Pages

Friday, November 25, 2011

Krisis Zon Euro: Jerman Menunggu Kesakitan yang Lebih Teruk?

JUMAAT,  25  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hanya kesakitan Jerman dapat menyelesaikan krisis euro, tulis Phillip Inman, tatkala Portugal dan Ireland  turut bergelut dengan krisis hutang. Namun, Canselor Jerman, Angela Merkel, seperti lazimnya, keberatan untuk menyelesaikan krisis  yang melanda zon euro itu. Beliau gagal mencapai kesepakatan Presiden Nicolas Sarkozy dari Perancis dan Perdana Menteri Mario Monti dari Italy berhubung dengan krisis hutang euro.  Beliau juga dilaporkan tidak terharu dengan rayuan Sarkozy  supaya kuasa  lebih banyak  diberikan kepada  European Central Bank (ECB), meskipun amaran dikeluarkan oleh ahli politik, ahli ekonomi, dan  bahkan Vatican itu satu-satu cara "mengelak malapetaka."

Presiden Nicolas Sarkozy berkata bahawa beliau dan Canselor Angela Merkel akan mencadangkan perubahan untuk perjanjian Kesatuan Eropah yang utama untuk membolehkan integrasi Eropah yang lebih dalam. Semua tiga negara itu berkata mereka akan melakukan apa-apa sahaja  untuk menyelamatkan euro. "Kami mahu euro yang kukuh, stabil ... kami akan melakukan apa-apa sahaja untuk mempertahankan euro," kata Angela Merkela selepas pertemuan di Strasbourg apabila pemimpin Perancis dan Jerman bertemu dengan Perdana Menteri baru Italy, Mario Monti untuk kali pertama.  

Pertemuan tiga pemimpin utama zon euro yang berlangsung Khamis semalam, seperti yang dicatatkan oleh Bruce Crumly, "tidak ada tindakan baru tentang krisis euro kerana para pemimpin bersetuju untuk tidak bersetuju."  Mereka berkata, bahkan jangan harapkan wujud mana-mana cadangan kolektif baru hingga sekurang-kurangnya bulan depan.

Perancis dan Jerman juga setuju, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, untuk menghentikan pertikaian terbuka berhubung dengan sama ada ECB sepatunya melakukan lebih banyak lagi untuk menyelamatkan zon euro daripada krisis hutang kedaulatan yang semakin alam.  Kedua-duanya, iaitu Sarkozy dan Angela selepas mengadakan pertemuan dengan Mario Monti berkata bahawa mereka mempercayai bank pusat yang bebas dan tidak akan menyentuh mandat mencegah inflasi oleh bank itu apabila mereka mencadangkan perubahan perjanjian Kesatuan Eropah.


Pendirian Angela Merkel menolak  campur tangan ECB untuk menyelesaikan krisis  hutang kedaulatan,  membangkitkan ketakutan yang melanda pasaran, lapor The Guardian.  Ketakutan  akan krisis perbankan berlaku tidak lam lagi dijangka memuncak pada hari Jumaat kerana pembekuan pemberian pinjaman antara bank berlaku semula, berbilion-bilion euor dikeluarkan daripada bank-bank "Kelab Med," dan ECB dipaksa memberikan pinjaman yang lebih banyak kepada institusi yang kesusahan.  

Dalam pertemuan itu, sekali lagi Angela Merkel menguasai perbincangan kerana beliau hanya bersetuju untuk merangsang dana pelan penyelamat Kesatuan Eropah, iaitu kemudahan kestabilan kewangan Eropah, yang dapat membantu menyelesaikan krisis dengan segera.

Dikhuatiri bahawa zon euro benar-benar berakhir, kecuali Jerman dan ECB bertindak pantas.  Namun, Jerman masih menunggu kesakitan yang lebih teruk, bukan sahaja untuk negara lain di zon tersebut, tetapi untuk dirinya sendiri.   Ketika itu, jika bertindak, kemungkinan besar segala-galanya sudah terlewat.





No comments:

Post a Comment