Pages

Saturday, October 1, 2011

Datang

AHAD,  1  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Tidak pernah ku impikan 
dari  perjalanan  jauh akan ke sini
dalam arus  penziarah yang tidak kukenali
mengunjungimu damai bersemadi
dengan penyesalan terbuku di hati
puisi mistikmu kurang kuhayati.


Pemergianmu diratapi Kristian, Yahudi dan Turki
geniusmu ditatangi sarjana  dinobatkan  dunia
puisimu dihafal, dilafaz, dinyanyikan di mana-mana 
didendangkan insan tersohor  menjiwai dunia kerohanian sufi.

Menyalut kasut melangkah menghampiri makammu
bagaikan terdengar  bisikan  bernafas segar sentiasa:
        “datang, datang, sesiapa saja diri kamu
         Kelana, pemuja, kekasih yang pergi,
         semuanya tidak penting
         Kita bukannya kafilah putus asa.”

Rumi,
lena  dalam pelukan   keabadian
manusia, tanpa menghiraukan bangsa dan agama bersatu
dipupuk  dibelai kasih sayang
digamit   pelawaanmu:  “Datang, datang...”

Konya, Turki
11 Mei 2010.



(Nota:  Sajak ini pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera Disember 2010.)


No comments:

Post a Comment