Pages

Tuesday, August 9, 2011

Tidak Sempat Bernafas, Betul-betul Isnin Hitam

SELASA,  9  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila pasaran Arab Saudi mengalami kejatuhan besar pada hari Sabtu lalu, iaitu sebanyak 5.5 peratus, pasaran pertama yang berurus niaga selepas Standard & Poor's (S&P)  menurunkan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+,  bayang-bayang ngeri yang menghantui dunia jelas kelihatan.  Lebih-lebih lagi pada minggu lalu, pasaran global merudum  seakan-akan sedang terhumban ke dalam krisis kewangan kedua.  Memetik Will Hutton yang menulis dalam The Guardian  pada Sabtu lalu, "bangkit ketakutan pada minggu ini, benar-benar takut.  Ketakutan yang menghapuskan AS$2.5 trilion daripada nilai saham global dalam masa hanya lima hari."

Bagi pasaran yang sudah lemah, kemudian dikejutkan pula oleh penurunan gred itu, sesungguhnya, dua hari menanti adalah tempoh yang cukup lama: meronta-ronta bagaikan singa dalam kurungan minta dilepaskan.  Pastinya, pasaran Asia menjadi mangsa pertama pada hari Isnin.  Memang tidak memeranjatkan, seperti yang dilaporkan oleh  Bloomberg bahawa saham Asia mencecah paras terendah tahun ini selepas S&P menurunkan penarafan kredit kedaulatan Amerika Syarikat. Lapor Bloomberg lagi,  saham menjunam dari Hong Kong ke Mumbai dan Frankfurt, membawa kejatuhan indeks tanda aras Asia dan Eropah sebanyak 20 peratus dari tahap tertinggi kerana kebimbangan ekonomi adalah perlahan dan Amerika Syarikat mungkin terjebak semula ke dalam kemelesetan.  Sementara di Kuala Lumpur,  FBM KLCI jatuh sebanyak 27.44 mata (1.8 peratus), kepada 1496.99 mata, jatuh di bawah 1500 mata untuk kali pertama sejak 17 Mac 2011.  

Dunia sekali lagi mengalami jatuh bebas.  Krisis hutang mengheret pasaran kewangan ke dalam kancah huru-hara.  Di London, lapor blog The Guardian,  penjualan pada hari Isnin melenyapkan 46.3 bilion paun sterling nilai FTSE 100, yang  ditutup pada 5,068 mata, jatuh sebanyak 178.04 mata (3.39 peratus).  Panik dan takut menguasai dunia:  para pemimpin dunia berlumba-lumba untuk menghalang kacau-bilau merebak ke minggu kedua, dengan para pemimpin G7, bersiap sedia  untuk membincangkan krisis.  Semua mata tertumpu ke pasaran  Asia dan Australia untuk melihat reaksi terhadap kehilangan status AAA Amerika untuk pertama kali dalam sejarah pada Jumaat lalu.  Dalam isyarat pertama kesusahan, pasaran Timur Tengah ditutup.

Sementara pasaran Amerika Syarikat - negara yang jatuh gred itu, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, jatuh dengan ketara, dengan indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh lebih tiga peratus dalam jam pertama perdagangan.  Dalam hari terburuk sejak tahun 2008, Dow ditutup dengan kejatuhan sebanyak 635 mata (5.6 peratus), kepada 10,810 mata sebagai reaksi terhadap penurunan gred tersebut.  




Presiden Barack Obama dalam usaha menenangkan para pelabur yang berebut-rebut  mencampakkan saham mereka, mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat "selalunya negara tiga A" tanpa menghiraukan gred agensi penarafan dan menegaskan bahawa kerajaan mempertahankan keupayaan untuk membayar hutang.  Namun, usaha beliau itu gagal untuk menenangkan panik dan takut yang menghantui pasaran yang terus lintang-pukang.  Kira-kira tiga tahun lalu, beliau berjaya meyakinkan para pengundi sehingga mencapai kemenangan gilang-gemilang, tetapi semalam beliau begitu daif untuk menyakinkan para pelabur.  "Manusia yang paling berkuasa di dunia, akhirnya menjadi presiden yang tidak ada kuasa," tulis Dana Milbank dalam The Washington Post, "meskipun tidak adil untuk menyalahkan Obama, yang jelas pasaran tidak mempedulikannya."  


China yang sebelum ini menghentam Amerika kerana ketagih hutang, sekali lagi bersuara  dengan menjadikan Barat sasarannya berhubung dengan krisis hutang dan kesusahan zon euro.


Dasar fiskal yang kukuh sahaja tidak akan menyelesaikan kritis hutang ini.  Kita memerlukan pembaharuan struktur sistem kewangan keseluruhan, tegas Ha-Joo Chang dalam "Global Finance Has Dysfunction at its Heart."  Ekonomi dunia dalam kacau-bilau semula.  Kita menyaksikan dua minggu kegagalan hampir universal dalam pasaran saham utama.


Sistem kewangan dunia menjadi rumah orang gila.  Memetik Eric Hobsbawm, yang memang tepat bahawa "sosialisme gagal, kapitalisme  muflis."  Dan kini, kapitalisme benar-benar muflis dan kian  sukar untuk diselamatkan. 














No comments:

Post a Comment