Pages

Sunday, November 13, 2011

Pertembungan Ideologi

AHAD,  13  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada akhir tahun 1980-an, dunia komunis runtuh dan sistem Perang Dingin antarabangsa tinggal menjadi sejarah.  Dalam dunia pasca-Perang Dingin, perbezaan yang paling penting antara manusia ialah perbezaan dari segi budaya dan bukannya perbezaan bersifat ideologi, politik ataupun ekonomi.  Manusia dan negara berusaha untuk menjawab soalan yang paling asas yang boleh dihadapi manusia:  Siapakah kita?  Demikian tulis Samuel Huntington dalam Pertembungan Tamadun dan Pembentukan Semula Orde  Dunia.  Tambah Huntington lagi, dalam dunia baru ini, konflik yang paling mudah merebak, terpenting, dan paling berbahaya bukanlah antara kelas sosial, iaitu kaya dengan miskin atau kumpulan ekonomi yang lain, tetapi konflik antara mereka yang tergolong dalam entiti budaya yang berbeza.  Perang antara puak dan konflik dalam kalangan etnik akan berlaku dalam tamadun.
        Huntington yang meninggal dunia pada 24 Disember 2008 ketika usia 81 tahun, mungkin  sempat melihat bibit kebangkitan semula pertembungan ideologi, meskipun  bukan kerana berlakunya Perang Dingin baru,   tetapi  akibat krisis ekonomi global.  Golongan intelektual, sama ada Kiri ataupun Kanan dikatakan tidak sabar menunggu agar idea mereka diterima pakai oleh kumpulan pemimpin dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara masing-masing. Cengkaman ideologi neoliberal terhadap struktur politik dan media Barat yang sebelum ini seakan-akan  tiada alternatif  mendapat perdedahan yang cukup tentang pelbagai kepincangannya.

Di tengah-tengah keruntuhan Bursa Saham New York, The Economist, majalah perniagaan yang mendukung kebebasan, melukis gambar Presiden Perancis, Nicolas  Sarkozy membaca Das Kapital Karl Marx dengan wajah yang seronok.  Dalam keluaran 4 Oktober 2008 itu, majalah berkenaan cuba menunjukkan Sarkozy yang berkata ideologi  laissez-faire Amerika seperti yang diamalkan ketika perniagaan suprima “adalah terlalu mudah kerana perniagaan ini  berbahaya” sedang menunggu kematian sistem ini.  Namun,  Sarkozy  sekadar memberikan respons kepada pendapat awam Perancis yang menolak pasaran bebas kerana diketahui umum, beliau merupakan peminat setia  Amerika dan kapitalisme.
Krisis ekonomi global memaksa kerajaan di banyak negara berusaha menyelamatkan ekonomi masing-masing dalam pelbagai bentuk – pelan penyelamat,  rangsangan fiskal, fahaman perlindungan,  pemiliknegaraan, dan pemotongan cukai.  Peranan atau penglibatan kerajaan yang sebelum ini terhakis akhirnya membawa padah kerana pasaran yang diberikan kepercayaan yang tinggi gagal berfungsi dengan sendirinya.  Semua langkah kerajaan  ini membangkitkan semula dan seterusnya menyemarakkan pertembungan ideologi yang dingin kira-kira satu dekad.
Perkataan yang sensitif mungkin mengejutkan Amerika pada masa biasa, tetapi kini, bahkan anggota Parti Republikan mula berbisik:  “pemiliknegaraan” bank yang tenat semakin dianggap opsyen terbaik untuk membaiki sistem kewangan negara itu. Tatkala Rumah Putih masih berpegang kuat pada sistem perbankan yang dimiliki oleh pihak swasta adalah cara betul, tokoh seperti bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan yang  selama ini mempercayai ideologi pasaran bebas, berkata campur tangan kerajaan merupakan satu-satunya alternatif yang ada untuk penggubal dasar.
Kini, “kerajaan besar”  lahir semula. Di Amerika Syarikat,  dipercayai  bahawa  aktivisme kerajaan merupakan “kejahatan yang perlu” untuk membantu ekonomi global keluar dari kemelesetan. Bekas Presiden, George W. Bush yang pernah   menyokong kerajaan yang lebih kecil juga bersetuju dengan penglibatan kerajaan. Beliau memaklumkan dalam wawancara dengan CNN bahawa  beliau “meninggalkan prinsip pasaran bebas demi menyelamatkan sistem pasaran bebas.”
Sebaliknya  Eropah, seperti yang ditulis oleh James Surowiecki   dalam The New Yorker baru-baru ini,   berbeza dengan Amerika tentang tahap penglibatan kerajaan dalam ekonomi.  Meskipun dalam politik Amerika, “Eropah” biasanya perkataan kod untuk “kerajaan besar,” namun di tengah-tengah kemelesetan global,  Eropah yang dijangka berbelanja dengan menggila jauh ketinggalan daripada rangsangan fiskal Amerika dan China.  Sementara Amerika memperuntukkan rangsangan fiskal hampir enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Perancis hanya berbelanja 26 bilion euro, manakala Jerman berbelanja 50 bilion euro.  Beliau merumuskan,  “jauh daripada penyokong Sayap Kiri yang bermata liar, Eropah melihat konservatif terus terang.”
 Gary Becker, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi tahun 1992,   menyatakan kebimbangannya terhadap kewujudan “kerajaan besar”  ketika kesusahan ekonomi sekarang.  Beliau menegaskan wujud risiko terhadap sistem Amerika Syarikat apabila banyak orang yang dikenali sebagai kumpulan berkepentingan bergantung pada kelayakan:  “Teori asas politik kumpulan berkepentingan menyebut bahawa mereka akan mempunyai pengaruh yang lebih dan pengaruh mereka akan cuba mengekalkan keadaan ini, dan sukar untuk berpatah balik.”
Perdana Menteri Britain, Gordon Brown,  antara  pemimpin yang paling sibuk menangani krisis ekonomi global,  menolak “kerajaan besar,” tetapi mengakui hanya kerajaan progresif, iaitu Tengah-Kiri dapat menangani masalah perubahan global.  Meskipun Konsensus Washington yang mengutamakan pasaran bebas akan berakhir, namun beliau menunjukkan isyarat keengganan untuk kembali semula ke zon selesa Parti Buruh dengan berkata bahawa  tidak akan kembali kepada “kerajaan besar.”  “Zaman laissez-faire  telah berakhir.  Orang  yang berada di Tengah-Kiri dan agenda progresif sepatutnya  cukup yakin untuk berkata bahawa idea lama bahawa pasaran adalah cekap dan dapat melakukannya dengan sendirinya telah berlalu,” tegas Brown.
Dari Washington ke Tokyo ke London, ahli politik seluruh dunia menggunakan krisis kewangan global sebagai pelindung untuk memperluaskan kuasa mereka.  Sebagaimana pakej rangsangan ekonomi, sosialisme mula menjadi kesayangan sesetengah pemimpin.  Kebangkitan semula sosialisme  bukan sahaja digerakkan oleh intelektual Kiri, bahkan juga diketengahkan dan diperdebatkan dalam media arus perdana.  Pada Mac lalu, Jon Cruddas dan Jonathan Rutherford menulis dalam akhbar The Guardian:  “A Call for a New Socialism.”  Dengan mengkritik elit politik dalam Buruh Baru dan Konservatif yang tidak menawarkan analisis ekonomi tentang krisis sekarang dan tidak menunjukkan kepimpinan politik, kedua-dua penulis ini menegaskan:  “Matlamat mereka untuk kembalikan ekonomi kepada urusan seperti biasa, tetapi status quo telah lenyap, dan tidak akan berpatah balik kepada model neoliberal masa lalu.”

Dengan judul “Neo-Socialism Down Under” The Wall Street Journal Asia mengatakan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd mencipta semula falsafah untuk mewajarkan kerajaan yang lebih besar.  Beliau meletakkan wawasannya bagi “kapitalisme sosial”, iaitu jenis rumah persinggahan (halfway house)  antara apa yang beliau sebut “kapitalisme ekstrem” dengan “negara yang menyediakan segala-gala.”  Dengan mengkritik neoliberalisme,  dan fundamentalisme pasaran yang dihasilkannya yang melahirkan falsafah politik yang mementingkan ketamakan peribadi, Rudd dikatakan jauh menyimpang daripada  konservatisme ekonomi yang membawa kemenangan beliau pada tahun 2007. 
“Apa jua tatanama,”  kata Rudd, “konsepnya jelas, iaitu sistem pasaran terbuka yang dikawal selia dengan jelas oleh negara aktivis, dan satu lagi campur tangan negara untuk mengurangkan ketidakasamaan yang sangat luas yang pasti diwujudkan oleh  pasaran persaingan.”
Kebelakangan ini, beberapa penerbitan di Amerika mengetengahkan perdebatan tentang sosialisme yang merujuk kepada dasar ekonomi Presiden Barack Obama. Majalah  The Atlantic dan The National Review   mengatakan  Obama merupakan sosialis, manakala The Wall Street Journal menafikan beliau sosialis. Sementara The New York Times melalui beberapa makalahnya mengemukakan pandangan yang berbeza: ada yang menganggap beliau demokrat sosial dan bukannya sosialis;  ada pula yang menganggap Presiden Amerika itu dalam perjalanan untuk mengikuti sosialisme.  Walau apa pun ideologi sebenar Obama: sosialis, bukan sosialis, atau demokrat sosial, nampaknya sosialisme yang tewas lebih satu dekad bangkit semula akibat krisis ekonomi global.
Sementara di negara bekas komunis Eropah   timbul  kebimbangan tentang kebangkitan semula  ideologi lama dalam wajah baru.  Pada awal  Mac lalu, Perdana Menteri Hungary ketika itu, Ferenc Gyurcsany memberi amaran bahawa ekonomi “Tabir Besi” baru akan muncul,  melainkan para pemimpin Kesatuan Eropah bertindak melindungi negara anggota yang lemah daripada terbenam dalam krisis ekonomi global.  Hungary bersama-sama negara timur dalam Kesatuan Eropah, seperti Poland, Latvia, dan Slovakia dalam keadaan ekonomi yang teruk dan merayu negara kaya dalam blok 27 buah negara itu menunjukkan  perpaduan dalam kalangan anggota.
Krisis yang berlaku hari ini,” seperti yang dinyatakan dalam suatu keluaran The Economist, “memberikan kerelevanan baru kepada idea seorang lagi ahli ekonomi agung pada era Kemelesetan Besar.”  Tatkala Keynenisme diterima semula oleh kebanyakan negara dengan melaksanakan peningkatkan perbelanjaan kerajaan dan pemotongan cukai, majalah itu melalui tajuk “Out of Keynes’s Shadow” cuba mengetengahkan pemikiran ahli ekonomi yang terkenal, Irving Fisher yang kini hampir dilupakan oleh orang awam.  Sekarang,  John Maynard Keynes, ahli ekonomi British sezaman Fisher yang selalu dipetik, dibahaskan, dan diikuti, tetapi tegas majalah itu, “Fisher menyediakan asas untuk hampir keseluruhan ekonomi monetari moden.  Keynes memanggil Fisher ‘moyang’ bagi teori beliau sendiri tentang bagaimana daya monetari mempengaruh ekonomi benar.”
Apabila Perdana Menteri Britain, Gordon Brown memotong pencukaian nilai ditambah (VAT) pada awal Februari, beberapa pemimpin Eropah, seperti Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Menteri Kewangan Belanda, Wouter Bos, mempertikaikannya dengan mengatakan usaha ini tidak akan berhasil.  Namun, kritikan yang lebih keras datangnya daripada Menteri Kewangan Jerman, Peer Steinbrück, yang menuduh Brown "Keynesianisme bodoh” (crass Keynesianism).
Sementara Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy  menjadi sasaran pergeseran baru tentang fahaman perlindungan apabila Renault memindahkan pengeluaran kereta dari Slovenia kembali ke Perancis yang dijangka mewujudkan 400 peluang pekerjaan. Dalam ucapannya di hadapan anggota parlimen Eropah di Strasbourg pada akhir Mac lalu, Brown mendesak Kesatuan Eropah jangan berundur ke fahaman perlindungan. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa keperluan pertama Eropah ialah bekerja sebagai satu pasukan dan mengelakkan fahaman perlindungan.  Meskipun beliau tidak merujuk kepada contoh secara khusus fahaman itu, namun dipercayai beliau “maksudkan” kepada tindakan Renault itu.
Menolak  sindiran Donald Rumsfeld yang terkenal tentang bagaimana benua itu dibahagikan kepada Eropah “baru” dan Eropah “lama”  berhubung dengan pencerobohan Amerika terhadap Iraq pada tahun 20003, Brown berkata:  “Kini, tidak ada lagi Eropah lama, Eropah baru, tiada lagi Eropah timur atau barat.  Wujud hanya sebuah Eropah.  Bumi kita, Eropah.”  Beliau berkata demikian untuk menggembleng Eropah dan juga bersama-sama Amerika memerangi krisis ekonomi global.
Namun,     apa yang berlaku, wujud perpecahan yang mendalam antara Amerika Syarikat dengan Eropah tentang bagaimana untuk bertindak balas terhadap krisis yang paling tersebar luas dalam ekonomi pasaran.  Negara anggota G20 pula bertelagah dalam kalangan mereka  lalu Presiden Bank Dunia, Robert  Zoellick memberi amaran   bahawa mereka menghadapi risiko “melakukan terlalu sedikit, terlalu lewat” untuk membaiki ekonomi global. Semakin teruk dan semakin lama krisis ekonomi global ini menyerang, semakin tajam pertembungan ideologi antara negara dan antara benua. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat November 2009.)









1 comment:

  1. kdang kla,cmpur tgn krjaan prlu ntuk memulihkn keadaan...

    ReplyDelete