Pages

Thursday, November 10, 2011

Timbunan Defisit: Benteng atau Beban?

JUMAAT, 11  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perbelanjaan besar-besaran oleh kerajaan, keredaan Rizab Persekutuan yang dramatik, dan pelan penyelamat Wall Street adalah perlu untuk mencegah daripada berlaku Kemelesetan Besar kedua.  Namun, tegas Nouriel Roubini, profesor ekonomi di New York University, “tidak ada makan tengah hari percuma” dengan merujuk kepada unjuran hutang awam Amerika Syarikat yang meningkat daripada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 80 peratus KDNK yang mempunyai implikasi inflasi pada masa hadapan.
Preskripsi John Maynard Keynes untuk krisis kewangan, iaitu tindakan kerajaan  secara agresif dan tidak dapat tidak, defisit belanjawan bukan sahaja merupakan pendekatan asas  Washington sejak tumbangnya Lehman Brothers,  bahkan preskripsi ini juga diterima pakai oleh banyak negara.  Kira-kira setahun kemudian, meskipun ekonomi masih terbenam dalam kesusahan dan memerlukan masa untuk bebas daripada kesusahan itu, tetapi kemelesetan yang berlaku tidak berubah kepada Kemelesetan Besar.  Jatuh bebas juga  telah pun berakhir.
Untuk keluar daripada kemelesetan yang mungkin dalam dan lama, banyak negara melaksanakan pakej rangsangan, dan akhirnya meninggikan lagi timbunan defisit. Pegawai kewangan yang menghadiri sidang kemuncak G-20 di London pada awal September lalu mengakui bahawa beberapa penambahbaikan dalam pertumbuhan ekonomi, tetapi mengingatkan pemulihan tidak boleh mapan tanpa pertolongan yang berterusan daripada kerajaan dalam bentuk perbelanjaan defisit, kadar faedah yang rendah, dan usaha untuk mengembangkan penawaran wang.
Olivier Blanchard, dari Jabatan Penyelidikan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menulis bahawa respons fiskal terhadap krisis adalah dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan, menurunkan cukai, dan menerima defisit fiskal yang terlalu besar.  Dengan runtuhnya permintaan swasta dan ketidakupayaan mengurangkan kadar faedah di bawah sifar, kerajaan jelas memilih respons yang betul.  Namun begitu, defisit yang besar akan menyebabkan peningkatan yang pesat dalam hutang, dan oleh sebab tahap hutang telah pun tinggi di banyak negara, peningkatan sedemikian tidak boleh berlaku dalam tempoh yang lama.
Di Amerika, pentadbiran Obama  meningkatkan anggaran defisit untuk tempoh 10 tahun daripada AS$7.1 trilion kepada AS$9 trilion dengan alasan kemerosotan ekonomi yang lebih dalam daripada yang dianggarkan.  Defisit  semakin luas akibat jumlah yang sangat besar yang kerajaan terpaksa belanjakan untuk meredakan kemelesetan, ditambah oleh kemerosotan yang ketara dalam hasil cukai.  Kos peperangan di Iraq dan Afghnistan juga merupakan faktor utama yang menyebabkan defisit. 
Kini, defisit Amerika pada tahun ini dijangkakan kira-kira AS$1.85 trilion, hutang keseluruhan kini lebih sedikit daripada 80 peratus output tahunan seluruh ekonomi Amerika, seperti yang diukur oleh KDNK.  Jumlah ini masih merupakan liabiliti yang besar, meskipun tidak setinggi ketika Perang Dunia Kedua apabila seketika meningkat kepada 120 peratus KDNK.  Amerika bukan hanya  sebuah negara  yang terpaksa bergelut dengan hutang negara yang besar, lapor Bloomberg.com, dalam kalangan negara besar, Jepun, Italy, India, Perancis, Jerman, dan Kanada mempunyai hutang yang standing sebagai peratusan KDNK masing-masing.
Untuk zon euro, IMF mengakui bahawa meskipun  penggunaan sumber awam untuk menyokong sistem kewangan dan mengurangkan kesan kemerosotan adalah perlu, namun ini juga bermakna kemerosotan yang ketara dalam kedudukan fiskal bagi ekonomi kawasan ini.  Defisit  meningkat daripada 0.6 peratus KDNK pada tahun 2007 kepada 6.9 peratus pada tahun 2010.
IMF mengingatkan Perancis agar mengekang defisit belanjawan pada tahun hadapan kerana ekonominya kembali kepada pertumbuhan yang “lembap”.  Kerajaan Perancis  menjangkakan defisit belanjawan melebar kepada antara tujuh hingga  7.5 peratus KDNK tahun ini, dan dijangkakan berada dalam julat itu pada tahun hadapan. Namun begitu, Presiden Nicolas Sarkozy berjanji akan terus melabur dan mengelakkan daripada langkah “jimat cermat” untuk mengurangkan jurang kurangan, kerana bagi beliau “jimat cermat selalu gagal.”  Beliau  tidak akan meningkatkan cukai kerana langkah ini melambatkan langkah untuk  keluar daripada krisis dan beliau juga tidak akan mengorbankan pelaburan kerana tanpa pelaburan tidak ada masa hadapan.
Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), dalam pemeriksaan keteguhan  tahunan terhadap United Kingdom, mencadangkan kerajaan melaksanakan potongan yang besar dalam perbelanjaan awam sebaik-baik sahaja kemelesetan berakhir.  Bagi OECD, cara terbaik untuk memperbaiki lubang yang luas dalam kewangan awam Britain yang dianggarkan 14 peratus KDNK pada tahun 2010 adalah dengan memotong perbelanjaan dan bukannya menaikkan cukai.  Pada bulan Mei, defisit belanjawan Britain hampir-hampir 20 bilion paun, menggalakkan pandangan bahawa defisit setahun penuh lebih besar daripada 175 bilion paun atau 12 peratus KDNK yang diunjurkan oleh Alistair  Darling,  Chancellor of the Exchequer dalam belanjawan  bulan April. 
Parti Demokratik Jepun yang memenangi pilihan raya baru-baru ini, menurut laporan The Wall Street Journal, memberikan isyarat yang keras tentang defisit belanjawan negara itu, tetapi agensi penarafan kredit dan para pelabur berasa waswas sama ada kerajaan baru ini dapat mengawal hutang yang teruk itu. Belanjawan permulaan pada tahun hadapan memerlukan 21.9 trilion yen untuk membiayai hutang awam Jepun atau kira-kira 170 peratus KDNK, tertinggi dalam kalangan negara perindustrian.
Majalah The Economist  dalam beberapa keluarannya membuat liputan tentang defisit yang ditanggung oleh beberapa buah  negara; sesetengah negara defisit belanjawan   meningkat kepada 10 peratus KDNK.   Greek,  akibat kemerosotan global mengurangkan perolehan perkapalan,  mengalami defisit belanjawan yang mungkin mencecah enam hingga tujuh peratus KDNK pada tahun ini.  Ramalan semasa untuk Denmark, defisit belanjawan negara itu mencecah 2.5 peratus KDNK pada tahun ini dan meningkat kepada 4.2 peratus KDNK pada tahun 2010.  Defisit boleh meningkat lebih tinggi kerana wujudnya desakan politik supaya meningkatkan perbelanjaan awam.  Jika cukai tidak dinaikkan, Sepanyol secara automatik menambah beban terhadap kewangan awam yang telah pun teruk, defisit kerajaan dijangkakan meningkat daripada 3.8 peratus KDNK pada tahun 2008 kepada lebih 12 peratus KDNK pada tahun 2010.
Yang menjadi keprihatinan para pelabur, mungkin pengakuan Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee ialah defisit kerajaan pusat yang akan melebar hingga 6.8 peratus KDNK pada tahun ini hingga Mac 2010.  Kerajaan kini membelanjakan 34 rupee bagi setiap 100 rupee yang dibelanjakan.  Defisit India, menurut Standard & Poor’s (S&P), boleh mencecah kira-kira 12 peratus KDNK, dan agensi penarafan itu mengingatkan para pelabur bahawa India dalam bahaya kehilangan gred pelaburannya.
Sebuah makalah dalam majalah itu menyebut bahawa ribut ekonomi global yang dahsyat sejak tahun 1930-an mungkin mula cerah, tetapi gumpalan awan lain telah pun menyelebungi ufuk kewangan: hutang awam yang besar.  Dengan memetik sumber daripada ahli ekonomi IMF, makalah ini menunjukkan bahawa hutang awam bagi 10 negara kaya yang utama akan meningkat daripada 78 peratus KDNK pada tahun 2007 kepada 114 peratus pada tahun 2014.  “Kerajaan ini akan berhutang kira-kira AS$50,000 untuk setiap warganegara masing-masing.  Kemelesetan menyusutkan hasil cukai dan para penggubal dasar berbelanja dalam jumlah yang besar yang tidak pernah berlaku sebelum demi menyelamatkan ekonomi dan menyokong bank-bank mereka.  Hutang kedaulatan menimbun.”


 Pada tahun hadapan,  hutang awam 10 negara berkenaan akan mencecah 106 peratus KDNK, meningkat daripada 78 peratus pada tahun 2007 yang menunjukkan lebih AS$9 trilion hutang tambahan dalam masa tiga tahun. Berdasarkan ramalan, hutang kasar daripada KDNK  pada tahun 2014 ialah Amerika (106.7 peratus),  Australia (16.6 peratus), Britain (87.8 peratus), Italy (129.4 peratus), Jepun (234.2 peratus), Jerman (91.0 peratus),  Kanada (66.2 peratus),  Korea Selatan (51.8 peratus), Perancis (89.7 peratus),  dan Sepanyol (69.2 peratus).
“Defisit datang” sebagai tanda amaran kepada dunia.  Sebagaimana kemelesetan yang   tidak dapat dielakkan,   banyak negara   tidak dapat mengelak daripada menanggung defisit, sungguhpun peratusannya daripada KDNK  berbeza-beza. Misalnya,  anggota  ekonomi yang baru muncul dalam G-20 mempunyai nisbah awam dengan KDNK adalah 38 peratus pada tahun 2007.  Pada tahun 2014, kemungkinannya jatuh kepada 35 peratus, kurang satu pertiga daripada purata dunia kaya.  Meskipun ekonomi China dijangka tumbuh 7.2 peratus tahun ini, namun Bank Dunia menunjukkan defisit belanjawan negara itu adalah 4.9 peratus KDNK pada tahun ini, meningkat daripada tiga peratus yang diramalkan oleh China. 
Sementara Malaysia diunjurkan mengalami defisit belanjawan yang mencecah 7.6 peratus daripada KDNK pada tahun ini, tertinggi sejak tahun 1987.  Setelah tahun demi tahun  kawalan fiskal yang lemah, pada tahun 2010 kerajaan berazam memotong defisit belanjawan sebanyak 15 peratus daripada perbelanjaan mengurus.  IMF mendesak kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan untuk meningkatkan hasil.  Institusi pinjaman yang beribu pejabat di Washington itu  meramalkan defisit Malaysia  akan mencecah 7.7 peratus KDNK pada tahun ini dan hanya turun kepada 7.1 peratus KDNK pada tahun hadapan. 
Sesuatu yang menarik yang cuba diketengahkan oleh IMF tentang defisit  ialah nilai kos fiskal penduduk berumur, yang secara purata, 10 kali ganda daripada krisis kewangan.  Jika tidak diberikan perhatian, tekanan demografik akan menyebabkan hutang awam yang digabungkan bagi ekonomi kaya menjurus kepada 200 peratus KDNK pada tahun 2030.
Anggaran defisit Amerika yang besar itu mendapat pelbagai respons.    Bagi Parti Republikan, defisit  digunakan sebagai  modal untuk mengkritik pentadbiran Obama, walaupun dua pertiga defisit ini  diwarisi daripada pentadbiran sebelum ini yang    melancarkan dua peperangan, sedangkan memotong cukai bagi isi rumah kaya.  Ketika pentadbiran Bush, jumlah hutang persekutuan meningkat daripada AS$3.3 trilion pada tahun 2001 kepada lebih AS$5 trilion pada tahun 2008.
Banyak ahli ekonomi berpendapat bahawa pentadbiran Obama tidak mempunyai pilihan, kecuali mengambil tindakan yang agresif ketika krisis kewangan.  Sesetengah ahli ekonomi menegaskan bahawa defisit yang kian membusut yang meletakkan Amerika berhadapan dengan risiko kelunturan kepercayaan dalam kalangan pemiutang asing dari segi keupayaan negara itu membayar balik pinjaman  akhirnya boleh melisukan pertumbuhan ekonomi. 
Akhbar The New York Times dalam editorialnya, memuji pentadbiran Obama yang merancang untuk menangani defisit belanjawan dengan  tidak menggali lubang lebih dalam lagi dengan dua daya usaha yang besar: pembaharuan penjagaan kesihatan dan perundangan tenaga.  “Mengurangkan pertumbuhan kos penjagaan kesihatan, khususnya adalah penting untuk mengawal defisit pada masa hadapan,” tulis editorial itu.  Bagi  beratus-ratus bilion dolar dalam rangsangan ekonomi, impaknya terhadap defisit jangka panjang adalah sedikit kerana perbelanjaan adalah sementara.
Tegas editorial itu lagi, paling penting, perbelanjaan defisit adalah wajar pada masa kemelesetan kerana meredakan kemerosotan,  dan dengan mengambil langkah demikian, mengelak daripada kerosakan yang teruk terhadap ekonomi dan belanjawan.  Namun begitu, tidak lama lagi, Presiden Barack Obama terpaksa melakukan sesuatu yang beliau cuba elakkan, iaitu perlu menaikkan cukai secara meluas untuk mengekang defisit. 
Meskipun  Obama nampaknya mampu mengharungi gelora yang cukup mencabar ini, namun   jika kadar pengangguran di negara itu terus meningkat, maka seperti yang dijangkakan secara meluas, ini akan meledakkan  desakan supaya dilaksanakan pakej rangsangan yang baru.  Memandangkan defisit yang dialami adalah besar, perbelanjaan baru boleh menjadi sangat bahaya dari segi politik.
Christina Romer, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Barack Obama dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The Economist,  mengingatkan para penggubal dasar kesilapan yang memanjangkan tempoh Kemelesetan Besar, seperti yang disebut oleh beliau, pengajaran tahun 1937.  Beliau juga memberikan perhatian terhadap situasi fiskal dalam jangka panjang, dan mengakui bahawa dalam menangani krisis semasa, Presiden Obama yang mewarisi defisit terpaksa meningkatkan defisit dengan lebih banyak.  Tegas beliau, “untuk beralih kepada jimat cermat pada masa terdekat, pastinya membantutkan pemulihan dan berhadapan dengan risiko kemelesetan dalam kemelesetan seperti yang berlaku pada tahun 1937.”
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) Rumah Putih menjangkakan defisit tahun ini lebih kecil daripada yang dianggarkan, iaitu 11.2 peratus KDNK dan bukannya 12.9 peratus KDNK, sebahagiannya adalah kerana wang diperlukan untuk menyandarkan sistem kewangan tidak diperlukan lagi.  Hutang persekutuan akan mencecah 77 peratus KDNK pada tahun 2019, meningkat daripada 41 peratus KDNK pada tahun 2008. 
Walau bagaimanapun, seperti yang diperingatkan, masalahnya terletak dalam jangka panjang.  Kewangan awam Amerika tidak menunjukkan tanda pemulihan kepada mana-mana tahap kemapanan yang hampir pada tahun-tahun mendatang.  Defisit purata sepanjang dekad akan datang kini dijangkakan menjadi 5.1 peratus KDNK berbanding dengan empat peratus daripada KDNK dalam belanjawan asal.  Presiden Obama dan Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan menegaskan bahawa defisit yang berterusan mesti ditolak ansur sebagai ubat yang diperlukan untuk keadaan bahaya yang kini dihidapi oleh ekonomi Amerika.
Dalam testimoninya pada awal Jun,  Bernanke  memberi amaran  kepada Kongres dan Rumah Putih bahawa defisit belanjawan Amerika yang besar mengancam kestabilan kewangan dan kerajaan tidak boleh terus-menerus tanpa kesudahannya meminjam pada kadar semasa untuk membiayai kurangan.  Tegas beliau, “kecuali kita menunjukkan komitmen yang kuat terhadap kemapanan fiskal dalam jangka panjang, kita tidak akan mempunyai,  baik kestabilan kewangan mahupun pertumbuhan ekonomi yang teguh.  Mengekalkan keyakinan dalam pasaran kewangan memerlukan kita, sebagai sebuah negara memulakan perancangan sekarang untuk memulihkan keseimbangan fiskal.”  Ekonomi Amerika akan sengsara jika mereka tidak bertindak segera untuk mengekang defisit belanjawan persekutuan yang Pengerusi Rizab dipersalahkan kerana menolong mendesak kadar faedah yang lebih tinggi dalam jangka panjang.
 “How Big is $9 Trillion?”  Paul Krugman menulis dalam blognya, “berlaku beberapa histeria tentang anggaran baru pentabdiran bahawa defisit kumulatif akan mencecah AS$9 trilion sepanjang dekad akan datang.  Kalaupun hutang persekutuan kira-kira 50 peratus KDNK, hutang ini daripada bahagian KDNK lebih rendah daripada defisit yang berlaku pada akhir Perang Dunia Kedua dan juga lebih rendah, misalnya daripada yang dialami beberapa negara Eropah dari pertengahan hingga akhir tahun 1990-an.” 
Dalam kolumnya dalam The New York Times, Krugman menulis, sekarang, defisit menyelamatkan ekonomi.  Malahan, defisit di sini dan di ekonomi besar lain menyelamatkan dunia daripada kemerosotan yang dalam.  Tinjauan jangka panjang adalah membimbangkan, tetapi keadaan ini bukan malapetaka.  Dalam  makalah “Till Debt Does Its Part” itu Krugman bagaikan menyindir  kalau sesuatu yang membimbangkan, yang bahaya ialah politik bukannya ekonomi.  Oleh itu,  tegas beliau, “jangan risau akan defisit tahun ini; kita sebenarnya perlu menanggung hutang sekarang, dan kita perlu terus menanggung hutang hingga ekonomi betul-betul berada pada laluan yang padu untuk pemulihan.  Dan hutang tambahan sepatutnya boleh diuruskan.  Jika kita berhadapan dengan potensi  masalah, ini bukan kerana ekonomi tidak  menangani hutang tambahan.  Sebaliknya, politik, bodoh.”
Sebagai respons terhadap Krugman, John Tamny, editor RealClearMarkets.com menganggap Penerima Hadiah Nobel Ekonomi silap 100 peratus tentang defisit dan perbelanjaan kerajaan, meskipun beliau mungkin bersetuju dengan bahaya politik yang dinyatakan itu.  Dengan merujuk kepada aliran pemikiran ekonomi Austria sebagai lawan Keynesian Krugman, Tamny berhujah bahawa kerajaan sepatutnya tidak melakukan apa-apa dalam menghadapi krisis kerana krisis itu akan hilang dengan sendirinya. 
Pada setiap tahap pertumbuhan hutang, maka lahir penegasan yang serius oleh orang yang bijak bahawa kemuflisan dan kehancuran tidak dapat dielakkan.  Namun begitu, masih hutang terus meningkat, dan masih kemuflisan dan kehancuran nan jauh seperti selalu.  Demikian tulis Lord Thomas Macaulay, ahli sejarah British yang terkenal pada abad ke-19,  yang menyentuh hutang Inggeris ketika itu, tetapi, tulis Robert Reich dalam The Guardian, beliau mungkin juga merujuk kepada Amerika Syarikat pada abad ke-21. Sebagaimana Paul Krugman, Reich juga mengkritik golongan yang histeria terhadap defisit yang ditanggung oleh Amerika.  “Unjuran hutang negara di Amerika dan United Kingdom mencetuskan panik, tetapi pelaburan untuk masa hadapan adalah penting untuk pemulihan.”
Dengan merujuk unjuran defisit hampir AS$1.6 trilion pada tahun fiskal yang berakhir 30 September, Reich menulis “angka ini membimbangkan saya bukan kerana terlalu besar, tetapi kerana terlalu kecil.  Saya lebih mengutamakan kerajaan menanggung defisit yang lebih besar tahun ini.”  Dan tulis beliau lagi,  “tanpa defisit yang besar tahun ini dan tahun hadapan, dan mungkin tahun selepas itu, ekonomi  tidak ada harapan  langsung untuk kembali ke laluan pertumbuhan.  Dalam hal ini, nisbah hutang dengan KDNK boleh benar-benar menjadi hodoh.”
Yang sering diperingatkan tentang kenaikan yang meletup dalam nisbah hutang dengan KDNK  ialah  apabila sesebuah negara berkesudahan dengan hutang awam dan swasta yang berlebihan tiga setengah saiz output tahunan, negara itu   akan menerima nasib  seperti  Argentina. Memang  negara memerlukan  rangsangan fiskal dalam jangka pendek, tetapi  juga  perlu bimbang tentang kemapanan fiskal dalam jangka panjang.   Hal ini demikian kerana dikatakan bahawa defisit dalam jangka panjang boleh menyebabkan “gangguan ekonomi yang serius.”
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi November 2009.)





 

No comments:

Post a Comment