Pages

Friday, December 2, 2011

Tayangan Perdana "Dua Ekor Gergasi Menari"

JUMAAT, 2  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton memulakan lawatan bersejarah ke Myanmar, tulis Hannah Beech dalam makalah terbaharunya  sempena lawatan tersebut.  Sebelum ini, Hannah menulis bahawa Hillary melawat negara yang paling mundur di dunia, negara yang bersifat menindas, negara yang belum beralih daripada pemerintahan tentera kepada demokrasi.Meskipun Amerika Syarikat sejak berdekad-dekad mengenakan sekatan terhadap negara yang diperintah oleh junta tentera itu dan  terasing dari dunia luar,  Myanmar dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan China.  Namun, seperti yang dibahaskan oleh Bertil Lintner dalam Foreign Policy berhubung dengan lawatan Hillary Clinton itu, "Myanmar dan Amerika Syarikat, mungkin berkesudahan dalam pagar yang sama dalam perjuangan untuk kuasa dan pengaruh di Asia Tenggara.  Perpecahan, dan mungkin perseteruan, pastinya boleh dijangkakan pada masa akan datang antara China dengan Myanmar.  Dan Myanmar tidak lagi akan dilihat oleh Amerika Syarikat dan negara-negara lain di Barat sebagai negara paria yang dikutuk dan diasingkan. 



Lawatan Hillary Clinton dilihat untuk menilai pembaharuan yang dilakukan oleh Myanmar.  Namun,   maksud pembaharuan adalah pelbagai, bukan setakat pembaharuan dari segi demokrasi dan kebebasan, tetapi juga dalam hubungannya dengan jiran rapatnya, China,   iaitu apa yang disebut   melepaskan belenggu pengaruh China.  Untuk berdekad-dekad, China merupakan sekutu rapat Myanmar, melabur secara besar-besaran kerana Myanmar sengsara akibat sekatan dan perlindungan pemberian pinjaman diplomatik dalam menghadapi kutukan antarabangsa. Justeru, Hillary Clinton di Myanmar adalah serampang dua mata:  memeriksa China dan menyemak pembaharuan, atau seperti yang diulas oleh editorial The Christian Science Monitor, berlumba untuk menentukan kuasa di Asia.


Sejak abad Asia kedengaran semula, dan meskipun belum dapat dipastikan, abad China, Amerika Syarikat nampaknya cuba mengimbangi negara pesaing utamanya itu. Secara lebih khusus, kehadiran  China dan Amerika Syarikat di Asia Tenggara, menurut tafsiran The Economist, "tarian gergasi."   Di sebalik perbincangan zon perdagangan bebas merentas Pasifik, dan persetujuan penempatan tentera Amerika di Australia utara, dan penyertaan pertama Amerika dalam Sidang Kemuncak Asia Timur di Bali, iaitu lawatan Presiden Barack Obama adalah mengenai China. Jika untuk menandakan berakhirnya dekad yang kebangkitan China digantikan oleh Islam radikal sebagai potensi  ancaman terbesar keselamatan Amerika, Presiden Obama kini menentukur semula jentera dasar luarnya dan memberikan tumpuan terhadap rantau Asia-Pasifik. 


Tatkala Amerika Syarikat bergelut dengan perang terhadap keganasan, China mengambil kesempatan untuk memperluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara dengan membina hospital, jalan raya dan sekolah, dan menjadi rakan perdagangan terbesar banyak negara di rantau ini.  Namun, sejak beberapa tahun lalu, berikutan kemaraan "bintang merah"  di Laut China Selatan, menyebabkan beberapa kerajaan di Asia Tenggara dengan tergesa-gesa memohon perlindungan Amerika - ibarat "orang mengantuk disorongkan bantal."  


Walau bagaimanapun, China dapat mengesan usaha Amerika Syarikat untuk mengukuhkan semula pengaruh di Asia Tenggara dengan menjadikan China sebagai sasaran.  Bagi China, seperti komentar yang diterbitkan oleh agensi berita China, Xinhua,  usaha Amerika Syarikat untuk menghidupkan semula era Perang Dingin merupakan suatu malapetaka.


Sebenarnya, dua ekor gergasi hanya baru memulakan tarian, dan semakin lama,  maka semakin menarik tarian, tidak kurang juga tegang dan suspens.  Mungkin sesuatu yang merupakan kelebihan kepada Amerika Syarikat sekarang, ialah banyak negara di Asia Tenggara (juga Asia Pasifik) merasakan kehadiran China di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan sebagai ancaman.  Justeru, untuk mengimbanginya, negara berkenaan berpaling kepada negara "abang" mereka, iaitu Amerika Syarikat.



No comments:

Post a Comment