Pages

Sunday, November 27, 2011

Israel: Pemimpin Bermasalah, Negara Berakhir?

AHAD,   27  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Anak yang "dimuakan," iaitu Israel semakin besar kepala.  Pada awal  bulan ini, terbongkar rahsia bahawa Israel merancang untuk menyerang kemudahan nuklear Iran, tetapi diingatkan bahawa rancangan yang dijangkakan dilancarkan bersama-sama Amerika Syarikat dan Britain akan membawa malapetaka. Bahkan, Israel, seperti yang dilaporkan, enggan memberitahu Amerika Syarikat tentang niatnya terhadap Iran.  MajalahTimedalam keluaran terbaharunya mendedahkan beberapa letupan bom di pangkalan peluru berpandu Iran yang terletak di pinggir kota Teheran,  yang mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, termasuk Mejar Jeneral Hassan Moqqadam, adalah angkara agensi perisikan Israel, Mossad.

Bersempena sidang kemuncak G-20 di Cannes, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memberitahu Presiden Barack Obama bahawa Perdana Menteri  Benjamin Netanyahu adalah pendusta.  Sarkoz memberitahu betapa kecewanya beliau akan tindak-tanduk Netanyahu tanpa menyedari bahawa pembesar suara  tidak ditutup, lalu didengar oleh pemberita yang mengikuti terjemahan serentak.  Obama sebagai reaksinya berkata, "Anda menyampah akan dia, tetapi saya terpaksa berurusan dengan dia lebih kerap daripada anda." Richard Cohen menulis  dalam The Washington Post, berhubung perbualan antara kedua-dua pemimpin itu,  memetik bekas Perdana Menteri Israel,  Yitzhak Shamir yang pernah memberitahu tabiat buruk Netanyahu, menegaskan bahawa Netanyahu itu orang bermasalah.


Tatkala Palestin bersiap sedia untuk memohon taraf negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September lalu, Benny Morris menulis dalam Newsweek yang membayangkan Israel berakhir. Di Israel sendiri, bahas beliau, tidak wujud  lagi masyarakat yang liberal demokratik, egalitarian yang diimpikan oleh David Ben-Gurion, yang pernah wujud suatu ketika dahulu; sebaliknya, Israel bergaduh dengan rakyat Arab dan sesama sendiri.


Dalam kata-kata Ruth,  balu Moshe Dayan, "impian Zionis berkecai."  Dalam makalah yang ditulis oleh Rula Jebreal mendedahkan bahawa Ruth Dayan, sejak kematian suaminya, pemimpin tentera yang terlibat dalam Perang Arab-Israel tahun 1967, bertindak sebagai salah seorang negarawan tua yang paling lantang.  Enam puluh tiga tahun selepas bapa pengasas mula mendirikan negara demokratik, selamat, dan makmur, Israel masih terpaksa berjuang, iaitu tidak wujud perjanjian damai dengan Palestin, ketegangan antara Arab dengan Israel semakin menjadi-jadi, dan keganasan berlarutan.  Di bawah kepimpinan Benjamin Netanyahu dan Parti Likudnya, Israel berkecai dengan perpecahan politik. Kerajaan bergerak ke arah kanan dari segi politik demi mengekalkan majoriti di Parlimen.  Namun, sepanjang musim panas, rakyat Israel yang liberal mendirikan khemah di kota-kota   mengadakan tunjuk perasaan akibat ketidaksamaan pendapatan yang meluas dan kenaikan kos sara hidup.


Ruth yang kaya dengan memori tentang Israel  dahulu dan naik berang apabila diminta beliau membandingkannya dengan Israel sekarang:  “Kami membina negara ini inci demi inci, dan kami kehilangan banyak nyawa.  Kami membina institusi awam dan sosial, sekolah, kilang.  Apa yang berlaku sekarang adalah dahsyat.  Mereka memusnahkan negara ini. Saya bangga menjadi orang Israel.  Saya hidup menerusi setiap peperangan, menanggung setiap detik kesengsaraan, tetapi tidak pernah berhenti mempercayai keamanan.  Saya kehilangan sahabat dan anggota keluarga.  Saya pendamai, tetapi kerajaan Israel tidak mahu mencari keamanan. Kita bergerak dari satu peperangan ke satu peperangan, dan keadaan ini tidak pernah berhenti. Saya fikir, Zionisme berkecai."

Meskipun Moshe dikenali sebagai wira perang dalam kalangan orang Israel dan Arab, Ruth sentiasa menunjukkan persahabatan dengan orang Arab.  Sebagai ketua Maskit ketika itu, beliau melibatkan orang Arab untuk membuat ambal dan barang niaga yang lain.  "Ini tentang hidup bersama-sama, bekerja bersama-sama, membina jambatan," jelas beliau.  "Kini, kami menggunakan buruh asing kerana rakyat Palestin tidak dibenarkan.  Dan peluasan penempatan yang berlanjutan di mana-mana sahaja, saya tidak boleh terima.  Saya tidak boleh bertolak ansur terhadap keterhakisan dalam wilayah ini dan sekatan jalan raya di mana-mana sahaja.  Dan tembok yang menakutkan! Ini tidak betul."

Ruth Dayan dianggap pemikir bebas dalam masyarakat Israel. Dan penumpuan dan usaha konstan beliau untuk membawa rakyat Israel dan Palestin hidup bersama-sama merupakan legenda. Beliau juga mempunyai hubungan yang erat dengan komuniti Arab.  Sementara suaminya, Moshe Dayan yang pada mulanya menafikan kewujudan Palestin, mengubah pendiriannya kemudian apabila sebagai Menteri Luar, beliau bersetuju dengan autonomi Palestin, berunding perjanjian Camp David dengan Mesir. Israel bersetuju berundur dari Semenanjung Sinai.  Jelas Ruth, Yasir Arafat yang selalu menciumnya apabila mereka berjumpa, menghormati suaminya.  Demikian juga Raja Abdullah dari Jordan yang pernah berkata, "Apakah yang mendatangkan keseronokan ialah mempunyai suami anda sebagai musuh.” 

Moshe, jelas Ruth  lagi, "melayan sentiasa  orang Arab dengan hormat, bahkan selepas Perang Enam Hari, beliau mengunjungi sendiri Tebing Barat.  Beliau gemar menghabiskan masa dengan orang Arab, dan  melawat Nablus tanpa pengawal peribadi.  Beliau percaya bahawa kerja itu membawa kami bersama-sama. Beliau berdialog dengan orang Arab."

Israel sekarang, bagi Ruth Dayan, bukannya mimpi, negara yang banyak kesukaran. Israel mempunyai masyarakat teknologi tinggi yang berkomunikasi menerusi iPad, iPhone, dan Facebook, dan bukannya mempunyai anak-anak yang bercakap antara sama lain.

Dalam "Israel's Other Occupation," Gershom Gorenberg, memerhatikan  "peperangan," satu lagi perjuangan yang semakin memuncak di penempatan Tebing Barat utara, atau Samaria.  Persaingan seharian antara orang Yahudi dengan Palestin untuk mengawal tanah yang terletak di antara Laut Mediterranean dengan Sungai Jordan.  Namun, beliau menegaskan bahawa alasan untuk Israel  mencapai penyelesaian dua negara dan berundur dari Tebing Barat bukan hanya untuk mencapai perdamaian dengan rakyat Palestin yang hidup di wilayah yang diduduki sekarang.  Alasannya adalah untuk memastikan bahawa Israel sendiri kekal demokrasi, satu dengan majoriti Yahudi dan jaminan kesamaan untuk minoriti Arab mereka.  "Israel tidak perlu membawa peperangan dari rumah Samaria.  Israel perlu meninggalkan peperangan pada masa lalu itu."

Berhubung dengan rancangan perjanjian damai antara Israel dengan Palestin pada tahun 2008, seperti yang diulas oleh David Ignatius, "terlalu besar untuk dilaksanakan."  Justeru, keadaan terus wujud seadanya:  Palestin terus haru-biru, Israel hanyut dalam keangkuhannya.  



















No comments:

Post a Comment