Pages

Thursday, February 2, 2012

Anwar Masih Setia pada Konsensus Washington

KHAMIS, 2 Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi penentang dasar penswastaan, terutamanya saki baki puak kiri dan Parti Rakyat Malaysia,  yang sebilangannya sahabat lama saya, pastinya berasa kecewa terhadap pendirian Anwar Ibrahim berhubung dengan  dasar yang dilaksanakan sejak zaman Mahathir Mohamad.  Anwar sanggup bersusah payah menjelaskan pendiriannya terhadap Israel dan Palestin serta undang-undang liwat di Malaysia, tetapi membiarkan pendiriannya terhadap dasar penswastaan seadanya.

Anwar, seperti yang disiarkan dalam The Wall Street Journal mengkritik pelaksanaan dasar penswastaan, iaitu dari segi tatacara,  tetapi menyokong dasar tersebut:  Mr. Anwar, though, criticized the way Mr. Najib's government pursued these privatizations, saying that without open, public tenders, key companies remain controlled by a well-connected few.  Privatization "looks good, but look again at the procedures," said Mr. Anwar. "The issue is not about privatization, it is blatant corruption."


"Jimat-cermat fiskal, penswastaan, dan liberalisasi pasaran," tulis Joseph Stiglitz dalam bukunya, Globalization and its  Discontents, "ialah tiga tonggak nasihat Konsensus Washington  sepanjang tahun 1980 dan 1990-an."  


Bagi mereka yang mempunyai memori yang pendek, maka elok juga diperingatkan bahawa dalam tempoh itu,  Anwar merupakan salah seorang anggota "elit rejim  purba," daripada Timbalan Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri. Beliau turut bersekongkol dengan dasar Mahathir, baik dasar ekonomi, mahupun dasar pendidikan dan dasar bahasa! Pastinya, Najib Razak juga tidak terkecuali! Mereka belayar di dalam sebuah kapal yang sama.  Sama-sama sebahagian daripada  sistem yang gagal ini!


Kesan bersih dasar yang ditetapkan oleh Konsensus Washington ini, jelas Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, selalunya memberikan faedah kepada segelintir golongan sambil mengorbankan golongan terbanyak, golongan kaya sambil mengorbankan golongan miskin. Dalam banyak kes, kepentingan dan nilai komersial mengatasi keprihatinan terhadap alam sekitar, demokrasi, hak asasi manusia, dan keadilan sosial. 


Ketiga-tiga tonggak Konsensus Washington itu pernah  dilaksanakan di banyak negara di dunia melalui payung Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Konsensus Washington juga selalunya dikaitkan dengan neoliberalisme yang diperkenalkan oleh "Sekolah Chicago" yang menguasai kedua-dua organisasi antarabangsa itu.  


Dasar penswastaan tidak dapat tidak, dikaitkan dengan Ronald Reagan dan Margaret Thatcher, yang menyebarkan ideologi pasaran bebas.  "Kedua-duanya, iaitu Thatcher dan Reagan tertawan dengan negara dan peranannya dalam masyarakat. Kedua-dunya mahu syarikat swasta mampu menjangkaui ke dalam setiap golongan dalam kehidupan," tulis Sunny Hundal dalam The Guardian, sebagai tanda peringatan dengan nada sinis.  "Justeru, mengapa tidak diperkembangkan eksperimen penswastaan sesudah mati?" 


Bagi Hundal, "menswastakan pengebumian Thatcher menjadi penghormatan yang secocok dengan legasinya."  Harap-harap tidak ada yang mencadangkan supaya pemimpin Malaysia - Mahathir, Najib, dan Anwar yang begitu  taksub terhadap penswastaan juga diberikan penghormatan sedemikian!


Sebenarnya, cinta lama sukar dilupakan.  Demikian juga Anwar Ibrahim dengan Konsensus Washington, biarpun dogma ini bersama-sama dengan neoliberalisme yang kini didakap mesra oleh Najib Razak - ditolak secara besar-besaran di seluruh dunia. Washington Konsensus dan neoliberalisme yang pada suatu ketika menjadi kebanggaan  IMF dan Bank Dunia,  memasuki era keusangan. 


Tatkala banyak negara di dunia berpatah balik kepada fahaman perlindungan akibat  kemelesetan global, Najib dan Anwar begitu ghairah untuk "menyelak segala-galanya," iaitu penswastaan dan liberalisasi. Kedua-duanya,  memperlihatkan diri masing-masing begitu mudah ditundukkan oleh modal!

1 comment:

  1. Jika anwar ibrahim bertindak sesuka hati sudah pasti nasibnya seperti saddam hussein, Muammar Gaddafi (yang bercita2 untuk mewujudkan matawang dinar) Dunia pada hari ini SETIAP pemimpin Umat Islam sukar untuk bertindak membelakangkan sistem yang sedia ada kerana anda sedia maklum setiap ceruk dikawal oleh pihak2 yang berkuasa (Polis Dunia) termasuk Najib sendiri. Kadang-kala pemimpin terpaksa berlakun untuk mencapai matlamatnya. Lihat sahaja apa yang berlaku di Algeria ketika parti Islam menang pilihanraya suatu ketika dahulu begitu juga di Turkey ketika parti Islam menang, tidak mustahil ianya akan berlaku di malaysia jika mandat diberikan kepada PAS dalam menguasai pemerintahan. Sudan begitu ditekan oleh amerika. namun rakyatnya kuat dan majoriti adalah muslim jika dibandingkan dengan Malaysia. Bukan begitu saudara. Saya hanya menjelaskan situasi realiti pada masa kini. Tiada niat untuk bersikap pesimis untuk islam kembali gemilang dan membawa dunia kepada sistem mereka.

    anuarsafian75@gmail.com

    ReplyDelete