Pages

Friday, October 28, 2011

Gerakan Menduduki Tercemar

JUMAAT, 28  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berbelas-belas orang polis pencegah rusuhan dan beratus-ratus orang penunjuk perasaan menyokong gerakan  Menduduki Wall Street, seperti  dilaporkan  terlibat dalam permainan "kucing dengan tikus" di pusat bandar Oakland pada Selasa lalu, dengan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata sebagai respons terhadap penunjuk perasaan yang berulang-ulang kali mengganggu. Peristiwa itu merupakan kali kelima dalam masa kira-kira tiga jam melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di  tempat itu apabila  ketegangan berterusan tercetus dalam bentuk konflik sepanjang hari itu. 

Berikutan dengan peristiwa itu, timbul persoalan apa sudah jadi dengan Menduduki Oakland?  "Semua mata tertumpu ke Menduduki  Oakland bahawa terlalu besar untuk gagal, terlalu besar untuk dipenjarakan," tulis Van Jones dalam The Huffington Post.  Tiada alasan untuk menggunakan kekerasan terhadap tunjuk perasaan secara aman.  Kalau berlaku di Damsyik, tentunya Jabatan Negara Amerika mengutuk habis-habisan.

Peristiwa itu juga dikatakan mencemari Menduduki Wall Street yang semakin memperoleh rentak dan meraihkan sokongan, termasuk daripada Vatican, dan mendedahkan sesuatu yang berlaku di Amerika, paling tidak dari segi ketidaksamaan pendapatan.  Bagaimana golongan satu peratus  bertambah kaya, manakala golongan 99 peratus semakin miskin.  


Tindakan penunjuk perasaan bertempur dengan polis dianggap  bukan suatu langkah yang bijak kerana boleh mencemari imej  gerakan itu di mata orang ramai. Selain itu, pihak yang cuba memperlekeh gerakan itu, seperti golongan cerdik pandai yang lantang, termasuk Niall Ferguson yang menulis dalam kolumnya,  mendakwa bahawa Wall Street membantu golongan miskin.  

Pastinya, pihak polis juga turut tercemar kerana bertindak keras terhadap penunjuk perasaan.  Lebih-lebih lagi yang cedera parah ialah Scott Olsen, aktivis Menduduki yang juga  veteran Perang Iraq, seperti yang  dilaporkan.  Mereka didakwa melakukan kesilapan besar  kerana  bertindak seperti itu.  Justeru, kedua-dua pihak, iaitu penunjuk perasaan dan polis dipersalahkan kerana berlaku keganasan tersebut. 

Bagaimana pendirian pejuaang hak asasi manusia dan cerdik pandai yang sering mengapi-apikan tunjuk perasaan di dunia Arab, di negara Dunia Ketiga, dan juga di China apabila pihak polis Oakland bertindak keras?  Mungkin "gajah di hadapan mata tidak nampak." Siapa pula yang akan menghantar nota bantahan kepada pihak kedutaan Amerika di luar negara?








No comments:

Post a Comment