Pages

Tuesday, August 23, 2011

Libya: Pencabulan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

SELASA,  23  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH




Daripada stesen televisyen kepada akhbar kepada pemimpin dunia, kita diberitahu bahawa era Muammar Gaddafi menunggu detik dan ketika untuk berakhir, mungkin dalam jam, mungkin dalam hari.  Yang pasti, bukan lagi dalam minggu.  Yang belum dapat dipastikan tatkala tentera pemberontak menguasai sebahagian  Tripoli dan Libya, di manakah Gaddafi?  Sumber Pentagon yang dipetik oleh The Washington Post, menjangkakan Gaddafi masih berada di Libya.  Sementara  Perdana Menteri Libya, Al-Baghdadi Ali al-Mahmoudi dan ketua kesatuan televisyen negara itu, Abdallah Mansour, dilaporkan melarikan diri ke Pulau Djerba, Tunisia.

Tatkala rakyat Libya dan sesetengah penduduk dunia kegembiraan meraikan kejatuhan Gaddafi yang tidak dapat dielakkan lagi, pada Ahad lalu, Dennis Kucinich, anggota Kongres (Demokrat - Ohio),  menulis dalam The Guardian, "Time to End Nato's War in Libya," sama ada Gaddafi pergi ataupun tidak,  campur tangan yang merugikan ini menghalang perbincangan perdamaian dan mengkhianati misi "kemanusiaannya."  Bagi Kucinich, operasi ketenteraan yang dilancarkan pada Mac lalu oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis, dan Nato mereka ke atas Libya tidak mempunyai asas yang kukuh, meskipun mendapat mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Para diplomat Amerika Syarikat dan pemimpin dunia secara kurang hati-hati melahirkan tuntutan yang tidak berasas tentang pembunuhan kejam akan berlaku di Benghazi.  "Anda tidak mendengar pun rayuan kemanusiaan seperti itu, manakala Nato, atas nama pemberontak (sesiapa sahaja mereka), bersiap sedia untuk mengepung Tripoli, kota yang mengandungi hampir dua juta orang penduduk."

Pemberontak Libya kini, tulis Kucinich, "mara ke ibu negara Tripoli dengan bantuan serangan Nato; ini pastinya mengakibatkan pertumpahan darah yang sebenar jika dibandingkan dengan pertumpahan darah yang diada-adakan di Benghazi pada musim sejuk ini."  Beliau juga mendedahkan kejahatan yang dilakukan oleh Nato dengan berselindung di sebalik misi kemanusiaan:  membantu tentera pemberontak yang menyekat makanan, air, dan bekalan perubatan daripada sampai ke ibu negara itu, dan menghalang mereka yang memerlukan penjagaan perubatan lanjutan daripada pergi ke Tunisia untuk mendapatkannya.  Nato mengebom stesen kuasa elektrik, memutuskan bekalan elektrik, dan menggunakan helikopter Apache untuk menyerang tempat pemeriksaan polis Libya untuk membersihkan jalan-jalan untuk pemberontak mara.   

Kucinich mendedahkan bahawa perang terhadap Libya itu  mencabuli begitu banyak resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCRs) oleh Nato dan negara anggota PBB.  Membekalkan senjata (kini digugurkan dari udara) kepada pemberontak Libya adalah sejak mula-mula konflik lagi, memang jelas mencabuli UNSCR tahun 1970.  Menggunakan angkatan tentera bagi pihak pemberontak, dalam usaha untuk mengenakan perubahan rejim, melemahkan undang-undang antarabangsa dan merosakkan kredibiliti PBB.  Tidak terhitung banyaknya orang awam yang tidak berdosa terkorban, dan serangan udara Nato terus-menerus meletakkan banyak orang awam pada banyak  risiko yang yang lebih besar.

Khusus untuk Amerika Syarikat, Dennis Kucinich mendedahkan bahawa perang terhadap kemungkinan menelan belanja lebih AS$1 bilion.  Amaun wang luar biasa ini kerana campur tangan yang rakyat Amerika diberitahu akan berakhir "hari bukannya minggu" hanya boleh dijelaskan dengan melihat peperangan sebagai pelaburan, dan mengawal kekayaan Libya sebagai peluang untuk mengjhasilkan pulangan atau pelaburan itu.  

Kucinich, seperti yang diketahui adalah antara  menentang campur tangan Amerika di Libya, bahkan beliau  merancang untuk mendakwa Presiden Barack Obama kerana melancarkan perang ke atas Libya tanpa kelulusan Kongres.  Namun, seperti yang dibahaskan oleh Robert Dreyfuss dalam The Nation, "Kucinich berjuang seorang diri terhadap perang Libya yang  dilancarkan oleh Obama.  Beliau memberikan amaran bahawa Obama 'memanjangkan perang saudara' di Libya dengan membantu 'pemberontak misteri' yang menolak rancangan Kesatuan Afrika untuk gecatan senjata dan berunding."

Sama ada Obama boleh disabitkan ataupun tidak kerana kesalahan itu, Michael  Hirsh yang menulis dalam National Journal mengemukakan tafsiran yang menarik yang memihak kepada Obama.  "Dengan menggunakan 'bertahan' dan tidak melibatkan tentera Amerika Syarikat," tulis Hirsh, "Obama secara berkesan terlibat dalam peperangan di Libya, tetapi menafikan bahawa Amerika  mencari  'permusuhan'  yang mungkin mencetuskan  Resolusi Kuasa Perang yang memerlukan kelulusan Kongres."  Tegas beliau lagi, "sama ada anda fikir tentang hujah perundangannya, pendekatan Obama mungkin berkesan.  Seperti yang beliau katakan pada hari Rabu, 'Kita tidak lihat seorang pun tentera Amerika Syarikat terkorban.'"

Yang jelas peraturan permainan telah ditetapkan terhadap Muammar Gaddafi.  Justeru, segala usaha untuk jalan penyelesaian secara aman yang diajukan oleh Kesatuan Afrika ditolak oleh Amerika Syarikat dengan sewenang-wenangnya.  Amerika juga tidak memberi peluang kepada Kesatuan Afrika untuk memainkan peranannya demi kestabilan di rantau itu.  Sebenarnya, perang ke atas Libya mendedahkan betapa berleluasanya hukum alam rimba yang digunakan oleh kuasa besar, terutamanya Amerika Syarikat.  

Kita  sering diberitahu bahawa  Muammar Gaddafi  mencabuli  hak asasi manusia dengan berleluasa, tetapi pada satu pihak yang lain, iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya yang mencabuli resolusi PBB yang tidak kurang teruknya jarang-jarang dibangkitkan.    











No comments:

Post a Comment