Pages

Thursday, November 24, 2011

Krisis Zon Euro: Giliran Jerman Kepanasan

KHAMIS,  24  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis zon euro terus memburu mangsa untuk memanjangkan lagi senarai "PIIGS"  (Portugal,  Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol).  "PIIGS" ini, menurut Nouriel Roubini, boros, berbelanja lebih daripada pendapatan, manakala zon euro menunggu masa untuk berkecai.  Sementara salah sebuah negara  anggota "PIIGS," iaitu Ireland terpaksa  memohon perlepasan hutang.  Beberapa minggu lalu, iaitu tatkala Italy bergelut dengan krisis hutang dan pergolakan politik, Perancis juga dikatakan tidak dapat mengelak daripada kesan domino.  Sementara di luar zon euro, Hungary merupakan negara pertama dari Eropah Timur yang menerima kesan jangkitan apabila negara itu terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Rabu semalam, krisis hutang kedaulatan menunjukkan tanda yang membimbangkan, merebak ke nadi zon euro apabila Jerman, seperti yang dilaporkan oleh The Independent,  gagal menjual tranche penuh hutang baru kepada pasaran modal, memaksa bank pusat untuk campur tangan.    Berita itu tersebar ketika pengilang zon euro mencatatkan pesanan bulanan yang paling teruk dalam masa tiga tahun pada September lalu, membangkitkan ketakutan bahawa kemelesetan melanda seluruh benua Eropah kerana krisis hutang merebak ke dalam ekonomi sebenar. 

Di tengah-tengah krisis euro yang tanpa kesudahannya, Jerman dianggap sebagai tempat selamat kestabilan kewangan, tetapi menurut Spiegel Online International, keadaan mungkin berubah.  Kesangsian para pelabur semakin jelas kelihatan apabila apa yang dijelaskan sebagai lelongan bon kerajaan yang "membawa bencana" pada hari Rabu semalam. Hanya dua pertiga bon Jerman berjaya dijual, menyebabkan para penganalisis berasa prihatin, tetapi tidak berasa panik. 

Kegagalan jualan bon itu mengejutkan pasaran kerana selama ini Jerman dianggap sebagai "tonggak kestabilan" mata wang tunggal, tulis David Gow,  dengan memetik seseorang berkata, "ini undit tidak percaya di seluruh zon euro."  Kegagalan itu juga membuka pusingan baru dalam krisis zon euro, dan kedudukan Jerman sebagai tempat terjejas. Namun, jangan harapkan jawapan segera kerana bukan gaya Canselor Angela Merkel, seperti yang pernah dibahaskan

Mungkinkah Jerman terpaksa harga yang tinggi akibat kurangnya komitmen untuk menyelamatkan zon euro?  Mungkin.



No comments:

Post a Comment