Pages

Friday, December 9, 2011

Ke Arah Ekonomi Pendapatan Tinggi

SABTU,   10  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam mencari  alternatif atau pilihan, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak seakan-akan senada dengan Margaret Thatcher, Perdana Menteri Britain antara tahun 1979 – 1990. Thatcher  mengingatkan  bahawa tiada alternatif (TINA – There Is No Alternative) untuk globalisasi, manakala Najib yang juga Menteri Kewangan Pertama dalam pembentangan Belanjawan  2010 pada 23 Oktober 2009,  menegaskan bahawa Malaysia mempunyai dua alternatif: “Kini, negara berada di kedudukan kritikal, sama ada untuk terus terperangkap dalam kelompok negara pendapatan sederhana atau memilih untuk melonjak sebagai ekonomi pendapatan tinggi. Lantaran itu, kita perlu menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam mengharungi saat-saat paling mencabar iktisad global.  Kita telah berjaya melakukan transformasi ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian. Kini kita akan beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti, dan nilai ditambah yang tinggi.”
Belanjawan  2010 yang akan menjadi asas kepada pembentukan model ekonomi baru dan penggubalan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10),  bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama"  tertumpu kepada tiga strategi, iaitu memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi; memastikan pembangunan holistik dan mapan; dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Untuk strategi pertama, kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti, dan nilai ditambah yang tinggi. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Akhir-akhir ini, ekonomi baru dan  ekonomi  pendapatan tinggi mendapat liputan media dan menjadi topik wacana.  Menyebut ekonomi baru, mungkin ada yang merujuk kepada penggunaan teknologi digital yang maju, seperti di Silicon Valey, Boston, dan Austin sebagai pusat ekonomi baru.  Sementara yang lain, seperti tulis David J. Ward, Presiden NorthStar Economics, Inc., ekonomi baru yang merujuk kepada penggunaan pelbagai teknologi, termasuk bioteknologi. 
Namun begitu, Ward dalam kertas kerjanya “High Income Strategies for the Wisconsin Economy” pada November 2000, mentakrifkan ekonomi baru membabitkan pembinaan perniagaan dan sektor perniagaan nilai ditambah yang tinggi yang mewujudkan pekerjaan pendapatan tinggi dn nilai  pasaran (kekayaan).  Perniagaan ini dipacu oleh penggunaan teknologi dan pengetahuan dalam pembinaan produk baru dan proses perniagaan baru.  “Teknologi tidak dapat dinafikan merupakan nadi ekonomi baru kerana teknologi ialah alat yang membolehkan berlaku peningkatan yang besar dalam produktiviti, menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.  Tetapi, bahagian kedua ekonomi baru, iaitu pengetahuan dan input maklumat sama pentingnya.  Dalam kes ekonomi baru, pengetahuan ialah kuasa ekonomi.”
Oleh sebab kerajaan berusaha memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi, seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan  2010, maka ada kewajarannya dirujuk  pengelasan ekonomi berdasarkan per kapita Pendapatan Negara Kasar (PNK) atau disebut dalam bahasa Inggeris, Gross National Income (GNI) per capita yang diperkenalkan oleh Bank Dunia.  Lagipun,  ekonomi pendapatan tinggi merupakan istilah atau konsep yang agak asing dalam  kalangan masyarakat Malaysia, bahkan ada yang menganggapnya sebagai retorik pembangunan semata-mata.
Bagi tujuan operasi dan analitis,  Bank Dunia  mengelaskan ekonomi  berasaskan per kapita PNK, iaitu setiap ekonomi dikelaskan sebagai pendapatan rendah, pendapatan sederhana (yang dibahagikan kepada sederhana rendah dan sederhana tinggi), atau pendapatan tinggi. Kumpulan analitis lain yang berasaskan wilayah geografi juga digunakan.  Walau bagaimanapun, Bank Dunia menjelaskan bahawa pengelasan dan data yang dilaporkan untuk wilayah geografi adalah  untuk ekonomi pendapatan rendah dan ekonomi pendapatan sederhana sahaja.  Ekonomi pendapatan rendah dan sederhana  ada kalanya dirujuk sebagai ekonomi membangun; dan pengelasan mengikut pendapatan tidak semestinya mencerminkan status pembangunan. 
Bank Dunia juga mengelaskan kumpulan pendapatan, iaitu ekonomi dibahagikan menurut per kapita PNK 2008, dengan kumpulan pendapatan rendah: AS$975 atau kurang; pendapatan sederhana rendah: AS$976 – AS$3,855; pendapatan sederhana tinggi: AS$3,856 – AS$11,905; dan pendapatan tinggi:  AS$11,906 atau lebih.  Semua negara anggota Bank Dunia (186 buah) dan semua ekonomi lain yang jumlah penduduk lebih daripada 30,000 orang (210 buah) dikelaskan berdasarkan kumpulan pendapatan.
Pada tahun 2008, 66 buah ekonomi tergolong sebagai pendapatan tinggi, manakala 46 buah ekonomi sebagai pendapatan sederhana tinggi, dengan Malaysia turut tergolong dalam kumpulan ini (Jadual 1 dan Jadual 2).  Selain negara G-7, iaitu Amerika Syarikat, Italy, Jepun, Jerman, Kanada, Perancis, dan United Kingdom, sesetengah negara atau wilayah yang tergolong dalam kumpulan ini adalah kecil, misalnya Andorra,  negara yang terkecil di dunia ini terletak di antara Perancis dan Sepanyol, bergantung pada pelancongan sebagai sumber utama pendapatan.  Antigua dan Barbuda pula mempunyai jumlah keluasan tanah 442 kilometer persegi,  jumlah penduduk kira-kira 79,000 orang, dan pelancongan merupakan aktiviti utama ekonomi.

Jadual 1:  Ekonomi pendapatan tinggi
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Andorra
Perancis
Belanda
Antigua dan  Barbuda
Polynesia Perancis
Antilles Belanda
Aruba
Jerman
New Caledonia
Australia
Greece
New Zealand
Austria
Greenland
Norway
Bahamas
Guam
Portugal
Bahrain
Hong Kong
Puerto Rico
Barbados
Iceland
Qatar
Belgium
Ireland 
San Marino
Bermuda
Isle of Man
 Arab Saudi
Brunei Darussalam
Israel
Singapura
Kanada
Italy
Slovenia
Kepulauan Cayman  
Jepun
Sepanyol
Kepulauan Channel  
Korea, Rep.
Sweden
Cyprus
Kuwait
Switzerland
Republik Czech  
Liechtenstein
Trinidad dan  Tobago
Denmark
Luxembourg
Amiriah  Arab Bersatu
Estonia
Macau
United Kingdom
Kepulauan Faeroe
Malta
Amerika Syarikat
Finland
Monaco
Kepulauan Virgin (A.S.)


Sumber:  Bank Dunia.






Jadual 2:  Ekonomi pendapatan sederhana tinggi
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Algeria   
Grenada 
Peru   
American Samoa 
Jamaica 
Poland 
Argentina 
Kazakhstan 
Romania 
Belarus 
Latvia 
PersekutuanRusia  
Bosnia dan Herzegovina   
Lubnan 
Serbia 
Botswana 
Libya 
Seychelles 
Brazil 
Lithuania 
Afrika  Selatan 
Bulgaria 
Macedonia, FYR   
St. Kitts dan  Nevis 
Chile 
Malaysia 
St. Lucia 
Colombia 
Mauritius 
St. Vincent dan the Grenadines 
Costa Rica 
Mayotte 
Suriname 
Cuba 
Mexico 
Turki
Dominica 
Montenegro 
Uruguay 
Republik Dominican    
Namibia   
Venezuela
Fiji 
Palau 

Gabon 
Panama 


Sumber:  Bank  Dunia.

Negara-negara di dunia boleh disusun menurut PNK per orang, seperti yang digunakan oleh Bank Dunia.  Dianggarkan bahawa 40 peratus penduduk dunia tinggal dalam ekonomi pendapatan rendah berbanding dengan hanya 16 peratus penduduk yang tinggal dalam ekonomi pendapatan tinggi.  Ekonomi pendapatan tinggi juga menguasai hampir 80 peratus output tahunan kekayaan dunia.  Secara keseluruhan, taraf hidup di dunia meningkat agak perlahan; kebanyakan peningkatan berlaku dalam ekonomi pendapatan tinggi dan pendapatan  sederhana, manakala taraf hidup negara miskin merosot. 
Secara umum, penduduk dalam ekonomi pendapatan tinggi mempunyai  taraf hidup yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk dalam ekonomi pendapatan rendah.  Mereka kemungkinannya memiliki lebih banyak makanan untuk dimakan, kurang kemungkinan untuk kebuluran atau menanggung penderitaaan akibat pemakanan tidak seimbang, dan kemungkinan hidup lebih lama.  Mereka lebih celik hurup dan berpendidikan, dan oleh itu, memiliki pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi. Seseorang boleh menjangkakan bahawa peningkatan taraf pendapatan bergerak seiringan dengan peningkatan taraf kebahagian  dan kepuasan hidup.  Penduduk dalam masyarakat kaya lebih bahagia daripada penduduk dalam masyarakat miskin.
World Development Indicators 2009 yang diterbitkan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa ekonomi pendapatan tinggi masih menguasai output dan eksport  pembuatan.  Pembuatan masih belum pada tahap pemecutan di kebanyakan ekononomi membangun.  Sementara perkhidmatan kini merupakan sektor terbesar dalam ekonomi pendapatan tinggi yang mewakili lebih 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Meskipun bahagian pembuatan dalam ekonomi pendapatan tinggi jatuh, tetapi ekonomi berkenaan menguasai 73 peratus output pembuatan global pada tahun 2006, jatuh daripada 79 peratus pada tahun 2000. 
Seperti yang dinyatakan di atas (Jadual 2), Malaysia tergolong dalam kumpulan ekonomi pendapatan sederhana tinggi, dengan per kapita PNK AS$7,500 pada tahun 2008.  Telah menjadi pengetahuan umum, dalam tempoh lebih satu dekad,   per kapita PNK  Malaysia kadangkala terjejas, kerana  krisis kewangan Asia 1997-1998, dan kini krisis kewangan global.  Untuk bergelar sebagai ekonomi pendapatan tinggi pada tahun 2020, negara hanya mempunyai masa 11 tahun lagi untuk memacukan per kapita PNK sekurang-kurangnya AS$11,906, dengan andaianya nilai ambang (threshold) untuk ekonomi pendapatan tinggi masih kekal.



Malaysia melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dilaporkan  merancang strategi ke arah pertumbuhan dan pendapatan yang lebih tinggi.  Juga dilaporkan bahawa Profesor Edward C. Prescott, dari Arizona State University berkata, inilah masa yang sesuai untuk Malaysia bergerak daripada ekonomi pendapatan sederhana tinggi kepada ekonomi pendapatan tinggi. Bagi Prescott, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi dan juga anggota pasukan pakar Bank Dunia, Malaysia perlu menjadi ekonomi pendapatan tinggi; dan untuk itu, memerlukan komitmen rakyat negara ini.  Beliau juga tidak menolak kemungkinan Malaysia mencapai taraf negara maju pada tahun 2020.
Dalam Bajet 2010, untuk strategi memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi, kerajaan akan meningkatkan pelaburan swasta; mempergiat penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersialan; memanfaatkan sepenuhnya niche areas; memajukan sektor pertanian; menggalakkan industri pembinaan; memperkasa perusahaan kecil dan sederhana; membangunkan teknologi hijau; dan menggalakkan industri kreatif. 
Di sini elok sekali lagi dirujuk kepada David J. Ward, tentang cadangannya untuk menjadikan Wisconsin negeri pendapatan tinggi.  Wisconsin, seperti yang dinyatakan oleh Ward, setelah memenangi pertarungan pekerjaan, tercicir dalam perang pendapatan.  Pendapatan per kapita negeri itu secara beransur-ansur jatuh di bawah purata nasional dalam tempoh 20 tahun lalu.   Wisconsin mesti mengubah pemikirannya daripada strategi meningkatkan jumlah pekerjaan secara berterusan kepada strategi mewujudkan jumlah besar pekerjaan pendapatan tinggi. 
Bagi Malaysia, dalam usaha untuk menyertai ekonomi pendapatan tinggi, cadangan Ward wajar juga diberikan perhatian, iaitu mewujudkan sejumlah besar pekerjaan pendapatan tinggi.  Malaysia boleh berbangga dengan kadar pengangguran yang rendah jika dibandingkan dengan negara lain, misalnya semasa kemelesetan ekonomi dunia: angka terkini menunjukkan pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.5 peratus pada akhir tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lalu.  Namun begitu, cabaran utama adalah untuk mewujudkan pekerjaan pendapatan tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi yang bergerak seiringan dengan peningkatan produktiviti. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Disember 2009.)

No comments:

Post a Comment