Pages

Monday, August 22, 2011

Permainan Tamat, Gaddafi!

ISNIN,  22 Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Seawal pagi ini (waktu Malaysia), al-Jazeera, BBC, dan CNN membuat liputan langsung tentang pertempuran di Libya apabila tentera pemberontak  mara dan menguasai  Tripoli.  Tidak kurang liputan akhbar yang begitu yakin membayangkan era Muammar Gaddafi yang memerintah Libya selama 42 tahun akan berakhir pada bila-bila masa mulai sekarang.  The Guardian membuat liputan langsung dengan menyatakan perkembangan terkini tentang pergolakan di negara itu.   Demikian juga  The Telegraph, The Huffington Post, dan The New York Times yang melalui liputan langsung itu membolehkan orang ramai di mana-mana sahaja mengikuti detik bersejarah,  seakan-akan mereka sendiri berada di Tripoli.

Masa Gaddafi  (bersama-sama tentera setianya) berdiri degil menghadapi tentangan tentera pemberontak yang dibantu oleh Nato berakhir apabila tentera pemberontak  meraikan kemenangan di Dataran Hijau, Tripoli.  Berikutan kemenangan  itu, Presiden Barack Obama menggesa Gaddafi melepaskan jawatannya kerana masa untuknya telah tamat.     

Sejak rakyat melancarkan pemberontakan pada Februari lalu dan kemudian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi zon larangan terbang yang membolehkan Amerika Syarikat, Britain, dan Perancis "tidak sempat bermalam" melancarkan serangan, kesahan kerajaan Gaddafi kian terhakis.  Hingga kini, lebih 30 buah negara mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan.

Lewat Ahad, beratus-ratus orang  pemberontak dilaporkan mara ke pusat ibu kota Libya, Tripoli kerana perjuangan untuk menggulingkan  Muammar Gaddafi hampir mencipta kemenangan.  Mereka mengibar-ngibarkan bendera pembangkang dan melepaskan tembakan ke udara dalam kegembiraaan selepas mereka tiba di Dataran Hijau, pusat simbolik kota itu pada awal pagi Isnin.


                                                   Sumber:  The Independent

Pertempuran akhir untuk Libya tercetus malam tadi apabila tentera pemberontak yang mara menumpaskan tentera yang setia kepada Gaddafi di pinggir kota Tripoli dan Nato mengiystihkan rejim Kolonel Muammar Gaddafi "pecah berderai."

Seperti yang berlaku malam tadi, menurut laporan  The Independent, tidak jelas, sama ada rejim Muammar Gaddafi adalah dalam hari-hari akhir kalaupun tidak dalam jam.  Akan tetapi, kelihatan bahawa untuk kali pertama dalam persengketaan selama enam bulan, permainan akhir telah diperoleh.  Tentera pemberontak yang mara ke ibu negara dari tiga penjuru, dan manakala laporan tentang pertempuran di Tripoli itu sendiri itu tidak disangka-sangka, persoalan utama bukan lagi,  sama ada kaum kerabat Gaddafi akan digulingkan, tetapi bila dan bagaimana, dan apa yang berlaku kemudian.

Gaddafi bukan sahaja dari segi diplomatik, kehilangan kesahan,  dan dari segi peperangan, beliau tewas, tetapi juga terpaksa bergelut dengan kekalahan psikologi yang mendalam: tatkala orang ramai berkumpul di Tripoli  dan musuhnya menawan kota Misrata, Gaddafi muncul dengan cara yang cukup dramatik lewat malam tadi untuk merayu pertolongan.  Berucap  di televisyen negara melalui rangkaian video, untuk kali kedua pada hari Ahad, beliau dengan lebih berhati-hati dalam ucapannya yang penuh emosi. Beliau memberitahu rakyat Libya:  "Mereka penjenayah, mereka datang untuk menghancurkan Tripoli.  Mereka datang untuk mencuri minyak kita."   Nyata bahawa rayuan akhir beliau tidak lagi dipedulikan oleh rakyat Libya, segala-galanya sudah terlewat, segala-galanya sudah berakhir.  Anda mesti berundur!

Kekalahan psikologi Gaddafi semakin parah apabila anaknya, Saif al-Islam telah ditahan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, meskipun pemberontak yang menahannya diarahkan "melayannya dengan elok."  Juga  laporan bahawa anak sulung Gaddafi, Mohammed , dan pengawal presiden telah menyerah diri, tetapi halaman Bab al-Aziziya Gaddafi masih dikawal oleh rejim itu.


Perjuangan di Libya hampir tamat.  Demikian ulasan editorial The Guardian pada hari ini.  "Pemberontakan di pinggir bandar Tripoli, pembelotan beberapa unit yang mempertahankan ibu negara itu, dan selain itu, kegembiraan di jalan-jalan menunjukkan rejim tercungap-cungap.  Rayuan terdesak untuk membincangkan perdamaian segera daripada jurucakap kerajaan utama menegaskan gambaran tersebut."


Memetik sumber risikan Barat, David Ignatius  dalam The Washington Post, menulis:  Permainan tamat di Libya kelihatan hampir.  Keluarga Gaddafi dikatakan memindahkan wang dan aset lain ke luar negara itu sejak lima hari lalu kerana menjangkakan keruntuhan rejim.  Menurut sumber, Gaddafi meninggalkan Tripoli, tetapi masih berada di negara itu.

Laporan terkini  menyatakan bahawa tentera Gaddafi masih berjuang di Tripoli, dan dianggarkan kini mengawal 15 - 20 peratus kota itu, jurucakap tentera pemberontak memberitahu al-Jazeera., manakala  AFP  melaporkan kedengaran pertempuran yang sengit berhampiran dengan halaman Gaddafi di Tripoli.


Meskipun hari untuk Gaddafi berkuasa tiba ke penghujungnya, beliau yang terkenal dengan gaya membuat keputusan yang tidak dapat diramalkan boleh membuat keputusan dalam beberapa jam untuk melarikan diri atau terus menelan segala kepahitannya hingga akhir.




















No comments:

Post a Comment