Pages

Friday, December 2, 2011

Kebangkitan Afrika

JUMAAT, 2  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Afrika  terkenal dengan peperangan, pergolakan politik, kemiskinan, kebuluran, wabak penyakit, dan bermacam-macam keburukan dan malapetaka.  Sebut sahaja negara yang gagal, semua mata tertumpu ke negara-negara di benua itu.  

Namun, dengan memetik The Economist, Fareed Zakaria mengetengahkan sesuatu yang mungkin banyak orang tidak terfikirkan selama ini: pertumbuhan ekonomi di benua itu.  "Dari Ghana di barat ke Mozambigue di selatan, ekonomi Afrika tumbuh secara tekal dengan  pantas jika dibandingkan dengan beberapa tempat lain di dunia ini."  Sekurang-kurangnya satu dozen negara yang berkembang lebih enam peratus setahun untuk tempoh enam tahun tahun atau lebih.  Ethiopia yang pernah terkenal dengan kebuluran, akan tumbuh sebanyak 7.5 peratus tahun ini, kini pengeluar hasil  ternakan ke-10 di dunia.

Kebangkitan Afrika, The Economist dalam keluaran terbaharu, menyatakan bahawa selepas berdekad-dekad pertumbuhan yang perlahan, Afrika mempunyai peluang yang sebenar untuk mengikuti jejak langkah Asia.  Sepanjang dekad lalu, enam daripada 10 negara yang mengalami pertumbuhan pesat di dunia adalah dari Afrika.  Dalam lapan dari 10 tahun lalu, Afrika mengalami pertumbuhan lebih pantas daripada Asia Timur, termasuk Jepun.  IMF menjangkakan Afrika tumbuh sebanyak enam peratus tahun ini hampir enam peratus pada tahun 2012, hampir sama dengan Asia.

Kenaikan harga komoditi turut menyumbang pertumbuhan di Afrika, Pada tahun 2000-2008, kira-kira satu perempat pertumbuhan benua itu disumbangkan oleh hasil yang tinggi daripada sumber asli.  Demografi juga turut menyumbang kerana tatkala kadar kesuburan merosot di Asia dan Amerika Latin, separuh kenaikan pertumbuhan penduduk sepanjang 40 tahun akan datang adalah di Afrika.  Akan tetapi, jelas The Economist, pertumbuhan juga banyak kena-mengena dengan ekonomi pembuatan dan perkhidmatan yang Afrika mula bangunkan.  Persoalannya, adakah Afrika mampu berkembang seandainya permintaan terhadap komoditi menurun. 


Edward Miguel yang menulis dalam Foreign Affairs juga mengesan kebangkitan Afrika bahawa yang kurang diketahui adalah bahawa prospek benua itu berubah secara radikal sepanjang dekad atau selebihnya.  Seluruh benua itu, kadar pertumbuhan ekonomi (dari segi per kapita) adalah positif sejak akhir tahun 1990-an.  Dan bukan hanya ekonomi yang memperlihatkan penambahbaikan yang pesat, tetapi juga pada tahun 1990-an, kebanyakan negara Afrika mengadakan pilihan raya multiparti untuk kali pertama sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1960-an, dan takat kebebasan siviks dan media di benua tersebut kini, tidak pernah berlaku sebelum ini.  Walau bagaimanapun, Miguel mengakui bahawa kadar pertumbuhan ekonomi Afrika masih rendah jika dibandingkan dengan Asia.


Kini, Afrika menyusuli Amerika Latin dari segi kekuatan  ekonomi.  Keluar dari  Afrika dengan harapan.

No comments:

Post a Comment