Pages

Monday, November 28, 2011

Mesir: Dari Revolusi ke Demokrasi

ISNIN,  28  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di Mesir pada hari ini berlangsung  pilihan raya parlimen selepas tercetus revolusi prodemokrasi pada Januari lalu yang akhirnya  menumbangkan  Presiden Hosni Mubarak. Meskipun "bapak firaun telah pergi, "anak-anak firauan" masih berkeliaran, atau dengan kata lain, anggota elit rejim purba masih berkuasa, meskipun keluarga Mubarak tidak lagi berkuasa.   Golongan tersebut dianggap mengkhianati revolusi Mesir - menawan Dataran Tahrir - tempat yang menjadi aspirasi untuk mencetuskan kebangkitan rakyat di seluruh dunia.   Dan, apabila Dataran Tahrir bergolak semula pada minggu lalu, tentera Mesir benar-benar didapati menawan revolusi. Selain itu, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (MTAT) yang diketahui oleh  Fil Marsyal Hussein Tantawi yang mengambil alih pucuk pimpinan  Mesir,  diperhatikan  tidak bersama-sama rakyat jelata.  Tentera Mesir, menurut istilah Barry Lando, "negara dalam negara."

Kemuncak pada 22 November lalu, dan hari-hari berikutnya, berpuluh-puluh ribu orang rakyat Mesir membanjiri Dataran Tahrir dalam perhimpunan terbesar sejak hari-hari terakhir pemerintahan Mubarak.  Kemarahan penunjuk perasaan tertumpu pada matlamat menggulingkan presiden mereka.  "Ini bukannya revolusi yang banyak rakyat Mesir rasa yang mereka perjuangkan dan sanggup menanggung kesengsaraan untuk itu," demikian pemerhatian The Economist.  Kekecewaan rasa tertipu, dan ketakutan bahawa penindasan berlaku semula seperti yang diamalkan selama 30 tahun kediktatoran Mubarak, mendorong  tercetusnya  protes dramatik terbaharu ini. 

Bagi penunjuk perasaan, catat Shadi Hamid daripada pemerhatian beliau sendiri, mereka tidak mempercayai parti-parti politik, bahkan mereka melarang beberapa ahli politik memasuki Dataran Tahriri, berteriak kepada ahli politik berkenaan apabila mereka cuba masuk.  Banyak yang tidak mempercayai matlamat revolusi dapat dicapai melalui peti undi.  Dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada hari Isnin, calon-calon "revolusioner" kemungkinan memenangi peratusan kecil undi, jika mereka berjaya  melepasi bendul parlimen.

Berikutan protes tersebut, Amerika Syarikat dilaporkan meningkatkan tekanan terhadap pemerintahan tentera Mesir supaya menyerahkan kuasa pemimpin awam, dan giliran jeneral untuk mengubah politik era Mubarak kepada ketua kerajaan baru untuk memenuhi tuntutan lebih 100,000 penunjuk perasaan yang penuh sesak di Dataran Tahrir.  Penunjuk perasaan menolak pelantikan Kamal el-Ganzouri sebagai Perdana Menteri, dengan berteriak. "Tidak sah! Tidak sah!"  Dikatakan juga bahawa tunjuk perasaan pada Jumaat lalu merupakan "peluang terakhir."  Meskipun pilihan raya parlimen berlangsung pada hari ini, penunjuk perasaan masih berkhemah di Dataran Tahrir mendesak pengunduran kepimpinan tentera

Pergolakan terbaharu di Dataran Tahrir, seperti yang diperhatikan oleh Wendell Steavenson dalam The New Yorker, "Mesir terletak di tepi curam: penuh resah."  Sementara rakyat Mesir tidak akan selesai dengan separuh revolusi.  Khairi Abaza yang menulis dalam International Herald Tribune mengingatkan tentera Mesir supaya berundur.  Beliau menyalahkan MTAT yang memandang rendah keazaman dan kecekalan rakyat Mesir untuk melakukan pembaharuan demokratik. Pemberontakan yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu tidak menghasilkan peralihan tulen kepada demokrasi. Pemberontakan itu hanya menafikan tentera topeng orang awam yang di belakangnya menggunakan kawalan hampir enam dekad. 

Meskipun berlaku pertumpahan darah dan pengkhianatan,  hujah Jack Shenker dalam The Guardian, Dataran Tahrir masih berdiri teguh. "Tuntutan penunjuk perasaan hanya satu dan mudah.  Pemerintahan tentera mesti berakhir, dan berakhir sekarang, orang ramai bercakap dalam satu nada. Masa untuk bertolak ansur telah berakhir." Isyarat dan teriakan mendesak kejatuhan pemerintahan tentera, dan penolakan konsesi terbaharu jeneral yang memerintah, iaitu pelantikan Perdana Menteri yang baru, seperti yang ditegaskan oleh Abigail Hauslohner, penjelmaan terbaharu revolusi menunjukkan tidak ada tanda-tanda untuk mengendur. 
Tatkala ketegangan memasuki hari kelima, Omar Robert Hamilton menulis dengan yakin bahawa selagi Dataran Tahrir bertindak, maka selagi itu Tahrir merupakan demokrasi, mendakwa bahawa tentera dan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) yang terdesak mencuba apa-apa sahaja untuk menyekat  kesuburan revolusioner.  Mereka akan gagal. Sementara Adrian Hamilton yang muncul dalam The Independent dengan nada yang lebih tegas bahawa jangan andaikan bahawa pemberontakan Mesir gagal.  Beliau mengkritik golongan yang pada mulanya meletakkan harapan yang tinggi pada Pemberontakan Arab dan kini dalam bahaya menjadi terlalu pesimistik. Apa yang diperlukan oleh Mesir yang dinyatakan oleh Michael Meyer-Resende dalam "Rules for Transition,"  perundingan peralihan dan tatacara pembuatan keputusan yang mewujudkan kepercayaan dan konsensus.
Ketika Mesir di ambang pilihan raya pertama selepas kejatuhan Mubarak, Hussein Tantawi mengingkari orang ramai yang berkumpul di Dataran Tahrir.  Dalam usahanya untuk mengetepikan penunjuk perasaan itu, berkata kerajaan "tidak akan membenarkan pengacau campur tangan dalam pilihan raya." 
Dalam tempoh kira-kira sebulan, dunia Arab menyaksikan tiga buah negara mengadakan pilihan raya, pertama Tunisia pada akhir bulan lalu. Dan baru-baru ini, Maghribi yang cepat-cepat mengadakan pilihan raya sebelum rejim ditukar. Kedua-duanya menyaksikan kemenangan parti Islamis.  Hari ini, tiba giliran Mesir yang menunggunya dengan penuh tegang.
Kehadiran demokrasi di dunia Arab ketika di sana sini demokrasi koyak-rabak: Amerika Syarikat dengan kelumpuhan politik; Greece dan Italy pemimpin yang dipilih oleh rakyat digantikan oleh teknokrat; dan  Belgium kerana perbalahan bahasa, 18 bulan tanpa kerajaan yang sah.  


Demokrasi yang dibawa ke dunia Arab, khususnya Mesir, ialah demokrasi yang sedang runtuh. Runtuh kerana politik itu sendiri, dan runtuh kerana menyelamatkan kapitalisme.  Rakyat Mesir terpaksa membayar harga yang tinggi untuk demokrasi, hakikatnya, alternatif yang ada pada mereka ialah rejim mesti pergi. 




No comments:

Post a Comment