Pages

Wednesday, October 19, 2011

Kadar Pertukaran Asing: 1000 untuk 1

RABU,  19 Oktober 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Majalah Time dalam keluaran 24 Oktober, dalam ruangan "Briefing" menyatakan kedua-dua pihak, iaitu Israel dan Hamas mendakwa bahawa mereka menang selepas mencapai persetujuan untuk menukar tentera Israel, Gilad Shalit yang ditawan pada tahun 2006 dengan kira-kira-kira 1000 orang banduan Palestin yang ditahan oleh Israel.  Kebebasan Shalit dijangkakan meningkatkan lagi sokongan dalam negara terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. 

"Saya telah membawa anak saya pulang ke rumah," Netanyahu dilaporkan memberitahu Noam Shalit pada hari Selasa 18 Oktober semalam, ketika Noam dan  anaknya berpeluk-pelukan untuk kali pertama sejak lebih tahun lalu.  "Warga Israel," beliau mengisytiharkan, "Misi dicapai... pada detik ini, pemimpin mendapati dirinya keseorangan dan mesti membuat keputusan.  Saya mempertimbangkan dan saya membuat keputusan."

Kepulangan Shalit itu disambut secara besar-besaran di Israel.  Timur Tengah menyaksikan hari rasa sangat gembira, menurut kata-kata Hariet Sherwood, dan tangisan di kedua-dua belah pihak yang berpecah belah itu.  "Meskipun kadar pertukaran itu tidak adil," tulis Uri Dromi, "Israel menjadi lebih kerana pertukaran tindakan itu.  Pada masa yang sama, banyak orang Israel berasa bahawa walaupun nyawa Shalit selamat, nyawa orang lain akan terancam." Shalit dikatakan menjadi anak setiap keluarga di Israel, dan mereka mahu dia pulang semula. "Israel sangat gembira, sangat gembira," tulis Karl Vick dalam Time, dengan menambah. dari segi realiti, Israel  perlu membayar harga  untuk  membebaskannya: 1027 orang banduan Palestin dijadikan pertukaran dengan hanya seorang askar.


Tolak ansur Hamas itu juga dilihat sebagai tanda harapan untuk di rantau yang bergolak itu  kerana hakikatnya, memang sukar untuk kedua-dua pihak, iaitu Hamas dan Israel untuk bertolak ansur.  Lebih-lebih lagi Hamas dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom.  Pastinya, persetujuan antara kedua-dua pihak itu, dalam kata-kata Robert Fisk agak aneh kerana "kerajaan demokratik tidak berurusan dengan pengganas sehingga mereka sendiri melakukannya."  Pertukaran  banduan itu dengan Israel, seperti yang dinyatakan  dalam The Washington Post, "memberanikan Hamas, yang mengisytiharkan cuti umum pada hari Selasa itu."  


Lebih daripada itu, seperti yang dibangkitkan dalam editorial The New York Times, kalau Netanyahu boleh berunding dengan Hamas, mengapa beliau tidak boleh berunding dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang baru-baru ini memohon taraf negara untuk Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Meskipun kebanyakan rakyat Israel menyokong pertukaran Shalit itu, bagi pengkritik, ini satu lagi contoh para pemimpin Israel tiada wawasan strategik.   Pertukaran itu diperhatikan  memecahbelahkan pendapat awam terhadap Netanyahu. 

Pastinya, sesuatu yang menarik ialah persetujuan dicapai  antara Israel dengan Hamas tatkala Israel dikatakan kian terasing di Timur Tengah.  Dan, tatkala Palestin memohon taraf negara yang dengan usaha tersebut populariti Presiden Mahmoud Abbas meningkat. Khusus untuk Israel, terutamanya Benjamin Netanyahu,  kalau tanpa sebab "masakan tempua bersarang rendah."  Secara tersirat, beliau cuba memperlekeh bukan sahaja Mahmoud Abbas, tetapi juga menempelak Presiden Barack Obama yang menurut pemerhatian banyak pihak, tidak sehaluan dengan beliau.






No comments:

Post a Comment