Pages

Thursday, October 20, 2011

Merisik Linguistik

JUMAAT,  21 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bahasa, seperti yang pernah ditulis oleh David McNally, bukannya rumah penjara, tetapi tapak perjuangan (language is not a prison-house, but a site struggle).  Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam  In Defense of History:  Marxism and the Postmodern Agenda (diedit oleh Ellen Meiksins Wood dan John Bellamy Foster), McNally juga mengatakan, “di mana-mana jua yang perjuangan mungkin ditempatkan, bahasa akan ditemui di sana sebagai sebuah sfera yang di dalamnya pengalaman sosial dihidupkan.  Dan bagi mereka yang berjuang demi pembebasan daripada penindasan dan eksploitasi akan sentiasa menemui dalam kata bahasa, makna, tema untuk penyataan, penjelasan, dan penyelarasan perjuangan mereka demi dunia yang lebih baik.”

            Bagi sesiapa yang pernah membaca tulisan  McNally tentang bahasa dan perjuangan itu, pastinya tidak berasa terperanjat apabila pada akhir Mei lalu, seperti yang ditulis oleh  Alexis Madrigal dalam The Atlantic, “Why Are Spy Researchers Building a ‘Metaphor Program’?”  bahawa pasukan penyelidikan yang kecil dalam organisasi perisikan kerajaan Amerika Syarikat mahu memahami bagaimana penutur bahasa Parsi, Rusia, Inggeris, dan Sepanyol melihat dunia dengan membina perisian yang secara automatik menilai penggunaan metafora mereka. Setiap penutur dalam setiap bahasa di dunia menggunakan metafora dengan mudah sekali, dan Intelligence Advanced Research Projects Activity  (IARPA) mahu mengetahui apa yang kita  katakan itu mencerminkan pandangan dunia kita.  Dikenali sebagai Program Metafora, suatu usaha unik dalam kerajaan untuk membuktikan bagaimana bahasa orang ramai mendedahkan minda mereka.  Program yang menggunakan teknologi komputer untuk menganalisis data, melibatkan pasukan penyelidikan yang terkemuka dan memakan peruntukan yang agak besar.
            Dalam tulisannya itu, Alexis Madrigal memetik jurucakap IARPA yang antaranya berkata, “Program Metafora ini akan mengeksploit fakta bahawa metafora merebak dalam percakapan setiap hari dan mendedahkan kepercayaan dan pandangan dunia yang mendasari anggota sesebuah budaya.”  IARPA dilaporkan mahu beberapa orang ahli sains komputer dengan pengalaman dalam memproseskan bahasa dalam bahagian yang sangat besar datang dengan kaedah menarik keluar perhubungan budaya dengan konsep tertentu. 
Beliau juga memaklumkan  pandangan Benjamin Bergen, ahli sains kognitif di University of California, San Diego, yang memberitahu beliau, “Mereka benar-benar mencuba untuk mendapatkan apakah yang orang ramai fikirkan dengan menggunakan bagaimana mereka bercakap.”  Bergen ialah salah seorang berbelas-belas atau lebih penyelidik terkemuka yang dijangkakan bersaing untuk mendapatkan geran penyelidikan yang boleh bernilai berpuluh-puluh juta dolar sepanjang lima tahun, jika imbasan pasukan itu menunjukkan kemajuan ke arah secara automatik membubuhi dan memproseskan metafora merentasi bahasa.  Bergen mengakui masalah metafora adalah khususnya sukar kerana kita bahkan tidak apakah jawapan yang betul untuk pertanyaan yang kita kemukakan. 
“Jika anda fikir tentang jenis automasi prosesan bahasa, memang ada jawapan yang betul,” kata Bergen.  “Dalam mengenal pasti pertuturan, anda tahu apakah perkataan yang sepatutnya.  Justeru, anda boleh melakukan pembelajaran stastitik.  Anda menggunakan manusia, membubuhi korpus dan kemudian menggerakkan beberapa algorithma pembelajaran mesin tentang perkara itu.  Malangnya, di sini kita tidak tahu apakah jawapan yang betul.” 
Berikutan pemakluman program tersebut,  muncul beberapa penulisan, salah satu daripadanya, Robert  Bolton melalui blog  ideacouture.com “The Spy Poets:  IARPA’S New Metaphor Program” yang memulakan penulisan dengan memetik Aristotle, “Perkara yang paling besar setakat ialah untuk menjadi orang yang mahir metafora (master of metaphor)... Ini merupakan tanda genius, kerana metafora yang baik membayangkan tanggapan intuitif persamaan dalam tidak serupa.” Beliau juga menyatakan mandat rasmi Program Metafora:  “Mengeksploitasikan penggunaan bahasa metafora untuk memperoleh wawasan yang mendasari kepercayaan budaya dengan membangunkan dan menerapkan metodologi yang mengautomatikkan analisis bahasa yang mengandungi metafora.”
Bagi Bolton, metafora yang indah dan linguistik digunakan untuk melahirkan apa yang tidak boleh dinyatakan dalam bahasa biasa.  Metafora itu digunakan dalam pertuturan  biasa untuk menyatakan idea yang kompleks atau abstrak, dengan itu, mempunyai makna bahawa analisis metafora linguistik akan digunakan untuk mengeluarkan apa yang orang tidak boleh (atau enggan) menyebut   secara  terang.  Beliau  menyatakan bahawa bagi IARPA, metafora yang anda pilih dalam pertuturan dan penulisan menentukan dan ditentukan oleh kepercayaan yang dinyatakan dan tidak dinyatakan.  Pilihan untuk menggunakan metafora yang berbeza mencerminkan pendirian yang berbeza.
Bolton juga mengemukakan contoh rujukan ringkas Program Metafora, iaitu kajian yang memberi peserta dengan laporan tentang jenayah di kota. “Laporan itu mengandungi statistik, termasuk kadar jenayah dan pembunuhan, di samping satu daripada dua metafora, JENAYAH SEBAGAI BINATANG BUAS atau JENAYAH SEBAGAI VIRUS.  Peserta dipengaruhi oleh metafora tertanam.”  Mereka yang membaca metafora binang berkemungkinan besar mencadangkan lebih banyak polis dan penjara, manakala mereka dalam kumpulan virus  lazimnya mencadangkan menyiasat  punca dan mewujudkan program komuniti. Menurut taklimat IARPA itu, metafora berkait dengan afek.  Dan afek mempengaruhi kelakuan.
Secara harfiah, dari Greek, Bolton menjelaskan bahawa metafora bermaksud pemindahan. “Kita memindahkan kualiti satu benda  kepada yang lain – sesuatu yang biasanya tidak dianggap berkait dengan benda pertama.”  Program IARPA melabelkan dua bahagian dari segi sumber metafora (penyataan yang mengandungi metafora) dan sasarannya (perkara atau benda yang ditafsirkan.  “Penyair menyebutnya masing-masing wahana (vehicle) dan tenor,”  jelas beliau, disusuli dengan  memetik ungkapan yang terkenal:  “Dunia ini sebagai pentas, manusia hanyalah pelakon; mereka mempunyai pintu keluar mereka dan pintu masuk mereka.”  Justeru, kualiti pentas dipindahkan kepada dunia.  Perkara, iaitu  “dunia” ialah tenor atau sasaran, benda yang mengalami pemindahan.  “Pentas” ialah wahana atau sumber yang membawa kualiti yang dipindahkan.
Kritikan terhadap program IARPA ini datangnya daripada Michael Rosen yang menulis dalam guardian.co.uk, “Shakespeare:  The Metaphorical Terrorist” yang menegaskan  bahawa apabila agen Amerika Syarikat menganalisis bahasa dunia untuk Program Metafora, mereka mungkin membuat kesimpulan yang menakutkan.  “Mungkin agen program ini tidak mahu mahu mengehadkan diri mereka pada metafora kerana perkataan tertentu itu selalu digunakan metonymically untuk keseluruhan bahasa kiasan, iaitu perumpamaan, simbol atau sesungguhnya mana-mana penggunaan bahasa yang kelihatan berdiri untuk  sesuatu yang lain atau mewakili sesuatu yang lain,” tegas Rosen.  “Hal itu sendiri bukan perkara mudah, seperti yang akan lihat, tetapi biarkan program ini berdiri untuk seketika.”

Rosen yang seakan-akan meragui kebolehlaksanaan program tersebut, menulis:  “Hamba kepada perjuangan Amerika Syarikat akan mampu membawa tuan mereka dalam perjalanan sepanjang hutan cadangan, resonans, dan kekaburan dalam usaha pencarian mereka untuk menemui sistem nilai dalam penggunaan metafora penutur dan penulis.”  Beliau juga mengingatkan bahawa kita selalu menggunakan perkataan ruang dan masa dengan kurang mempedulikan, sama ada kita benar-benar maksudkannya. 
Sebagaimana Rosen, Natasha Stone yang menulis dalam blog Learning Consultancy Partnership (LCP), “Why Are US Spies Building ‘Metaphor Program’?” cuba membangkitkan masalah dari segi bahasa yang mungkin menjejaskan Program Metafora itu.  Jika perisikan Amerika Syarikat mampu menganalisis penggunaan metafora, bukan hanya mampu memahami penyataan yang digun akan yang penterjemahan automatik akan terlepas secara keseluruhan, tetapi juga memahami bagaimana budaya mentafsirkan dunia.
“Tidak memeranjatkan,” tulis Natasha, “berita rancangan kerajaan Amerika Syarikat mengganggung banyak pihak, meskipun skop projek itu berpotensi memecah tanah, rancangan itu tidak akan mendedahkan apa-apa yang baru atau apa-apa rahsia.  Membangunkan kesedaran bagaimana bahasa membentuk kefahaman kita tentang dunia adalah sangat kuat, bukan hanya untuk kerajaan, tetapi juga untuk individu.”
Lama dahulu, iaitu pada tahun 1946, George Orwell menulis dalam majalah Horizon yang elok juga dipetik secara ringkas di sini bahawa  banyak perkataan disalahgunakan. Perkataan, seperti demokrasi, sosialisme, kebebasan, patriotik, realistik, dan keadilan,  mempunyai beberapa makna yang berbeza yang tidak boleh  diselaraskan antara satu sama lain.  Perkatan lain digunakan dalam makna yang berubah-ubah, dalam kebanyakan keadaan lebih atau kurang ketidakjujuran ialah kelas, totalitarian, sains, progresif, reaksionis, borjuis, dan kesamaan. Perkataan jenis ini selalunya digunakan dengan sedar secara tidak jujur. 
Meskipun  sepintas lalu, Program Metafora itu bertujuan perisikan, sekurang-kurangnya program itu menunjukkan  bahawa pentingnya bahasa.  Hakikatnya, kata yang ditutur bukan sahaja mengandungi maksud tersurat dan tersirat, bahkan juga mencermikan pandangan penuturnya tentang dunia.  Tatkala ahli bahasa dan ahli linguistik kita  asyik bertelagah tentang tatabahasa, antaranya “ialah” atau “adalah,” “baru” atau “baharu” atau sekadar menghangat sesuatu yang sudah basi,   program IARPA  melangkah  jauh, iaitu menyelongkar metafora dalam sesuatu bahasa.
Sesungguhnya, dunia bahasa terlalu luas, tetapi malangnya di tanah air kita, bahasa Melayu selalu dipasung dengan persoalan remeh hingga menyebabkan bahasa ini sukar untuk berkembang.  Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu yang berguna daripada Program Metafora itu untuk memajukan bahasa Melayu.
(Nota:  Makalah asal tulisan yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Ogos 2011.)

No comments:

Post a Comment