Pages

Tuesday, January 31, 2012

Kesatuan Eropah: Pertumbuhan Perlahan, Pengangguran Laju

SELASA,  31 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jika minggu lalu, Davos menjadi tempat lebih 2000 orang elit global berkampung, kini beralih ke Brussels apabila para pemimpin Kesatuan Eropah berkumpul di sana.   Dalam sidang kemuncak itu, dilaporkan bahawa 25 daripada 27 buah negara anggota,  pada hari Isnin semalam untuk menandatangan perjanjian baru yang direka untuk menghentikan perbelanjaan berlebih-lebihan di zon euro dan menghentikan krisis hutang yang memincangkan zon tersebut, manakala para pemimpin Kesatuan Eropah berikrar untuk merangsangkan pertumbuhan dan pekerjaan. 

Perdana Menteri David Cameron yang negaranya bersama-sama Republik Czech enggan menandatangani perjanjian itu, dipetik sebagai berkata bahawa pembaharuan seterusnya masih diperlukan oleh negara zon euro untuk menamatkan krisis hutang.  "Saya tidak fikir bahawa perjanjian ini dengan sendirinya akan menyelesaikan masalah zon euro."  Dan, sekali lagi David Cameron bertikam lidah dengan Presiden Nicolas Sarkozy berhubung dengan cukai urus niaga kewangan.  

Sama ada perjanjian baru ini dapat menyelamatkan Eropah ataupun tidak, hal ini dibahaskan oleh Ezra Klein dalam bentuk soal jawab melalui Wonkblog.  Dari satu segi yang lain, para pemimpin Kesatuan Eropah, dilaporkan,  semakin didesak supaya tidak  melaksanakan jimat-cermat dengan ketat apabila Sepanyol memaklumkan ekonominya menguncup dalam suku keempat 2011 dan  kos untuk menginsuranskan hutang Portugal mencecah tinggi dari segi rekod.  Sementara itu, Greece pula terus terumbang-ambing dan terus bergelut dengan krisis ekonomi sehingga menimbulkan persoalan apakah yang perlu dilakukan terhadap negara itu

Secara keseluruhannya, masuk tahun ketiga bertekak, zon euro merupakan hubungan yang lemah dalam ekonomi dunia.

Baru-baru ini, Paul Krugman mendedahkan bahawa kemerosotan yang dialami oleh Britain adalah lebih lama daripada yang dialaminya ketika Kemelesetan Besar pada tahun 1930-an. Beliau juga  membandingkan negara itu dengan Italy dalam dua tempoh kemelesetan. Britain juga diperhatikan berkemungkinan terhumban ke dalam curam kemelesetan berganda.

Dalam carta hariannya, The Economist menunjukkan bahawa negara Kesatuan Eropah mencatatkan pertumbuhan yang perlahan, manakala pengangguran adalah tinggi. 


Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pastinya Eropah, khususnya zon euro terus menjadi tumpuan dan terus mencemaskan dunia. Jika pada tahun ini dunia sekali lagi terhumban ke dalam kemelesetan, maka pastinya, pusat gempanya ialah Eropah.


No comments:

Post a Comment