Pages

Monday, November 21, 2011

Minda Tertutup Memori Terhakis

ISNIN,  21  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sejarawan ulung, Eric Hobsbawm dalam bukunya yang berbentuk wawancaranya  dengan Antonio Polito, On the Edge of the New Century, berkata bahawa meskipun menurut takrif, fahaman berbilang bahasa menghalang globalisasi, idea bahawa suatu hari kelak seluruh dunia bertutur dalam bahasa Inggeris kelihatan utopia bagi beliau.

Dalam keluaran pertengahan Disember 2010,The Economist  muncul dengan “The Future of English” yang mengulas buku Nicholas Ostler,  The Last Lingua Franca: English Until the Return of Babel.  Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling berjaya dalam sejarah dunia. Bahasa ini dituturkan di setiap benua, dipelajari sebagai bahasa kedua oleh murid-murid, dan merupakan alat sains, perniagaan global,  dan budaya popular.  Banyak orang berfikir bahasa Inggeris akan tersebar tanpa kesudahan.  Akan tetapi, memetik Ostler, sarjana kebangkitan dan kejatuhan bahasa, melakukan ramalan yang memeranjatkan dalam buku terbaharunya itu: hari-hari bahasa Inggeris sebagai lingua-franca dunia mungkin  akan berakhir.
Ostler yang terlalu berminat terhadap penggunaan bahasa purba membahaskan bahawa bahasa Inggeris berkembang sebagai lingua-franca, tetapi bukan sebagai bahasa ibunda.  Lebih satu billion orang bertutur dalam bahasa Inggeris di seluruh dunia, tetapi beliau mengingatkan, “hanya kira-kira 330 juta orang daripada jumlah itu sebagai bahasa bahasa pertama, dan jumlah penutur  ini tidak berkembang.”  Masa hadapan bahasa Inggeris adalah dalam tangan negara di luar kumpulan penutur bahasa Inggeris, dan soal Ostler, “Adakah mereka selalu belajar bahasa Inggeris?”
Bagi beliau, dua  faktor baru, iaitu nasionalisme moden, seperti yang berlaku di negara bekas tanah jajahan,  dan teknologi menyekat penyebaran bahasa Inggeris.  Bahasa Inggeris akan pudar sebagai lingua-franca, hujah Ostler, “tetapi bukan kerana beberapa bahasa lain akan menggantikan bahasa ini.”  Meskipun bahasa Inggeris tiada pengganti kerana tiada  satu yang akan diperlukan, tetapi teknologi akan memenuhi keperluan.  Teknologi yang beliau maksudkan itu ialah kemajuan yang pesat dalam terjemahan berkomputer dan pengenalpastian pertuturan.
Akhbar The Observer dalam editorialnya pada 26 Jun 2011, menegaskan  bahawa untuk hanya bertutur dalam bahasa Inggeris akan menyempitkan horizon atau ufuk seseorang. Editorial itu menyentuh masalah kebanyakan penduduk di United Kingdom yang menganggap  bahawa bahasa Inggeris bahasa pertama dan hanya bahasa mereka.  Mereka selesa dengan kepercayaan bahawa “setiap orang bertutur bahasa Inggeris, padahal ini tidak betul kerana 75 peratus penduduk dunia tidak bertutur dalam bahasa itu.  Editorial itu mengingatkan bahawa belajar bahasa asing adalah jelas tentang komunikasi, tetapi seorang ahli akademik pernah menulis, bahasa asing juga menyediakan “landskap mental yang baru.”   Buku, filem, puisi dalam bahasa yang berbeza membuka pintu kepada budaya, nilai, dan cara melihat yang kalau tidak, boleh terhalang.  Terjemahan hanya mengintai sepintas lalu menerusi retak pada pintu.  Tegas editorial itu,  bahasa Italy, Perancis, Sepanyol, Portugis, dan bahasa kurang digunakan bersama menambahkan pemahaman tentang kegembiraan, kepura-puraan, kebahagian, dan kecintaan perkataan.
Sebagaimana Nicholas Ostler, editorial itu juga merujuk kemajuan teknologi yang dapat membantu seseorang itu menguasai pelbagai bahasa: “Kita hidup pada zaman digital dengan telefon  Android dan Google yang dapat mengubah perbualan ke dalam bahasa yang berbeza dengan segera, tetapi dalam proses itu, mereka juga menghadapi risiko memutihkannya semua warna.  Justeru, untuk menjadi baik dengan bahasa-bahasa  mungkin atau mungkin tidak membantu dalam pasaran buruh atau terbukti berguna semasa percutian setiap dua minggu, tetapi dapat dipertahankan, merupakan pasport untuk kehidupan yang lebih genap.”
Daripada perbincangan di atas jelas bahawa perlunya seseorang itu menguasai pelbagai bahasa yang dalam konteks di Malaysia, sering dikelirukan oleh sesetengah pihak menguasai bahasa Inggeris dan pada masa yang sama mencampak bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.  Perbincangan di atas juga menunjukkan bahawa penutur bahasa Inggeris tidak boleh bergantung pada bahasa itu semata-mata kerana ini boleh menjadikan minda mereka tertutup.  Selain itu, seperti yang dibahaskan oleh Nicholas Ostler, masa hadapan bahasa Inggeris sendiri terpaksa bergelut dengan ketidakpastian.
Pastinya, penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja boleh membuka minda seseorang, tetapi juga boleh memperlahankan  keterhakisan memori, seperti yang dibahaskan oleh Steve Connor dalam akhbar The Independent pada 19 Februari tahun ini, “Speaking a Second Language Can Delay Dementia Onset for Years.”  Bertutur bahasa kedua mungkin memperlahankan kadar yang kemerosotan otak apabila umur kian meningkat, menunjukkan bahawa penutur dwibahasa adalah lebih terlindung daripada penyakit Alzheimer berbanding dengan orang yang menggunakan satu bahasa sahaja.  Connor merujuk beberapa kajian yang kini menunjukkan hubungan jelas antara mengguakan bahasa kedua dengan kemerosotan kognitif, yang boleh dijelaskan oleh idea kedwibahasaan bertindak seperti “gymnasium mental” yang memastikan otak aktif dalam kehidupan kemudian.
Beliau juga merujuk kajian terbaharu yang dikemukakan kepada American Association for the Advancement of Science in Washington, yang mendapati pesakit yang bertutur dwibahasa dengan kemungkinan menghadapi Alzheimer besar kemungkinan melengahkan simptom jika dibandingkan dengan penyakit yang ekabahasa.  Bahkan, kesan bertutur bahasa kedua menghasilkan kesan yang sangat kuat terhadap melengahkan bermulanya Alzheimer berbanding dengan mana-mana drug yang kini digunakan untuk mengawal penyakit ini.  Para penyelidik percaya kesan secara langsung dihubungkan dengan penggunaan bahasa kedua dan bukannya kesan sampingan perbezaan pekerjaan atau pendidikan antara penutur dwibahasa dengan orang yang ekabahasa.  Eksprimen menunjukkan hal ini ada kena mengena dengan usaha lebih mental yang dicurahkan untuk menggunakan bahasa kedua. 
Dalam makalahnya itu, Steve Connor memetik Judith Kroll,  Profesor Psikologi di Penn State University di Pennsylvania, yang berkata kajian terbaharu menunjukkan bahawa menjugel (juggling) dua atau lebih bahasa membantu melatih otak dan memastikan otak cergas pada usia yang lebih tua.  Pada dasarnya adalah bahawa kedwibahasaan adalah baik untuk anda.”
Bagi pengkritik  code switching atau yang sering disebut di Malaysia, “bahasa rojak” mungkin rumusan tulisan Connor tidak selesa didengar:  “Orang dwibahasa terlibat dalam code switching, perundingan mental antara bahasa yang mereka gunakan.”  Dengan kata lain, code switching  tidak elok dari segi bahasa, tetapi elok dari segi kesihatan, suatu pertembungan antara jati diri dengan kesejahteraan hidup.
Dalam konteks Malaysia, penguasaan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris banyak dibayangi oleh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).  Penyokong PPSMI yang hingga kin enggan mengakui kalah cuba mengelirukan penggubal dasar dan orang ramai tentang penggunaan bahasa Inggeris dengan penguasaan sains dan matematik.  Sedangkan, seperti yang diketahui umum, kajian antarabangsa menunjukkan tidak wujud korelasi atau hubungan sebab-musabab antara penggunaan bahasa Inggeris dengan penguasaan kedua-dua bidang ilmu ini. 
Akhbar The Independent dalam keluaran 16 Julai tahun ini, “The Man Who Proved That Everyone is Good at Maths” yang ditulis oleh Alex Duval Smith bahawa betapa mudahnya untuk belajar  matematik.  “Matematik adalah mudah.  Akan tetapi, untuk menemuinya perlu pergi ke hujung dunia, iaitu Madagascar.  Dalam makalahnya itu, Smith merujuk buku Les Mathématiques Naturelles, yang ditulis oleh ahli akademik Perancis, Marc Chemillier, pengarah kajian EHESS (School for Advanced Studies in Social Sciences).  Chemillier menegaskan bahawa matematik bukan sahaja mudah, tetapi juga “berakar umbi dalam gerak hati atau intuisi deria manusia.” 
Dan beliau percaya bahawa penduduk Madagascar yang secara relatifnya belum terjejas oleh pengaruh luar, boleh membantu beliau untuk membuktikannya. Beliau juga menegaskan bahawa kanak-kanak sepatutnya digalakkan melakukan matematik sebelum mreka belajar membaca dan menulis.  “Wujud hubungan yang kuat antara menghitung dengan bilangan jari pada tangan anda.  Matematik menjadi rumit hanya apabila anda meninggalkan langkah asas  semula jadi, seperti kaki dan inci, atau bahkan ekar, manakah  kawasan yang dua ekor lembu boleh bajak  dalam sehari.”
Justeru, apa masalahnya yang sebenar? Di negara kita banyak manusia yang berlagak pandai yang kononnya berfikiran dunia,  yang mahu penggubal dasar mengikut telunjuk mereka, sedangkan sebenarnya minda mereka tertutup dan memori mereka terhakis. Golongan ini ke sana ke mari mendendang lagu lama, “bahasa Inggeris bahasa global, bahasa kemajuan, maka ketepikan bahasa Melayu” tanpa membuktikan penemuan atau penulisan terkini tentang perkembangan bahasa di dunia.  Jauh sekali untuk membaca tulisan Alex Duval Smith, meskipun diterbitkan dalam akhbar antarabangsa dalam bahasa Inggeris, bagaimana masyarakat luar menguasai matematik tanpa memerlukan bahasa Inggeris.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa September 2011.)


No comments:

Post a Comment