terhadap Mitt Romney yang kaya-raya tidak berhati perut. 

Akibat krisis ekonomi yang berpanjangan yang mendorong banyaknya perbincangan tentang kapitalisme, nescaya bayang-bayang Karl Marx muncul di mana-mana sahaja.


No comments:

Post a Comment