Pages

Friday, October 28, 2011

Hak Asasi Manusia, Imperialisme, dan Ideologi Kapitalis

SABTU, 29  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Nato membekalkan bom, puak sayap Kiri Perancis membekalkan ideologi, tulis Pierre Levy dalam MRZine, merujuk serangan Amerika Syarikat, Britain, Perancis, dan Nato ke atas Libya, "menggunakan hak asasi manusia untuk melancarkan peperangan."  Sebenarnya, serangan terhadap Libya itu bukan sahaja mencabuli resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi juga, seperti yang cuba dibahaskan oleh Levy, penyalahgunaan hak asasi manusia.  Maksudnya, kuasa asing menggunakan hak untuk campur tangan di sesebuah negara atas alasan kemanusiaan, seperti di Libya,  dengan sewenang-wenangnya.

Sejak berakhirnya Perang Dingin,  idea  hak asasi manusia digunakan untuk mewajarkan campur tangan oleh kuasa ekonomi dan ketenteraan utama di dunia,  iaitu Amerika Syarikat di negara yang mudah terdedah untuk serangan mereka.  Demikian pemerhatian Jean Bricmont dalam bukunya,  Humanitarian Imperialism:  Using Human Rights to Sell  War.  Kriteria untuk campur tangan sedemikian menjadi lebih sembarangan dan melayan diri sendiri, dan bentuknya lebih bersifat kemusnahan, dari Yugoslavia ke Afghanistan ke Iraq.  

Dengan menggunakan konsep imperialisme kemanusiaan yang diperkenalkan oleh Bricmont itu, Noam Chomsky memperluaskannya dalam konteks doktrin baru hak imperialis. Berakhirnya Perang Dingin, hujah Chomsky, aliran retorik yang menarik dilepaskan menjamin dunia bahawa Barat  kini bebas untuk meneruskan dedikasi tradisional mereka terhadap kebebasan, demokrasi, keadilan, dan hak asasi manusia yang tidak dihalang oleh persaingan kuasa besar, meskipun wujud sesetengah puak yang dikenalis "realis" dalam teori perhubungan antarabangsa yang memberikan amaran bahawa dalam "memenuhi idealisme yang dipegang secara hampir eksklusif  terhadap dasar luar," kita mungkin pergi terlalu jauh dan mungkin merosakkan kepentingan kita.  "Anggapan sedemikian, seperti 'campur tangan kemanusiaan' dan 'tanggungjawab untuk melindungi' tidak lama kemudian menjadi ciri yang sepi dalam wacana Barat tentang dasar yang dijelaskan secara bersama sebagai mewujudkan 'norma baru' dalam hal ehwal antarabangsa."

Dalam pengenalan "Human Rights Imperialism" yang ditulis Uwe-Jens Heuer dan Gregor Schirmer, The Editors Monthly Review pernah menulis bahawa "hak asasi manusia" dipilih sebagai medan pertempuran propaganda Amerika Syarikat di seluruh dunia.  Amerika Syarikat yang mempenjarakan peratusan yang sangat besar penduduknya jika dibandingkan dengan negara, secara rutin memperlihatkan dirinya sebagai penentu universal hak asasi manusia.  Propagandisnya berhujah bahawa satu-satu alternatif untuk "keuniversalan" hak asasi manusia, seperti yang ditetapkan oleh Jesse Helms, Madeleine Albright, dan George Soros merupakan relativisme yang memberikan makna yang berbeza untuk hak asasi manusia bergantung pada sama ada kemanusiaan yang terbabit ialah Barat atau China, Judeo-Kristian atau Islam, dan seterusnya.

Berhubung dengan makalah yang ditulis oleh Heuer dan Schirmer itu, kedua-dua penulis menegaskan bahawa hak asasi manusia yang terkandung dalam undang-undang antarabangsa untuk kali pertama setengah abad lalu, tetapi dari aspeknya sebagai ideologi (berbanding dengan aspek undang-undang antarabangsa), "hak asasi manusia" menjadi senjata yang berkesan Perang Dingin dan kekal digunakan secara berleluasa sebagai alat propaganda rejim global neoliberal baru.  Di sini wujud perbezaan antara hak asasi manusia dalam undang-undang antarabangsa dengan hak asasi manusia dalam ideologi (neoimperialis).  Bahas kedua-dua penulis ini, sekarang, negara yang beria-ria menjadi pendukung hak asasi manusia, termasuk Jerman dan Amerika Syarikat, mengabaikan hak asasi manusia di wilayah mereka sendiri. 

Heuer dan Schirmer berhujah bahawa hak asasi manusia disalahgunakan oleh Amerika Syarikat dan Nato sebagai alat yang bertujuan memusnahkan apa yang telah dicapai di negara sosialis, masih disalahgunakan sebagai alat untuk memperlihatkan kepentingan hegemoni terhadap kemerdekaan negara Dunia Ketiga, dan lebih kerap disertai oleh penggunaan kuasa ketenteraan.  Hal ini merupakan perkembangan yang bahaya yang boleh direka secara betul menjadi imperialisme hak asasi manusia. 

Hak asasi manusia, menurut kedua-dua penulis tersebut, dibahagikan kepada kedua kategori, iaitu politik/sivil dan ekonomi/sosial. Pendukung hak asasi manusia yang dimaksudkan hanya berminat terhadap hak politik/sivil, tetapi tidak berminat terhadap hak ekonomi/sosial, bahkan mereka menafikannya sama sekali, misalnya terhadap pengangguran.  


Dari sudut pandangan Slovenia, Serge Flere mengemukakan kupasan menarik tentang hak asasi manusia dan ideologi globalisasi kapitalis.  Setelah membincangkan konsep dan sejarah ideologi, Flere berhujah tentang hak asasi manusia dalam ideologi dominan yang menurut beliau, konsep hak manusia kini digunakan sebagai alat politik dalam kesahan tindakan politik yang sangat berbeza pada bahagian pelaku pemerintah di pentas nasional dan dunia.


Bagi Flere, hak asasi manusia selalunya dijaja oleh golongan pemerintah dalam maksud politik yang sempit, tanpa mengambil kira hak ekonomi dan kebajikan, hubungan yang lebih dalam antara hak asasi manusia dengan keadilan, dan secara lebih khusus, tanpa mempertimbangkan prasyarat sosial untuk pengakuan martabat manusia mengikut cara instrumen undang-undang, seperti hak asasi manusia.  Individu dengan hak asasi manusianya adalah ditentukan bebas.  Bebas dalam erti kata, untuk bersaing dari segi buruh, kewangan, dan setiap jenis lain persekitaran yang tersusun sebagai pasaran.


Merujuk beberapa penulisan yang dinyatakan di atas, sesungguhnya, banyak yang perlu dipelajari tentang hak asasi manusia.  Pastinya, banyak pejuang hak asasi manusia di negara kita juga kabur tentang apakah hak asasi sebenar.  Mereka terpasung dalam hak asasi politik/sivil, tetapi mengabaikan hak asasi ekonomi/sosial. Dan, jauh sekali untuk menyedari bahawa hak asasi manusia sebagai alat imperialisme dan ideologi kapitalis.  


Bagi kita yang kurang arif tentang hak asasi manusia, tentunya kita sering diperbodohkan atau dikelirukan oleh  mereka yang berlagak pandai tentang hak asasi manusia.  Memang berbahaya jika kita menelan bulat-bulat apa-apa sahaja doktrin dan slogan disajikan kepada kita tanpa cuba memahami dan mengkajinya terlebih dahulu. 


Seperti yang dibincangkan di atas, hak asasi manusia sering diperalatkan oleh kuasa besar demi kepentingan imperialisme dan ideologi kapitalis mereka. Justeru, jangan pula kita dengan mudah bersekongkol dengan mereka yang berselindung di sebalik hak asasi manusia. 



No comments:

Post a Comment