Pages

Friday, January 13, 2012

Dunia Diancam Pelbagai Risiko

JUMAAT, 13 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Tahun baru, masalah lama, bahas Robert Kagan dalam The Washington Post. Era baru adalah mengenai globalisasi, Internet, pelaku bukan negara. difusi kuasa, kebangkitan Asia dan  kemerosotan Barat, berakhirnya ideologi dan kebangkitan pragmantisme.  Pastinya, memang benar bahawa dunia dan sistem antarabangsa sentiasa berubah-ubah.  Namun, sesetengah  isu yang paling mendesak tahun ini merupakan kelaziman luar biasa. 

Pemberontakan Arab, yang turut menyaksikan revolusi Mesir,  masih belum reda menjadikan Yaman dan Syria sasaran seterusnya;  demikian juga dengan gerakan Menduduki. Pusat gempa krisis lama, iaitu Israel-Palestin masih belum dapat mengenali erti perdamaian dan keamanan, dikatakan masalahnya berpunca daripada Washington sendiri.  Usaha Palestin untuk mendapatkan taraf negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu (PBB) dikatakan "bahaya dan silap."  Pergolakan juga tercetus di tempat-tempat lain:  dari Rusia, negara yang tidak wujud lagi  yang seakan-akan  di ambang satu lagi revolusi,  ke Hungary yang terhakis demokrasi dan protes menjadi-jadi.  


Pendek kata, tidak banyak harapan yang boleh diberikan untuk tahun baru 2012,  bukan sahaja dirasakan oleh Greece, tetapi juga dunia secara keseluruhannya.  Menjelang persidangan tahunannya, WEF memberikan amaran bahawa dunia berhadapan dengan kekacauan ekonomi dan pergolakan sosial: distopia

Semakin membesarnya bilangan orang muda yang mempunyai sedikit peluang untuk mencari pekerjaan, semakin bertambahnya orang yang berumur bergantung pada negara yang terjebak dalam beban hutang, dan semakin meluasnya jurang antara golongan kaya dengan miskin memarakkan rasa geram di seluruh dunia. Misalnya, di Amerika Syarikat, kajian menunjukkan konflik antara golongan kaya dengan miskin menjadi-jadi. 

Untuk kali pertama dalam beberapa generasi, banyak orang tidak lagi  percaya bahawa anak-anak mereka akan membesar  untuk menikmati taraf hidup yang lebih tinggi berbanding dengan mereka.  Rasa tidak senang ini terutamanya genting di negara perindustrian yang dari segi sejarah, merupakan sumber keyakinan besar dan idea hebat.

Dalam laporan Global Risks 2012, WEF mendedahkan risiko yang dihadapi dunia: risiko ekonomi, risiko alam sekitar, risiko geopolitik, risiko masyarakat, dan risiko teknologi. Laporan itu berdasarkan kajian 469 orang pakar daripada industri, kerajaan, ahli akademik, dan masyarakat sivil yang mengkaji 50 risiko global merentasi lima kategori.  Laporan itu menekankan kesan yang sangat besar kumpulan risiko global tertentu dan bukannya memberikan tumpuan terhadap risiko tunggal yang wujud. Tiga kumpulan risiko yang berbeza itu yang menunjukkan ancaman serius terhadap kesejahteraan dan keselamatan masa hadapan kita muncul daripada pandangan set risiko tahun ini. 

Laporan itu mengemukakan tiga kes, iaitu kes benih  distopia, kes bagaimana selamatnya keselamatan kita, dan kes sisi gelap saling berhubungan.

Apabila menghadapi banyak risiko, apakah yang perlu dilakukan?  Adakah perlunya lebih keberanian dan kelantangan, seperti yang dicadangkan oleh Samir Amin?


No comments:

Post a Comment