Pages

Saturday, January 14, 2012

Zon Euro Terjebak ke dalam Krisis Baru

SABTU,  14  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jumaat hitam.  Seperti yang dijangkakan, agensi penarafan mengotakan kata-katanya apabila Standard & Poor's  (S&P) menurunkan penarafan kredit AAA Perancis dan menurunkan gred lapan negara lain di zon euro menandakan bahawa krisis hutang di Eropah tidak mudah diselesaikan. Penurunan gred Perancis  memang tidak memeranjatkan kerana S&P pernah membayangkan hal itu pada Disember tahun lalu.  Bahkan, tatkala krisis hutang merebak ke Italy, sehingga menyebabkan Perdana Menteri Silvio Berlusconi terpaksa meletakkan jawatan, beberapa penganalisis mengingatkan tumpuan sepatutnya diberikan terhadap  Perancis.

S&P mengumumkan bahawa penarafannya terhadap Perancis, ekonomi kedua terbesar di Eropah selepas Jerman, adalah diturunkan  satu takuk, kepada AA+.  Perancis kini mempunyai penarafan kredit seperti Amerika Syarikat, yang S&P turunkan gred pada bulan Ogos.

"Tindakan penarafan pada hari ini adalah terutamanya didorong oleh penaksiran kami bahawa daya usaha dasar yang diambil oleh penggubal dasar Eropah beberapa minggu kebelakangan ini tidak cukup untuk menangani sepenuhnya stres sistemik yang sedang berlaku di zon euro," jelas S&P dalam kenyataannya.

Negara lain yang turut diturunkan gred oleh S&P ialah kredit Portugal kepada status junk dan menurunkan dua takuk bagi Italy dan Sepanyol.  Austria, Cyprus, Malta, Slovakia, dan Slovenia juga diturunkan gred.  Negara lain yang dikaji oleh S&P untuk diturunkan gred, seperti Jerman, Ireland, dan Belanda terselamat.

Berikutan penurunan gred tersebut, zon euro terhumban ke dalam krisis baru.  Menteri Kewangan Perancis, Francois Baroin sebagai respons terhadap tindakan S&P itu, berkata "bukan satu malapetaka."  Penurunan gred itu dilihat sebagai zon mata wang bersama itu terbenam ke  dalam kacau-bilau yang semakin teruk dan mungkin melemahkan dana pelan penyelamat kerana gagalnya perbincangan pelan penyelamat Greece meletakkan negara itu semakin menghampiri kemungkiran. 


Elena Panaritis dalam menjelaskan maksud penurunan gred Perancis menulis "bahawa kepentan pasaran mencapai tahap maksimumnya.  Kesabaran telah hilang sepanjang dua tahun lalu ketika menunggu reaksi yang ketara untuk menangani euro."


Sepanjang minggu, bulan, dan tahun akan datang, tulis Mohamed A. el-Erian, "kita akan belajar banyak tentang akibat penurunan gred bersejarah hari ini (Jumaat0 di Eropah.  Apa yang jelas pada tahap ini ialah bahawa keseimbangan risiko adalah memberat ke bawah, untuk Eropah dan untuk ekonomi global."

Presiden Perancis Nicolos Sarkozy dilaporkan memanggil mesyuarat kabinet krisis malam tadi.  Kehilangan Perancis terhadap  penarafan kredit AAA-nya  bermakna Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah  mendapati semakin sukar untuk mengumpulkan wang pada pasaran modal.



No comments:

Post a Comment